Nuffnang

Wednesday, November 28, 2012

RM 500 Juta Untuk Program Perumahan Rakyat!


2,847 unit rumah di bawah PPR di Sarawak tahun depan

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Sebanyak 2,847 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) telah diluluskan untuk dibina di Sarawak pada tahun depan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM512.46 juta.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia membabitkan 12 projek perumahan iaitu PPR Lambir, Miri (500 unit), PPR Saratok, Betong (68 unit), PPR Sri Aman (123 unit), PPR Kidurong, Bintulu (215 unit), PPR Permyjaya, Miri (314 unit), PPR Tabuan Melayu, Kuching (213 unit), PPR Sungai Tengah II, Kuching (439 unit), PPR Matang Batu 9, Kuching (93 unit), PPR Mukah II (66 unit), PPR Kanowit (91 unit), PPR Samarahan (303 unit) dan PPR Petra Jaya, Kuching (422 unit).

“Jumlah unit rumah yang telah diluluskan ini merupakan yang terbanyak di kalangan negeri di Malaysia iaitu 14 peratus daripada jumlah keseluruhan unit,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Bagi permulaan pembinaan projek tersebut, Abang Johari berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM95.16 juta.

Katanya kesemua projek ini akan dibina dengan reka bentuk yang menarik, selesa untuk diduduki, mempunyai keluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Pelaksanaan projek-projek perumahan ini kelak sudah tentunya akan dapat membantu mengatasi isu kesukaran rakyat untuk memiliki rumah memandangkan harga rumah di bawah PPR adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran melalui subsidi kos yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, harga seunit rumah yang ditawarkan ialah RM50,400 untuk unit tengah dan RM59,220 untuk unit tepi.

Berhubung status pelaksanaan PPR (dimiliki) yang sedia ada, Abang Johari berkata sejumlah RM100 juta dana kerajaan persekutuan telah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pada 2009 untuk membina 865 unit rumah atas tanah di Kuching, Samarahan, Mukah, Bintulu, Kanowit dan Song.

Katanya projek tersebut merangkumi PPR Matang Lot 5 (Taman Serapi – 156 unit), PPR Matang Sungai Tengah (Taman Banjaran Serapi – 311 unit), PPR Samarahan (Taman Tuang – 150 unit), PPR Mukah (Taman Mutiara Indah – 52 unit), PPR Kidurong (Kidurong Avenue – 100 unit), PPR Kanowit (Taman Dabai Indah – 68 unit) dan PPR Song (Taman Sri Jaya – 28 unit).

“Lima projek iaitu dua di Kuching, satu di Samarahan dan satu di Mukah telah siap pada November 2010 dan di Song siap pada Mac 2012 manakala dua lagi projek iaitu di Kidurong dan Kanowit sedang dalam proses mendapatkan Permit Pendudukan (OP) dan Sijil Jalan,” katanya.

Mengenai status pelaksanaan PPR (disewa) yang sedia ada pula, Abang Johari berkata sebanyak 2,000 unit pangsapuri untuk disewa telah dan akan siap di tiga lokasi iaitu PPR Batu Gong di Siburan, Kuching, PPR Seduan di Rantau Panjang, Sibu dan PPR Kemena di Bintulu.

Katanya, ketiga-tiga projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM238.5 juta melalui dana kerajaan persekutuan.

“PPR Seduan sebanyak 500 unit telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) pada Februari lalu manakala PPR Batu Gong (500 unit) dan PPR Kemena (1,000 unit) dijadual siap pada suku pertama tahun depan,” katanya.

Tanah Tinggi Bario Bakal Jadi Tarikan Pelancongan!

Kawasan Bario mungkin akan menjadi sibuk apabila kaedah pelancongan tanah tinggi selesai dikaji oleh Kementerian Pelancongan dengan agensi kerajaan PEMANDU. 

PEMANDU yang tidak asing di Sarawak kerana di bawah Dato Seri Idris Jala yang kerap berulang-alik ke Bario untuk melawat kampung halaman beliau.  
 
Selepas ini, lebih ramai lagi yang akan menyertai beliau untuk menikmati keindahan Tanah Tinggi Bario.
Pembangunan pelancongan tanah tinggi dikaji

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Kementerian Pelancongan sedang merancang menjalankan kajian terhadap pembangunan pelancongan tanah tinggi bagi mencari kelebihan niche pelancongan Sarawak yang boleh ditawarkan kepada pelancong.

Menurut Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, ujian makmal itu bakal dilaksanakan bersama PEMANDU sebagai fasilitator serta agensi kerajaan yang menyertai termasuk sektor swasta dan komuniti tempatan.

Kawasan yang dikenal pasti terlibat adalah Meligan dan tanah tinggi Bario serta bakal memberi manfaat kepada komuniti Kelabit, Lun Bawang, Saban dan Penan di sini.

“Kedatangan pelancong bermula Januari hingga September tahun ini mencatat 2,944,821 orang.

“Penambahan ketara itu dilihat melalui kedatangan pengunjung dari Singapura, China, Australia dan England dengan peningkatan 8.1 peratus iaitu sebanyak 2,723,964 berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Kementerian Pelancongan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Tarikan sektor pelancongan Sarawak merupakan pelancongan kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi (CAN).

Dalam pada itu, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan Taman Negara, Pusat Hidupan Liar dan Tanah Rizab begitu popular di kalangan pelancong.

“Sehingga Jun lepas, Taman Negara kita mencatat pengunjung seramai 206,186 dengan 26 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada pelancong warga asing.

“Untuk Jun 2012, Pusat Hidupan Liar Semenggoh merekodkan pengunjung teramai iaitu 46,370 diikuti Taman Negara Bako 21,052 dan Taman Negara Niah 11,862,” tambahnya.

Program inap desa di kampung-kampung juga semakin mendapat tempat di kalangan rakyat tempatan.

Menurut Abang Johari, sejumlah 28 kampung dengan 418 operator di seluruh negeri telah didaftarkan di bawah program itu.

Bagaimanapun, bagi memastikan pengusaha inap desa mematuhi piawaian yang ditetapkan kementerian, sejumlah 13 inap desa telah diaudit dan selebihnya akan dijalankan pada tahun depan.

Sehingga September tahun ini, program inap desa menghasilkan keuntungan sebanyak RM1.1 juta dan telah menarik sejumlah 2,453 pengunjung warga asing dan 7,516 merupakan pengunjung domestik.

Sewa RM150 Sebulan Untuk Pangsapuri PPR!

Satu lagi konsep mengurus Program Perumahan Rakyat telah diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan.  Bukan itu sahaja tetapi kadar sewa yang cukup berpatutan yang dikenakan sebanyak RM 150 sebulan.  

Agak berbaloi bagi yang baru berhijrah dari luar bandar ke bandar.  Tidak mustahil PPR ini akan membantu lebih ramai lagi golongan yang berhijrah dan sedang menyesuaikan diri di kawasan bandar.  Satu lagi projek kerajaan BN untuk manfaat rakyat bagi meringankan beban dalam menghadapi kemelesetan ekonomi global. 
Pengurus perumahan di pangsapuri sewa

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu
KAEDAH BAHARU: Abang Johari (tengah) menerangkan mengenai pelaksanaan kaedah menempatkan pengurus perumahan di pangsapuri awam kepada pemberita menerusi sidang media di bilik media, DUN di sini semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden (kiri).
KUCHING: Kementerian Perumahan akan menempatkan pengurus perumahan secara sepenuh masa di setiap kawasan pangsapuri disewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini untuk menguruskan pangsapuri-pangsapuri tersebut.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan untuk menambah baik pendekatan sedia ada dalam pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri awam Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) itu.

Jelas beliau, struktur baharu tersebut akan mengambil kira keperluan tenaga kerja teknikal dan pentadbiran serta penyelia blok yang mencukupi bagi memastikan proses pengurusan yang berkesan.

“Melalui kaedah pengurusan baharu ini, kita akan dapat memastikan kualiti penyelenggaraan dan tahap pengurusan pangsapuri awam dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, pengurus perumahan juga akan terdiri daripada individu yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan tentang pengurusan fasiliti iaitu kakitangan PPPS.

Tambah beliau, pelaksanaan kaedah tersebut juga tidak akan mempengaruhi kenaikan kadar sewa bulanan di mana ia akan kekal RM150 sebulan mengikut kadar sewa bulanan yang ditetapkan bagi Sarawak.

Sementara, bagi pembinaan projek pangsapuri baharu di bawah PPR pula, Abang Johari berkata kerajaan turut memperkenalkan konsep yang inovatif di mana pembinaannya akan melibatkan penyediaan kemudahan awam secara bersepadu seperti surau, tempat riadah, gelanggang permainan dan dewan serba guna.

Selain itu, katanya projek perumahan ini juga akan mengandungi kawasan lapang dan kawasan hijau (sekiranya tapak perumahan tersebut mempunyai keluasan yang cukup), penyediaan lot kedai serta kemudahan lif.

Pembinaan unit pangsapuri untuk sewaan di bawah PPR merupakan usaha kerajaan untuk menyediakan kediaman sementara kepada golongan yang memerlukan.

Memandangkan golongan memerlukan rumah semakin bertambah disebabkan trend penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang meningkat, kerajaan telah memutuskan untuk tidak menjual pangsapuri sedia ada atau yang baharu buat masa ini.

Malah, kadar sewanya yang rendah juga akan membolehkan golongan tersebut tinggal dalam tempat kediaman yang selesa dan pada masa sama mereka akan dapat menyimpan wang untuk membeli rumah sendiri.

Biar Betul! Terbang Dari Kuching Ke Australia!

Penerbangan dari Kuching akan menjangkau ke benua Australia menjelang bulan April tahun depan.  Ini adalah hasil daripada perbincangan oleh Kementerian Pelancongan dan penjadualan Penerbangan dalam Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).  Kerajaan Sarawak tidak membeli apa-apa syer dalam MAS tetapi sekadar berbincang dan bertukar pendapat mengenai laluan penerbangan baru bagi membolehkan Sarawak dihubungkan dengan dunia luar melalui industri pelancongan.  

Bukan itu sahaja laluan dari Kuching-Mulu- Bandar Seri Begawan akan ditambah untuk menghubungkan sanak-saudara di Brunei dan Mulu.

Syabas di atas usaha Kementerian Pelancongan Negeri di bawah Abang Jo demi menghubungkan Sarawak dengan negara luar.
Laluan Kuching ke Singapura, Australia dilaksana April

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan laluan antarabangsa pergi balik Kuching-Singapura dan Kuching-Australia akan diimplementasikan pada bulan April tahun depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat ekoran penstrukturan semula Penerbangan Malaysia (MAS) dan anak syarikatnya, MASWings baru-baru ini, serta mengambil kira manfaat kepada sektor pelancongan Sarawak.

“Penstrukturan itu telah dibuat oleh kerajaan persekutuan dengan memberi kuasa kepada kerajaan negeri melalui rundingan bersama MAS dan MASWings bagi menentukan laluan penerbangan.

“Selepas ini, apa sahaja keputusan yang akan dibuat memerlukan konsultasi kerajaan negeri,” katanya ketika bercakap pada sidang media selepas penggulungan perbahasan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Abang Johari berkata, penstrukturan itu tidak melibatkan sebarang pembelian saham milik syarikat penerbangan kebangsaan terbabit.

Tambah beliau, MAS akan membeli 56 kapal terbang baharu dengan nilai lebih kurang RM8 bilion bagi tujuan penambahan laluan tersebut.

Pada masa yang sama, program pembangunan MASWings baru-baru ini turut membuka laluan baharu iaitu Kuching-Balik Papan dan Kuching-Mulu-Bandar Seri Begawan bermula tahun depan.

Menyentuh mengenai rancangan masa depan kementeriannya, Abang Johari berharap Sarawak akan dipilih sebagai tuan rumah bagi Kongres Antarabangsa dan Persatuan Konvesyen (ICCA) pada tahun 2016 yang akan diumumkan pada bulan Mei 2013.

Pada masa sama, Biro Konvesyen Sarawak (SCB) juga menetapkan sasaran untuk membuat lebih banyak tawaran Sarawak sebagai rakan kerjasama perdagangan dan perwakilan.

“Sebagai contoh dengan negara China untuk mengkapitalkan pembangunan acara perniagaan,” katanya.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites