Nuffnang

Saturday, February 18, 2012

Jambatan Gantung Satok akan dibangunkan semula



Posted on February 17, 2012, Friday

KUCHING: Kerajaan akan membangunkan semula Jambatan Gantung Satok bagi mengembalikan nostalgia penduduk tempatan selepas roboh pada 2004.

Bagaimanapun jambatan sepanjang 130 meter yang menghubungkan antara penduduk di Satok dan Matang pada awalnya akan dibangunkan bagi tujuan pejalan kaki sahaja.

Menurut Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, rancangan untuk membangunkan jambatan tersebut telah dibincangkan dan ia masih di bawah kajian.

“Kami memang telah merancang untuk membangunkan semula Jambatan Gantung Satok seperti yang sering dicadangkan oleh penduduk di kawasan ini.

“Buat masa ini ia masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kami akan membincangkan bajet yang sesuai untuk pembinaan jambatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pertanyaan yang diajukan oleh salah seorang jemputan yang turut menghadiri majlis pecah tanah pembangunan pangkalan di Kubah Ria Market di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, satu jawatankuasa pengurusan sungai akan diwujudkan dengan kerjasama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi memelihara kebersihan di sepanjang tebingan Kubah Ria.

Katanya dalam usaha mencantikkan sepanjang tebingan itu, kombinasi antara konkrit dan landskap asal akan diaplikasikan untuk tampil lebih menarik di mata pengunjung.

Bagi tujuan itu, Abang Johari menasihati Persatuan Peniaga Kubah Ria mengambil inisiatif menanam pokok yang dapat melindungi sungai serta sesuai sebagai hiasan semula jadi.

Tuesday, February 14, 2012

Sarawak Pemain Utama Dalam Pertumbuhan Ekonomi Dunia!!!??

Tidak mustahil sekiranya Sarawak menjadi pemain utama dalam pertumbuhan ekonomi dunia melalui industri pelancongan.  Hal ini dinyatakan oleh Menteri Pelancongan semasa sidang media Sarawak Tourism Information Update.  Apakah mekanisme yang akan digunakan untuk mencapai ke arah tersebut?!!!  Ikutilah petikan berita di bawah ini.  

Kerajaan teliti tubuh tabung amanah untuk promosi pelancongan

Utusan Borneo on February 15, 2012, Wednesday

KUCHING: Kementerian Pelancongan kini sedang meneliti untuk menubuhkan tabung amanah untuk mengumpul dana dalam usaha mempromosi pelancongan negeri ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, bagaimanapun perkara itu perlu melalui proses kajian bagi mendapat-kan mekanisme yang sesuai digunakan khasnya cara pengumpulan dana.

“Kita bersama pemain-pemain industri pelancong akan menyumbang dana yang kita panggil ‘tabung amanah’ yang hanya digunakan untuk promosi pelancongan.

“Jika ada peruntukan tambahan daripada kerajaan ia akan kita gunakan untuk tujuan berkenaan selain caj yang dikenakan dalam perkhidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berhubung ‘Sarawak Tourism Information Update’ bersama pemain-pemain industri pelancongan di sini, semalam.

Abang Johari memberitahu, sejurus sahaja mekanisme yang baik dan sesuai digunakan ia akan dilaksanakan.

“Selepas kajian dilakukan ia akan kita laksanakan dan kita beri masa selama empat bulan untuk melakukan kajian ini.

“Ini kerana kita juga perlu meneliti beberapa perkara termasuk berkaitan peraturan dan undang-undang,” tegasnya.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa kementeriannya menyasarkan untuk menyelesaikan segala cabaran yang dihadapi dalam industri pelancongan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ia ujar beliau, bagi menjadikan Sarawak sebagai pemain utama dan sebahagian daripada pertumbuhan ekonomi dunia.

Berhubung perkembangan cadangan Sarawak menjadikan penerbangan MASWings sebagai operator di Kawasan Pertumbuhan Asean Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) Abang Johari berkata, ia masih lagi dalam proses rundingan. “Apa yang saya boleh katakan ia kini masih dalam rundingan.

“Bagaimanapun Perdana Menteri telahpun mempersetujui permintaan kita ini,” ujarnya.

Thursday, February 9, 2012

Perjalanan ke pusat peranginan Damai akan lebih selesa: Abg Jo


Oleh Mahathir Haroun. Utusan Borneo 9 Feb 2012, Khamis

Cadangan menaik taraf Jalan Sultan Tengah akan dikemuka dalam RMK-11
SANTUBONG: Cadangan menaik taraf Jalan Sultan Tengah yang menghubungkan bandar raya ini dan Semenanjung Damai hanya dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, projek tersebut merangkumi penambahan pembesaran jalan daripada satu kepada dua lorong.

“Kami telah merangka satu cadangan supaya Jalan Sultan Tengah dinaik taraf untuk menjadi dua lorong.

“Ia adalah untuk memberi kemudahan lebih selesa kepada pelawat yang berkunjung ke Semenanjung Damai dari Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran Pakej Gawai Istimewa di Kampung Budaya di sini, semalam.

Menurutnya, memang kerajaan sudah mewujudkan Jalan 2020 di kawasan tersebut namun apa yang dirancangkan adalah menyambungkan jalan dari Wisma Yayasan Sarawak hingga ke Damai.

“Projek ini memang menelan belanja agak besar sebab itu kami masih dalam perbincangan dengan kerajaan pusat.

“Ia tidak akan dilaksanakan dalam RMK-10 tetapi kami akan cadangkan untuk Rancangan Malaysia seterusnya,” ujarnya.

Beliau yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, pada masa ini hanya sebahagian Jalan Sultan Tengah sudah dinaik taraf iaitu bermula dari Kampung Semerah Padi ke Yayasan Sarawak.

“Dulu saya juga mencadangkan ia diteruskan hingga ke Kampung Rampangi dan seterusnya ke Damai.

“Namun ia memerlukan pembinaan sebuah lagi jambatan,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu, masalah perhubungan antara Sarawak ke destinasi lain dijangka akan diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

“Kami akan bekerja keras untuk selesaikan masalah ini.

“Jika ia selesai, seluruh Malaysia akan mendapat faedah.

“Apa yang kami rancang adalah untuk membawa pelancong luar secara terus ke negeri ini agar mereka dapat melihat sendiri produk-produk tempatan,” katanya.

Perkongsian pintar pacu transformasi Sibu Jaya

by Andy Sabang. Posted on February 8, 2012, Wednesday
MAKIN RANCAK: Abang Johari (tengah) menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas selesai Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan ‘Pearl Avenue’ di Sibu Jaya, semalam.
Konsep perbandaran serba lengkap akan dijadikan model pembangunan bandar lain: Abang Johari

SIBU: Perkongsian pintar di antara Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Kumpulan Amcorp di bawah inisiatif dana swasta telah memacu transformasi pembangunan bandar baharu Sibu Jaya.

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ini termasuk penerapan pembangunan berdasarkan konsep perbandaran serba lengkap yang menjangkau keluasan kawasan kira-kira 1,400 ekar.

Katanya, ia terdiri daripada pembukaan kawasan perumahan yang pelbagai, rumah kedai, pusat komersial, lot industri dan sekolah.

“Kita cuba menjadikan Sibu Jaya sebagai bandar model kepada bandar lain dengan menawarkan penduduk dengan persekitaran yang ideal untuk bekerja dan bermain.

“Selain kemudahan serba lengkap sepenuhnya, terdapat juga suasana taman yang tiada tandingannya untuk menggalakkan kerja yang lebih baik produktif,” ujar beliau pada sidang media semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pelancongan menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan ‘Pearl Avenue’ di Sibu Jaya.

Menurut Abang Johari, HDC dan Amcorp telah mengubah pembangunan lama Sibu Jaya yang bermula pada tahun 1995 kepada pembangunan baharu serta memperkenalkan elemen gaya hidup moden.

Ia termasuk pembinaan laluan ‘Boulevard’ sepanjang dua kilometer di samping turut mengekalkan 40 ekar kawasan hijau, katanya.

Menyentuh mengenai projek perumahan ‘Pearl Avenue,’ Abang Johari memberitahu, ia merupakan kawasan perumahan teres dua tingkat dengan reka bentuk moden.

Sebanyak 170 unit rumah akan dibangunkan dengan harga RM248,880 setiap satu berkeluasan 1,457 kaki persegi, jelasnya.

“Ia merupakan satu pelaburan untuk jangka panjang, selain berusaha merancakkan pembangunan bandar Sibu Jaya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah HDC Azmi Hashim berkata, sejumlah RM1 bilion akan dilaburkan bagi tujuan pembangunan perumahan di Sibu Jaya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sehingga 2023, dianggarkan kapasiti penduduk di Sibu Jaya mencecah 60,000 selain dilengkapkan dengan kemudahan moden sesuai dengan konsep bandar selamat.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Kadir Abdullah.

Kampung Budaya Sarawak dijangka tarik 200,000 pelawat tahun ini

Utusan Borneo 9 Feb 2012, Khamis
TURUT SERTA: Abang Johari tidak melepaskan peluang untuk mencuba sendiri memasak makanan masyarakat Bidayuh semasa Majlis Pra-Pelancaran Pakej Istimewa Gawai.
SANTUBONG: Kampung Budaya Sarawak dijangka mampu menarik 200,000 pelawat pada tahun ini selepas kerja-kerja menaik taraf bernilai RM5 juta dilaksanakan.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip berkata, pada tahun ini sebanyak 140,000 pelawat berkunjung ke Kampung Budaya Sarawak secara harian.

“Ia tidak termasuk pengunjung yang datang semasa Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia atau acara-acara lain.

“Sasaran kita pada tahun ini memang besar, tapi nak datang susah sebab penerbangan kurang.

“Malah faktor ekonomi juga memainkan peranan peningkatan bilangan pelawat, kalau ekonomi baik sudah tentu ramai yang datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pra-Pelancaran Pakej Istimewa Gawai di Kampung Budaya di sini, semalam.

Mengulas mengenai kerja-kerja menaik taraf Kampung Budaya Sarawak yang bernilai RM5 juta, Talib menjelaskan, projek tersebut merangkumi pembinan bangunan rumah panjang Bidayuh dan peningkatan kemudahan lain.

Bagi rumah panjang Bidayuh baharu, terdapat enam bilik untuk penginapan pengunjung.

“Ada enam bilik dan katil berbeza saiz disediakan,” ujarnya.

Pakej istimewa Gawai membolehkan pelancong merasai sendiri perayaan Gawai dan mempelajari serta menyertai aktiviti sepanjang perayaan tersebut bermula 18 Mei hingga 31 Jun tahun ini.

Ia merangkumi aktiviti seperti miring, lemambang, ngiling tikai, ngetas pun renyai, kelas tarian dan muzik dan memasak sendiri makanan tradisional.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga boleh memilih sama ada untuk tinggal di rumah panjang Bidayuh, Iban atau Orang Ulu.

Pakej Gawai berkenaan akan dikenakan bayaran RM399 seorang untuk dua hari satu malam, RM499 (tiga hari dua malam) dan RM599 (empat hari tiga malam).

Bermula sekarang, pelancong berminat boleh menempah pakej melalui online iaitu www.SarawakBorneo.com atau menghubungi Kampung Budaya Sarawak menerusi e-mel enquiry@SCV.com.my dan telefon 082-846108 serta ejen pelancongan pilihan masing-masing.

Saturday, February 4, 2012

Sibu Jaya Bandar Pertama Komunikasi Tanpa Sempadan

Syabas atas kerjasama antara MOSTI dan Suruhanjaya Perumahan Sarawak (HDC) yang berjaya meningkatkan permintaan ke atas perumahan di Sibu Jaya dengan adanya 'cloud computing'.  

Ianya seakan sistem astro kecil yang mengunakan teknologi komputeran awan untuk menerima dan menghantar data tanpa batas.??!!  
Sibu Jaya pertama di Sarawak dilengkapi ‘Cloud Computing’
Posted on February 4, 2012, Saturday
Abang Johari
KUCHING: Sibu Jaya bakal menjadi bandar pertama di negeri ini dilengkapi dengan infrastruktur ‘Cloud Computing’ yang akan membolehkan masyarakat berkomunikasi tanpa sempadan.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, instrumen yang seakan-akan astro tetapi lebih kecil itu akan menghasilkan awan dan radar untuk menerima mesej, data, imej dan apa jua jenis komunikasi dari satu tempat ke tempat yang lain.

Menurut beliau, disebabkan projek Sibu Jaya tidak mendapat sambutan sebelum ini, maka kerajaan mengambil keputusan untuk menukar kawasan tersebut kepada perancangan yang moden.

“Saya melihat segelintir teknologi tidak sesuai kepada kita dan disebabkan itu, diperkenalkan ‘Cloud Computing’ yang akan memudahkan hubungan komunikasi sama seperti Hot Spot.

“Ia bagaimanapun akan menelan kos yang tinggi dan berapa banyak jumlah yang diperlukan, kami akan mengusahakannya untuk menjadikan murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Ulang Tahun Ke-40 Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Majlis Ramah Mesra Gong Xi Fa Cai di Dewan Rafflesia, Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.

Abang Johari menambah, sejurus projek ini berjaya kelak, ia akan diperkenalkan di semua kawasan projek perumahan kerajaan di negeri ini.

Penyedia teknologi bagi projek ini akan dibincangkan kemudian dan besar kemungkinan ia akan dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi pemasangan dan penyelenggaraan.

Dalam perkembangan berkaitan, sempena Ulang Tahun Ke-40 HDC, perbadanan akan meng-adakan pertandingan skim HDC bagi menggalakkan semangat kejiranan.

Pertandingan yang akan berlangsung sehingga Disember itu akan menawarkan hadiah tunai berjumlah RM18,000 untuk jawatankuasa kejiranan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites