Nuffnang

Sunday, July 15, 2012

Bandaraya Kuching, Bandaraya Muzik?


Bandaraya Kuching akan menjadi mangsa pada bulan Julai setiap tahun! Ia akan menjadi sebuah bandaraya muzik apabila konsert jalanan, gerai peralatan muzik, tapak ekspresi muzik dan pondok karaoke memenuhi setiap kaki lima dan juga Tebingan Kuching menjelang RWMF!


Ini akan menghidupkan lagi suasana sambutan acara tahunan RWMF walaupun pusat sebenarnya di Santubong.

Semoga ianya tidak akan berhenti di Bandaraya Kuching sahaja, malah bandaraya lain di Sarawak pasti berminat untuk menyambung legasi RWMF dan menjadi tarikan pelancong apabila RWMF berlangsung.

Model promosi RWMF di Kuching diperkenal

Utusan Borneo 15 Julai 2012,


SANTUBONG: Sebuah model untuk mempromosi Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang bakal menghimpunkan penggemar dan pemain muzik dalam dan luar negara di sebuah tempat di bandar raya Kuching akan diperkenalkan tahun depan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberitahu, acara yang akan berlangsung sekurang-kurangnya selama seminggu itu merupakan landasan untuk saling mengenali muzik antara negara.

“Kita akan menghimpunkan pemain-pemain muzik luar negara dan tempatan, mungkin di Tebingan Kuching, di mana mereka boleh bertukar pendapat dan saling mempelajari muzik tersebut.

“Kita mahu bandar raya Kuching menjadi bandar raya muzik sempena bulan RWMF… kita lihat pada tahun depan sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya tetapi mengikut naluri saya, program ini mampu berjaya,” katanya pada sidang media di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik.

Abang Johari menyifatkan Tebingan Kuching yang mempunyai banyak bangunan bersejarah, selain berhampiran hotel terkemuka merupakan lokasi yang sesuai untuk meng-adakan acara tersebut.

“Ia akan memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati dan turut mempelajari muzik yang dimainkan mereka, seolah-olah sebuah bengkel kasual,” katanya.

Ia juga akan memaparkan pameran kraf yang akan disertai peserta dalam dan luar negara, tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjangkakan jumlah pengunjung RWMF untuk ketiga-tiga hari meningkat kepada 22,000 daripada lebih 21,000 pada tahun lepas.

“Ini adalah setelah mengambil kira jumlah kedatangan pengunjung pada hari pertama, iaitu seramai 6,000 berbanding kelaziman 5,000 kerana selalunya, pengunjung pada hujung minggu (hari kedua dan ketiga) lebih ramai berbanding hari pertama.

“Kita berharap kita berjaya mencapai jumlah pengunjung lebih tinggi tahun ini,” katanya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Wednesday, July 11, 2012

Sungai Bintangor Terus Dibaik Pulih Di Bawah Kerajaan BN!


Kerajaan BN turut membaik pulih sungai-sungai bukan setakat bangunan dan rumah-rumah di sekitar kawasan di Satok.

Sungai Bintangor tidak tertinggal dalam senarai sungai yang mendapat peruntukan untuk dibaik pulih dan diperindahkan lagi. Ini kerana sungai akan menjadi tarikan pelancong. Kalau sungai tidak dijaga akan menjadi seperti longkang yang menerima nasib seperti di kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Syabas kepada YB BN yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada negeri Sarawak yang tercinta.


Sungai Bintangor Terus Diperindah


KUCHING: Sungai Bintangor yang merupakan tarikan perkampungan Melayu moden di Satok akan terus diperindahkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, usaha memperindahkan sungai berkenaan termasuk membersihkannya dan membaik pulih tebingan di sepanjang sungai.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas meluluskan peruntukan berjumlah RM120,000.

“Peruntukan tambahan ini akan digunakan untuk membersih dan membaik pulih sungai,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia Kepada Pemimpin Masyarakat di sini, semalam.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, kecurian besi dan rantai di tepi tebingan sungai pula sudah diganti semula.

“Saya berharap penduduk setempat dapat menjaga tebingan dan sungai ini.

“Ini kerana sungai ini merupakan ikon dan mampu menjadi tarikan pelancong,” ujarnya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Tuesday, July 10, 2012

Zon Komunikasi Pintar Satok Bakal Beroperasi Bulan Depan.


Penduduk DUN Satok bakal menikmati perkhidmatan internet percuma. ADUN Satok berjanji akan membayar perkhidmatan internet percuma ini bagi membolehkan penduduk di Satok membincangkan masalah mereka secara atas talian dalam Zon Komunikasi Pintar Satok.

Rupa-rupanya penduduk di bandar pun tidak ketinggalan untuk menikmati perkhidmatan wayarless jalur lebar. ADUN Satok sudah mengenal pasti dan mengetahui tidak semua isi rumah yang peka untuk cenderung kepada IT. Oleh itu, beliau telah mengambil inisiatif dengan membawa IT ke rumah di sekitar Satok.

Syabas kepada usaha pemimpin kita yang proaktif dan mesra rakyat. Sesungguhnya rakyat sentiasa didahulukan di Satok.

Penduduk DUN Satok bakal nikmati perkhidmatan Internet percuma

Selasa, 10 Julai 2012 Utusan Borneo Online



BEGINI: Abang Johari memberitahu sesuatu kepada salah seorang penerima Komputer Riba 1Malaysia mengenai penggunaannya.

KUCHING: Lebih 20,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok bakal menikmati perkhidmatan Internet percuma bermula bulan depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pada masa sekarang kerja-kerja memasang sistem jalur lebar bernilai RM100,000 sedang giat dijalankan.

Menurutnya, sebanyak empat lokasi dikenal pasti merangkumi Kampung Masjid, Kampung No.5, Kampung Muda Hashim dan Kampung Kudei untuk menempatkan peralatan sistem jalur lebar itu.

“Usaha ini bagi membolehkan penduduk menggunakan perkhidmatan Internet secara meluas tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Rakyat hanya menggunakan perkhidmatan ini dan kami akan bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia Kepada Pemimpin Masyarakat di sini, semalam.

Abang Johari yang juga ADUN Satok menjelaskan, Satok merupakan kawasan DUN pertama di negeri ini mempunyai komunikasi pintar.

“Dengan adanya perkhidmatan Internet percuma, pemimpin masyarakat dan rakyat lebih mudah berhubung termasuk membincangkan masalah di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, perkhidmatan Internet itu juga amat perlu bagi generasi muda yang pada masa sekarang mempunyai peralatan komunikasi.

“Mereka kini tidak perlu bersusah untuk mencari maklumat daripada Internet kerana kami menyediakan secara percuma,” jelasnya.

Selain itu, beliau menambah, penduduk yang menguasahakan perniagaan boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk mempromosi dan memasarkan produk masing-masing.

“Sekarang ini kebanyakan usahawan memasarkan produk dengan konsep e-commerce,” kata Abang Johari.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Sunday, July 8, 2012

Helmet 1Malaysia Buat 20 Orang Pemilik Bertuah!!

Pemuda PBB akan menyerahkan Helmet 1Malaysia kepada 20 orang dewasa dan 5 orang kanak-kanak. Untuk mendapat helmet istimewa ini, sila hantarkan pesanan ringkas ke nombor berikut 0146900385 Sila sertakan perkara berikut dalam pesanan ringkas(sms) anda.
1) Nama penuh
2) Alamat rumah
3) Lesen motosikal
4) No telefon
Gambar hiasan

Friday, July 6, 2012

Sektor perkhidmatan semakin penting: Abg Johari



by Patricia Gari. Posted on Utusan Borneo 6 Julai 2012

Ia menyumbang 35.5 peratus kepada KDNK 2011, 11 peratus daripadanya disumbang pelancongan

KUCHING: Sektor perkhidmatan menyumbang 35.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2011 dan daripada jumlah itu 11 peratus disumbangkan oleh sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata pertumbuhan itu dijangka meningkat tahun depan berikutan perkembangan pesat industri-industri sokongan terutama industri mesyuarat dan penambahbaikan infrastruktur pelancongan di negeri ini.

“Kerajaan negeri bekerja keras bagi memastikan kemakmuran ekonomi tercapai menerusi pembangunan mapan dan objektif-objektif pelan pembangunan.

“Dengan sokongan kuat daripada kerajaan pusat serta agensi-agensi swasta industri acara perniagaan, saya pasti Sarawak berada di laluan yang betul,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Perniagaan Pembekal/Pelanggan serta Seminar Pendidikan Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) Cawangan Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dekat sini.

Beliau berkata menyedari perkembangan pesat industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan penginapan serta infrastruktur pelancongan lain terutama di sekitar bandar raya Kuching bagi memenuhi keperluan peserta delegasi yang berjumlah 2,000 hingga 3,000 orang.

Ketika ini kemudahan penginapan di bandar raya ini hanya mampu menampung 500 hingga 600 delegasi pada satu-satu masa.

“Jika delegasi persidangan atau mesyuarat 2,000 atau 3,000 orang, hotel-hotel kita akan penuh sesak mungkin tempat penginapan tidak cukup, jadi kita harus menaik taraf kemudahan penginapan dan infrastruktur lain.

“Maknanya perlu lebih banyak hotel sekurang-kurangnya bertaraf empat bintang dan menaik taraf sistem pengangkutan,” jelasnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata pertumbuhan KDNK Sarawak sebanyak 4.5 peratus turut disumbang oleh sektor-sektor lain.

Sektor pengeluaran katanya menyumbang sebanyak 28 peratus (kepada KDNK 2011) diikuti perlombongan (21 peratus) dan pertanian (15.5 peratus).

Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia akan memberi peluang pembelajaran yang hebat dalam industri mesyuarat khususnya tidak hanya kepada Sarawak tetapi delegasi dari Australia, Hong Kong, China, Thailand, India, Indonesia, Republik China, Macao, Singapura, Perancis, United Kingdom dan Semenanjung Malaysia.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Pengerusi ICCA Cawangan Asia Pasifik merangkap CEO Gold Coast Tourism, Australia Martin Winter, CEO Biro Konven-syen dan Pameran Malaysia Zulkefli Sharif, Pengarah Urusan Biro Konvensyen Sarawak Mike Cannon, CEO Pusat Konvensyen Borneo Kuching Paul D’Arcy serta Pengarah Urusan AOS Konvensyen dan Acara Amos Wong.

Sunday, June 24, 2012

KOPREM perlu bijak rangka perniagaan yang sesuai dengan kemahiran ahlinya


Posted on June 25, 2012, Monday

KUCHING: Koperasi Pesara Rejimen Renjer Malaysia Sarawak Berhad (KOPREM) perlu bijak merangka bidang perniagaan yang bersesuaian dengan kemahiran setiap ahlinya.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, antara bidang perniagaan yang dilihat berpotensi untuk dimajukan termasuk inap desa, kapal pelayaran dan kedai runcit.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan banyak platform atau peluang untuk memulakan perniagaan namun rakyat sendiri yang perlu memikirkan idea sesuai untuk diusahakan.

“Saya amat gembira dengan penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam koperasi dan berharap ia (koperasi) dapat membantu memacu ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama KOPREM dan Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan mahu KOPREM membuat kertas kerja terbaik dan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mendapatkan geran.

“Sekiranya kertas kerja yang dikemukakan KOPREM menarik, maka mereka layak untuk mendapat geran berjumlah RM30,000 dan mungkin menerima pinjaman tambahan bagi memulakan perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ahli koperasi agar mengamalkan integriti tinggi bagi membolehkan entiti berkenaan terus berkembang dengan pesat.

“Setiap ahli harus amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” jelasnya.

Pada majlis sama, Abang Johari mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada KOPREM.

Sementara itu, seramai 10 pesara Rejimen Renjer Malaysia menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang terdiri daripada Lans Korperal Kassim Abdullah, Lans Korperal Budong Padan, Lans Korperal Gripin Anyu, Renjer Gilbert Bulle Untan, Korperal Abdul Rahman Omar, Korperal Idris Apit, Renjer Yusof Ayub, Korperal Ahmet @ Sabawi Morshidi, Korperal Mohd Salleh Mohamed dan Lans Korperal Josing Nakid.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid dan Pengerusi KOPREM Mejar (Bersara) Wara Mejini Lani.

Sunday, June 10, 2012

Satok jadi kawasan wayarles percuma dalam tempoh sebulan



Posted on June 10, 2012, Sunday

KUCHING: Seluruh warga Satok di sini akan menikmati perkhidmatan tanpa wayar secara percuma semula dalam jangka masa sebulan ini.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberitahu, kemudahan itu yang sebelum ini berhadapan dengan masalah teknikal akan siap dibaiki tidak lama lagi., Katanya, projek bernilai RM80,000 itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Diharapkan penduduk Satok akan memanfaatkan kemudahan yang disediakan ini sebaik mungkin,” katanya ketika merasmikan program motivasi Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di Kompleks Belia dan Sukan, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, dan pengerusi penganjur merangkap ketua pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Satok Ir Irwan Hasbi.
Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Satok memberitahu, kemudahan tersebut diharap tidak disalah guna khasnya dengan menulis blog untuk menentang kerajaan.

Sebaliknya, katanya, ia harus digunakan untuk menambah ilmu, khususnya oleh golongan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.

Beliau turut memberitahu beberapa sekolah di kawasan itu akan turut menjalani proses menambah baik kemudahan seperti Sekolah Kebangsaan Merpati Jepang, SK Combined, SK Chung Hua dan lain-lain.

Abang Johari turut menyeru golongan pelajar untuk meningkatkan daya kreativiti dan inovasi memandangkan pembangunan negara berkisar kepada perkara tersebut.

Sambil menekankan ibu bapa mempunyai peranan penting dalam pendidikan anak-anak katanya, golongan pelajar turut memainkan peranan penting untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang ada bagi menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah.

“Sebab itu penting untuk mereka dibimbing dalam acuan tersebut agar mempunyai nilai tambah selaku modal insan berkualiti pada masa hadapan,”

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites