Nuffnang

Friday, August 31, 2012

Perundangan Terbaharu Berkaitan Hal Perumahan Sarawak Diwujudkan!

Jangan sekali-kali kita menyalahkan kekurangan dana daripada kerajaan pusat sekiranya sesebuah projek perumahan itu mengalami masalah baik lambat mengikut jadual atau kekurangan bahan mentah untuk membangunkan perumahan.

Setelah dikaji oleh Kementerian Perumahan didapati kebanyakan masalah berpunca daripada kontraktor.  Apa yang menyedihkan pula mereka ini adalah kontraktor bumiputera!  Adakah kontraktor bumiputera kurang berpengalaman atau sengaja melewatkan projek demi mengejar kepentingan peribadi termasuk memiliki kehendak?

Diharap kontraktor bumiputera yang lewat ini akan disenarai hitam agar tidak memburukkan kontraktor bumiputera lain yang lebih layak!  Semoga pemberian kontrak akan dikaji dengan lebih teliti di masa akan datang!
Ordinan Perumahan baharu ambil kira kepentingan semua pihak

Utusan Borneo 30 Ogos 2012, Khamis

KUCHING: Sarawak bakal memperkenalkan Ordinan Perumahan baharu yang akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pembeli dan pemaju perumahan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ordinan yang akan mengambil kira semua hal perundangan dan ordinan perumahan itu kini dalam peringkat akhir perbincangan yang diketuai oleh Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Kita akan perkenalkan Ordinan Perumahan terbaharu yang akan mentadbir hal berkaitan pembangunan perumahan.

“Melalui Ordinan ini, ia akan mengambil kira keseluruhan undang-undang dan ordinan perumahan, maknanya kita perkenalkan perundangan terbaharu dalam hal berkaitan perumahan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Iraq ke Malaysia Dr Amal Mussa Hussain di pejabat beliau di Wisma Perumahan di sini, semalam.

Abang Johari memberitahu, ordinan baharu itu juga akan merangkumi usaha memantau Permit Kependudukan (OP) dan projek perumahan terbengkalai di negeri ini selain melihat kepentingan semua pihak.

Sementara itu beliau menafikan bahawa kekurangan dana daripada kerajaan persekutuan menjadi punca projek perumahan tidak dapat disiapkan mengikut jadual yang sepatutnya.

“Kita mendapat yang sepatutnya dan kita ada peruntukan kerajaan khasnya Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan juga rumah kos rendah cuma sekarang persoalannya adalah kontraktor kita sendiri yang lambat.

“Kadangkala kontraktor kita mengalami masalah dalaman dan paling menyedihkan lagi ia adalah syarikat kontraktor Bumiputera, kita cuma menawarkan bantuan sahaja kepada mereka yang menghadapi masalah ini,” tegas beliau.

Kini katanya antara projek yang bakal disiapkan termasuk flat di Kidurong Bintulu dan Batu Gong di Siburan selain dua lagi projek akan dilaksanakan pada tahun depan.

Beliau mendedahkan salah satu daripada projek yang akan dilaksanakan adalah di kawasan Semop, yang kini dalam perancangan dan dijangka menelan kos RM15 juta.

Sunday, August 26, 2012

Industri Pelancongan Sarawak Makin Diperkasa!!!


Industri pelancongan Sarawak akan membawa lebih banyak pelancong ke negeri ini dalam tempoh 5 tahun lagi. Ini dengan adanya pelan pembangunan untuk memperkasakan industri pelancongan Sarawak dalam semua sektor yang telah dikenalpasti.

Antara indsutri yang mampu berkembang dengan pesat adalah industri inap desa yang bakal menjadi industri utama di sekitar Santubong, Telaga Air, Lundu dan Sematan.

Lokasi-lokasi ini telah dikenalpasti sebagai destinasi utama bagi pelancong dari luar negara berkunjung untuk berehat sambil menghirup udara segar!

Semoga lebih banyak lagi aktiviti pelancongan dapat dipelbagailan untuk meningkatkan bilangan pelancong ke Sarawak ini.
Lokasi semula jadi terbaik
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 27 Ogos 2012, Isnin


PAKEJ PELANCONGAN: Abang Johari merenjis air mawar kepada pasangan pengantin yang melangsungkan perkahwinan di Santubong Homestay.

KUCHING: Tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan Sarawak memiliki kawasan pelancongan semula jadi terbaik dengan infrastruktur lengkap dan model yang melibatkan Lundu, Sematan, Telaga Air dan Santubong.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kementeriannya bersama Unit Perancang Negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia pada masa ini sedang mengkaji pembangunan infrastruktur di kawasan dikenal pasti itu.

“Maknanya dalam masa lima tahun akan datang, kita akan mempunyai satu kawasan yang boleh kita bangunkan untuk menarik pelancong yang suka dengan alam semula jadi,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 2012 Santubong Homestay di sini, semalam.

Menurutnya, usaha menaik taraf kemudahan itu adalah usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke negeri ini sekali gus memperkasakan industri pelancongan.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus kepada industri perkhidmatan yang berteraskan pelancongan,” ujarnya.Pada masa sama, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan yakin pelancongan di negeri ini mampu berkembang lebih pesat berikutan perancangan berterusan kerajaan memantapkan industri tersebut.

“Saya rasa masa depan kita lebih cerah namun kita perlu memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada kumpulan sasar,” jelasnya.

Beliau menambah, industri inap desa yang semakin berkembang di negeri ini juga memainkan peranan penting dalam usaha mengetengahkan budaya tempatan kepada pelancong asing.

“Ini kerana pengusaha inap desa selalunya akan mewujudkan produk kreatif termasuk menampilkan persembahan kebudayaan dan menyediakan makanan pilihan rakyat tempatan,” kata Abang Johari.

Mengulas mengenai prestasi industri inap desa di negeri ini, beliau berkata pada tahun lepas pengusaha inap desa negeri ini secara keseluruhannya mampu meraih pendapatan RM1 juta.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia telah memberi peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk menaik taraf kemudahan inap desa,” tambahnya.

Saturday, August 11, 2012

Abang Jo Yakin Fadillah Mampu Menang Besar di Petra Jaya!!

Abang Johari telah memberi jaminan bahawa Fadillah mampu pertahan Petra Jaya pada PRU13 kelak! Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan di Masjid Darul Hannah di Jalan Patinggan. 

Fadillah mampu mendapat majoriti besar berdasarkan sokongan padu yang sedia ada. 
Fadillah mampu pertahan Petra Jaya

by Wan Ali Amit. Utusan Borneo 12 Ogos 2012, Ahad

Mampu menang dengan majoriti besar berdasarkan sokongan padu rakyat

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yakin Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof mampu mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata Fadillah mampu memenangi kerusi Petra Jaya dengan majoriti besar berdasarkan sokongan padu rakyat di kawasan terbabit.

“Kita yakin Fadillah mampu menang besar dalam PRU13 akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Darul Hannah, Kampung Patingan, di sini semalam.

Majlis itu dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB Satok dengan kerjasama Yayasan 1MDB.

Seramai 220 orang penerima daripada 12 kampung sekitar bandar raya ini menerima sumbangan berupa wang tunai, kuih-muih dan beras (sumbangan BERNAS).

Abang Johari berkata tiga elemen penting iaitu aman, perpaduan kukuh dan kerajaan yang bertanggungjawab merupakan simbol kejayaan rakyat negara ini.

Katanya dalam suasana negara yang aman kita dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

“Dengan perpaduan kukuh rakyat segala program pembangunan yang kita rancang mampu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Justeru, kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin sudah pastinya dapat memelihara kebajikan dan membantu rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Ketua wanita PBB Satok Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg, Ketua Pemuda Satok Irwan Zulkarnaen Hasbi dan Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Kampung Patingan Datuk Seri Safri Awang Zaidel.

Abang Johari menarik perhatian bahawa program itu merupakan acara tahunan bagi membantu mereka yang kurang berupaya untuk sama-sama meraikan Hari Raya.

Beliau berharap dengan sumbangan itu dapatlah meringankan beban mereka dan keluarga untuk bersama-sama masyarakat Islam lain bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kita percaya kerjasama dan semangat perpaduan seperti itu dapat diperkukuhkan bagi menjamin kejayaan program pembangunan,” katanya.

Wednesday, August 8, 2012

Lagi Bubur Lambuk Diagih di Parlimen Petra Jaya!

Menjelang bulan Ramadan ini semakin banyak pula persatuan kebajikan turun padang untuk meringankan beban di bulan Ramadan.  Ini tidak kurang dengan penglibatan Persatuan Kebajikan Petra Jaya.  Sebanyak 700 lagi bubur lambuk diagihkan semamsa Program Bubur Lambuk PKPJ yang dihadiri oleh ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof bersama Pengerusi PKPJ Datin Amar Juma'ani dan Datuk Bujang Ulis.  

Program ini juga akan diteruskan kesemua kawasan DUN di sekitar Parlimen Petra Jaya.  Semoga usaha mereka ini mendapat berkat dan rahmat. 
Bubur lambuk terus diagih

by Wan Ali Amit. Utusan Borneo 7 Ogos 2012,Selasa

BUBUR LAMBUK: Juma’ani (tengah) menyampaikan bubur lambuk kepada penduduk sambil diperhatikan oleh Fadillah (kiri) dan Zamahari (kanan) di Samariang, Petra Jaya, Kuching kelmarin.

KUCHING: Sebanyak 700 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan sepanjang Program Bubur Lambuk Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) yang bermula Sabtu lalu.

Sementara kelmarin (Ahad), pengagihan bubur lambuk PKPJ itu telah diadakan di Kampung Samariang Jaya, Fasa II dan disampaikan oleh Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof bersama Pengerusi PKPJ Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Residen Kuching Zamahari Saidi, Pengerusi Surau Darul Amin Datuk Bujang Ulis dan AJK persatuan terbabit.

Jurucakap penganjur, Mohamad Abdullah Zaidel berkata pada tahun ini PKPJ telah mengambil ketetapan untuk melaksanakan program terbabit sebanyak empat kali iaitu pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dan diikuti DUN Samariang, DUN Tupong, DUN Pantai Damai dan DUN Demak Laut.

“Sebanyak tiga periuk besar telah disediakan untuk diagihkan kepada penduduk kawasan terbabit bermula jam 4.30 petang,” katanya.

Beliau berkata, program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan PKPJ di samping aktiviti kebajikan lain.

“Semoga dengan adanya program amal seperti ini dapat meningkatkan pahala dan keberkatan pada bulan puasa yang mulia ini,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa PKPJ adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti kebajikan untuk penduduk kawasan Parlimen Petra Jaya dan Santubong.

Di samping kerja-kerja amal, PKPJ turut mengadakan aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan, sumbangan kerusi roda kepada yang memerlukan, bantuan kepada mangsa kebakaran dan lawatan rumah ke rumah melawat pesakit yang daif.

Begitu pun tambahnya, kejayaan penganjuran setiap aktiviti-aktiviti itu hanya dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama, penglibatan dan keprihatinan individu yang telah memberi keceriaan kepada semua demi memastikan kesinambungan PKPJ.

“Justeru, segala usaha yang telah kita sama-sama gemblengkan mudah-mudahan diberkati seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Friday, August 3, 2012

Kelantan Bakal Dapat Royalti Minyak Tunai!!

Najib dikhabar telah menjemput MB Kelantan untuk membincangkan isu royalti minyak buat Kelantan.  Malah Nik Aziz turut gembira kerana bayaran akan dibuat dalam bentuk tunai.  Ikutilah kupasan oleh bujangsenangbn.
NAJIB SETUJU BINCANG ISU ROYALTI

Oleh bujangsenangbn 4 Ogos 2012

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat awal pagi ini memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan. Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau semalam. Perkara ini dimaklumkan oleh Nik Aziz kepadaHarakahdaily sebaik sahaja selesai solat Subuh di masjid berhampiran rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu pagi ini.

Beliau turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini. “Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya,” kata Nik Aziz. Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.
Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran ‘bayaran tunai’. Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadan. “Semoga ALLAH membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang,” katanya.

Rancangan Transformasi Pelancongan Sekitar Kuching

Peniaga dan usahawan diseru untuk menerima program transformasi pembangunan dan juga pelancongan di sekitar Kuching.  Mereka turut dipelawa untuk bersama-sama menjayakan program transformasi ini.  

Program transformasi ini adalah untuk kebaikan bersama demi mengindahkan dan membawa lebih banyak pelancong ke Kuching.   Menteri Pelancongan memberi amanat demikian ketika merasmikan Program Kerjasama Bistari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter.

Terima program transformasi
by Jessica Jawing. Utusan Borneo 4 Ogos 2012, Sabtu

Masyarakat peniaga harus terbabit dalam pembangunan kerajaan, kata Abang Johari

KUCHING: Masyarakat peniaga tidak harus menolak transformasi pembangunan termasuk pelancongan yang akan dilaksanakan kerajaan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan mempunyai rancangan pembangunan yang pasti akan membuahkan hasil kepada peniaga dan rakyat keseluruhannya.

Merujuk kepada Lebuh Carpenter di sini, Abang Johari berkata transformasi pembangunan kerajaan di kawasan terbabit nanti hanya akan menguntungkan peniaga dan penyewa di situ.

“Bagi kerajaan, kami perlu melihat rancangan jangka panjang iaitu kepentingan jangka panjang bandar raya Kuching, kepentingan ekonomi dan juga kepentingan penyewa serta pemilik bangunan.

“Kita berharap masyarakat Kuching memikir sedalamnya rancangan transformasi Kuching yang kita mahu laksanakan kerana ia pasti akan memuaskan hati semua nanti,” katanya berucap pada Program Kerjasama Bestari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter di sini, semalam.

Beliau tidak menafikan, di Kuching turut berlaku keraguan dalam kalangan penduduk terutamanya mereka yang memiliki hartanah.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, aktiviti perniagaan atau kepesatan ekonomi pasti memberi kesan kepada harga hartanah.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, kita percaya terdapat segelintir penyewa bangunan tidak akan gembira mengenainya kerana kenaikan sewa.

“Namun, ini mungkin dapat diselesaikan jika kawasan ini (Lebuh Carpenter) menjadi kawasan yang lebih bertenaga, maka penyewa atau peniaga perlu lebih kreatif untuk meningkatkan nilai perniagaan mereka,” ujar beliau.

Justeru, katanya, penyewa-penyewa perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan pelan jangka panjang kerajaan mampu membawa manfaat kepada semua.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Abang Johari berkata, kerajaan menggariskan beberapa pelaksanaan transformasi pelancongan sekitar Kuching.

Ini, katanya, termasuk kemungkinan memulakan perkhidmatan kereta kabel yang kini dalam kajian yang menghubungkan kawasan pantai di Santubong dan Pasir Pandak seperti mana pengumuman Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini.

“Selain itu, kerajaan negeri kini sedang dalam usaha membina jambatan untuk pejalan kaki dan basikal merentasi Sungai Sarawak.

“Kita menjangkakan jambatan mungkin dapat disiapkan pada tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dr Saadiah Abdul Samat dalam ucapannya berkata, Program Kerjasama Bestari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter merupakan usaha DBKU dengan Kementerian Pelancongan, Hotel 360 dan Plaza Merdeka untuk menghidupkan khazanah bersejarah.

“Program ini telah bermula sejak Jun lalu dan kerja-kerja menyelenggara bermula pada Ogos termasuk kerja pembersihan, mengecat, penyelenggaraan landskap dan penyelenggaran lampu secara berkala,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Plaza Merdeka Steve Ng dan Pengerusi India Street Pedestrian Mall Datuk Wee Hong Seng.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites