Nuffnang

Saturday, January 28, 2012

BN terus usaha bantu rakyat biarpun ekonomi mendesak: Abang Johari


Utusan Borneo on 29 Januari 2012, Ahad

KUCHING: Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus berusaha untuk membantu rakyat yang memerlukan, meskipun keadaan ekonomi mendesak.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, misalnya dengan keadaan ekonomi tidak menentu akibat perkara yang berlaku di Timur Tengah, kerajaan masih mampu memberi bantuan kewangan kepada rakyatnya.

“Lima tahun lepas akibat pertelagahan yang berlaku di Timur Tengah khasnya pengeluar minyak seperti Iraq, Mesir dan sebagainya menyebabkan harga minyak naik dan sekali gus kos hidup naik.

“Ia melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk di negara kita, namun kita bersyukur kerana pemimpin kita mencuba sedaya-upaya untuk membantu rakyat kesan daripada situasi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada majlis penyerahan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada seramai 399 penerima dari kawasan Satok yang dihadiri Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang sini, semalam.

Penerima-penerima berkenaan merupakan sebahagian daripada 11,000 penerima BR1M fasa pertama di konstituensi Parlimen Petra Jaya, yang diagihkan secara berperingkat.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, hanya pemimpin BN sahaja yang mampu menguruskan ekonomi dengan baik.

Katanya, apa yang dibuat kerajaan adalah untuk mentransformasikan ekonomi dan menambah nilai pendapatan kepada negara.

“Pemimpin BN tahu menguruskan ekonomi negara dan kita tidak hanya bercakap kosong sahaja sebaliknya merealisasikannya.

“Bagi kita, kita akan bekerja dan terus membantu rakyat mencari jalan bagi mengurangkan bebanan khasnya di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.

Beliau dalam pada itu mengingatkan para penerima baucar itu semalam agar tidak terpedaya dengan individu yang tidak bertanggungjawab dengan menukar bantuan mereka.

Abang Johari memberitahu, sehingga kini BR1M menyaksikan seramai 42,000 penerima sekitar Kuching menerima bantuan kerajaan itu bagi fasa pertama.

Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata, bantuan berkenaan merupakan komitmen kerajaan BN untuk meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, sehingga kini di konstituensi Parlimen Petra Jaya seramai 11,000 orang telah diluluskan permohonannya.

“Namun pengagihan buacar ini akan kita laksanakan secara berperingkat dan kalau ada masalah kecil, sila maklumkan kepada kami atau residen untuk diperbaiki,” tegasnya.

Sunday, January 15, 2012

Perbadanan Modal Bumiputera Satok ditubuh untuk bantu rakyat

Posted on January 16, 2012, Monday

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok menubuhkan dana pelaburan Perbadanan Modal Bumiputera Satok (PMBS) untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonominya.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, buat permulaan PMBS disuntik dana berjumlah RM1 juta untuk pelaksanaan pelaburannya.

“Saya dan Datuk Fadillah Yusof (Ahli Parlimen Petra Jaya) menyediakan dana masing-masing setengah juta dan selebihnya dibantu institusi lain dan kerajaan pusat.

“Pelaburan dana terbabit melibatkan pelbagai perniagaan terutama pembangunan hartanah,” katanya pada sidang media di Pejabat PBB Cawangan Satok, di sini semalam.

Terdahulu, Abang Johari mempengerusikan mesyuarat exco PBB Satok bagi membincangkan pelbagai pelan pembangunan peningkatan ekonomi bagi rakyat kawasan terbabit.

Abang Johari menarik perhatian penubuhan PMBS merupakan idea bernas beliau untuk memacukan rakyat di kawasan Satok setelah melihat kejayaan yang dikecapi oleh negara jiran.

“Saya tidak mahu beritahu nama negara jiran yang berjaya menggunakan pelan pembangunan ini. Namun, saya percaya apabila kita laksanakan PMBS nanti ia mampu meningkatkan taraf ekonomi rakyat kawasan Satok,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, antara perancangan pelaburan yang menguntungkan dicadang ialah pembangunan hartanah.

Menurutnya, Satok merupakan kawasan segi tiga emas yang pesat membangun dengan pelaburan tinggi dalam sektor perniagaan, pelancongan dan pelaburan.

“Saya percaya penubuhan PMBS menjadi instrumen pelaburan penting buat rakyat kawasan ini sebagai modal dalam pelaburan perniagaan,” katanya.

Abang Johari berkata, sebelum PMBS dilaksanakan PBB Satok akan mengadakan seminar mengenai pelaburan kewangan dalam masa terdekat ini dengan kerjasama Sime Darby dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurutnya, seminar itu adalah bagi memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha tempatan dan syarikat-syarikat tempatan menimba pengalaman dalam bidang pelaburan.

“Saya yakin dengan memiliki pengalaman yang baik dalam dunia pelaburan, maka usahawan tempatan kita dapat melaksanakan dengan berkesan dana terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap peniaga-peniaga kecil, industri sederhana dan usahawan tempatan dapat menggunakan sebaik-baiknya landasan yang telah disediakan.

“Saya percaya dengan tertubuhnya PMBS, ia akan mampu melahirkan ramai usahawan berjaya di samping meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites