Nuffnang

Tuesday, October 25, 2011

Zakat kita diiktiraf dunia



Posted on October 25, 2011, Tuesday


Sistem pembayaran zakat menerusi TBS menjadi contoh negara lain, kata Abg Jo

KUCHING: Sistem pembayaran zakat negeri ini menerusi Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) mendapat pengiktirafan antarabangsa dan menjadi contoh negara lain.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga seorang daripada ahli pengasas TBS telah menceritakan bagaimana keperluan untuk sistem itu dilaksanakan di negeri ini.

“Kita menyedari pada mulanya bahawa terdapat keperluan untuk satu sistem di mana wang zakat boleh diambil secara sistematik dan bagaimana ia diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Terdapat banyak cabaran pada mulanya tetapi saya gembira bahawa TBS kini mendapat pengiktirafan sebagai satu sistem yang menyeluruh dalam kutipan wang zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan van jenazah sumbangan Bank Simpanan Nasional kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di Bank Simpanan Nasional (BSN) Satok semalam.

Pada masa yang sama beliau menjelaskan bahawa sistem kutipan wang zakat di negeri ini menjadi contoh di Australia dan New Zealand, yang menyatakan betapa berjayanya sistem ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memuji langkah yang diambil oleh BSN dan menggesa langkah tersebut menjadi contoh kepada pihak lain di negeri ini.

Terdahulu, Pengarah BSN Negeri Zawawi Nor dalam ucapannya berkata, pada tahun ini sahaja BSN memperuntukkan RM4.2 juta bagi membeli van jenazah untuk diberikan di seluruh negeri, pembayaran wang zakat, bantuan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.

Selain itu, beliau menambah bahawa BSN akan terus memastikan perkhidmatan dapat diberikan kepada masyarakat luar bandar terutama di Sarawak dan Sabah.

Turut hadir Pengerusi LAKMNS Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor.

Masalah penerbangan selesai sebulan



by Jeremy Lanson. Posted on October 25, 2011, Tuesday


Pihak berkaitan cuma memerlukan sedikit masa lagi: Abang Johari

KUCHING: Masalah ketidaktentuan jadual penerbangan di negeri ini akan mencapai penyelesaiannya dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata masalah tersebut kini hampir menemui penyelesaiannya cuma memerlukan sedikit masa lagi seperti yang dijanjikan beliau sebelum ini.

“Tadi saya bersama Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan mesyuarat dengan pihak atasan pengurusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu Pengerusinya Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusannya Datuk Ahmad Jauhari.

“Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kita telah mencapai persefahaman dengan MAS dan kita mengharapkan agar masalah (penerbangan) yang dihadapi sebelum ini akan dapat dikurangkan dan diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan berharap agar rakyat khususnya di negeri ini dapat bersabar.

“Sebelum ini saya ada memberitahu masalah tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan dan kini masih tinggal sebulan lagi.

“Justeru apa yang dapat saya nyatakan di sini ialah kita sudah mempunyai harapan bahawa masalah ini akan dapat diselesaikan…cuma beri saya tempoh sebulan lagi untuk mengumumkan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia Miles Kupa di Pejabat beliau, di sini semalam.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kini bersedia untuk menerima pelbagai jenis penerbangan.

“Sebelum ini mungkin tidak…tetapi kini LTAK sudah bersedia untuk menerima apa sahaja jenis pesawat dan ini juga dapat menyelesaikan masalah penerbangan dari luar negara.

“Ini kerana kita difahamkan, kebanyakan warga asing terutama dari Eropah dan sebagainya datang ke negeri ini untuk mengikuti konvensyen dan mereka mengejar masa.

“Disebabkan itu, kita merasakan keupayaan LTAK kini juga sedikit sebanyak akan dapat menyelesaikan masalah penerbangan di negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, kini kebanyakan penerbangan dari luar negara terpaksa melakukan pendaratan di Kuala Lumpur ataupun Singapura sebelum ke Sarawak.

“Ini menimbulkan masalah, kerana ia akan memakan masa yang lama,”katanya.

Thursday, October 20, 2011

RMM Siap Disember: Johari


SIBU: Fasa Pertama Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Dabai Indah di Kanowit dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari berkata, pembinaan 68 unit rumah berkenaan yang melibatkan keluasan kira-kira lima ekar telah 65 peratus siap.

“Masa pembinaan adalah 24 bulan atau dua tahun. Biarpun secara teknikalnya projek tersebut lambat dua bulan, namun saya percaya ia dapat disiapkan pada bulan Disember nanti,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, bagi fasa kedua ia akan melibatkan 197 unit rumah termasuk tadika, dewan serba guna serta pusat keagamaan.

Menurut Abang Johari, pelaksanaan projek fasa pertama tersebut adalah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua di bawah Program Perumahan Awam dengan melibatkan kos sebanyak RM8.5 juta.

Setiap unit rumah berkenaan akan dijual dengan harga RM50,400 di bahagian tengah dan RM59,220 bahagian tepi.

“Keseluruhannya kita (kerajaan) mengenakan subsidi sebanyak 50 peratus berbanding kos asal pembinaan bagi seunit rumah ialah kira-kira RM130,000,” ujar beliau.

Abang Johari berkata, apa yang diperlukan ketika ini adalah gambaran keseluruhan pembangunan projek terbabit termasuk membina jalinan jalan raya serta sistem perparitan.

Ia bertujuan memastikan usaha memperluaskan projek pembukaan tanah di Kanowit dapat dilaksanakan secara sistematik.

Jelas beliau, rakyat di Kanowit mempunyai sosio-ekonomi yang kukuh apatah lagi ia terletak berhampiran dengan bandar Sibu.

Namun apa yang lebih penting ialah penyediaan pusat-pusat rekreasi sesuai dengan saranan Ketua Menteri yang mahukan supaya tumpuan lebih diberikan kepada pembangunan komuniti.

Monday, October 17, 2011

Inovatif Promosi Pelancongan

LANCAR: Abang Johari menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran Kelab Percutian Easturia di Kuching, semalam. Turut kelihatan, Talib (kanan)

KUCHING: Cabaran yang dihadapi industri pelancongan negeri menuntut para penggiatnya untuk lebih inovatif dalam mempromosikan sektor itu agar mampu merealisasikan matlamat menjadikan Sarawak destinasi utama pelancongan di rantau ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, penggiat pelancongan di negeri ini perlu terus meningkat dan memantapkan produk dan perkhidmatan sedia ada agar dapat menandingi persaingan sengit dari destinasi-destinasi pelancongan lain.

“Walaupun industri pelancongan dijangka kekal berdaya tahan, namun masih ada keperluan untuk penggiat pelancongan sektor awam dan swasta menggembleng tenaga agar lebih inovatif mencipta cara-cara mempromosikan negeri ini.

“Ini kerana kita mahu Sarawak menjadi pilihan utama kepada pelancong… apabila sebut sahaja Borneo atau Malaysia, mereka secara automatiknya akan teringatkan Sarawak,” katanya ketika berucap melancarkan Kelab Percutian Easturia di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip.

Abang Johari berkata, untuk tujuan itu, Sarawak juga perlu menerokai bidang-bidang pelancongan yang berpotensi bagi memperkasakan tarikan pelancong ke negeri ini.

Menurutnya, prospek industri ‘timeshare’ juga kekal positif dan berpotensi untuk tumbuh pada kadar yang menggalakkan pada masa depan.

Sementara itu, beliau mengalu-alukan inisiatif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) atas penglibatannya dalam industri ‘timeshare’ yang mana akan memantapkan pembangunan industri pelancongan negeri ini.

Beliau bangga SEDC mengambil inisiatif global yang bijak menerusi anak syarikatnya, Sara Worldwide Vacation Berhad dengan kerjasama Resorts Condominiums International (RCI) memandangkan jualan tahunan industri ‘timeshare’ negara bernilai RM100 juta.

“Dengan ini, pelancong dan kelab pelancongan dari lebih 100 buah negara seluruh dunia mendapat akses segera terhadap apa yang Sarawak tawarkan kepada pengunjungnya.


“Ini merupakan kaedah yang inovatif dalam memasarkan Sarawak sebagai destinasi percutian sekali gus menempatkan Sarawak di peta pelancongan dunia dan meraih urus niaga ulangan daripada pelawat asing dalam jangka masa panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jualan Sara Worldwide Vacation, Gary Cha ketika ditemui semalam berkata, pelancaran Kelab Percutian Easturia akan membantu memartabatkan portfolio pelancongan negeri ke tahap yang lebih tinggi.


Menurutnya, kelab itu bergabung dengan RCI, yang merupakan syarikat pertukaran global terbesar dengan rangkaian pertukaran yang merangkumi lebih 4,000 pusat peranginan di lebih 100 buah negara.

“Menerusi kerjasama ini, ahli kelab berpeluang bertukar keistimewaan dengan pelbagai pusat peranginan di seluruh dunia,” jelasnya.

Beliau menjelaskan, ahli kelab tempatan boleh bercuti di mana-mana rangkaiannya iaitu seperti di Sarawak, pihaknya menawarkan Hotel Grand Margherita dan Damai Beach Resort selain Birch Plaza Apartment di Pulau Pinang.

Bagi yang ingin bercuti di luar negara, mereka hanya perlu membayar yuran pertukaran kira-kira RM954 sahaja.

“Kita juga bercadang untuk memperluaskan rangkaian destinasi di negara ini pada masa depan,” katanya.


Menurutnya lagi, kelab itu merupakan produk ‘timeshare’ terbaru bagi syarikat yang telah berkecimpung dalam industri pemilikan percutian sejak 15 tahun lepas.


Katanya, program keahlian dengan tempoh 30 tahun ini menyediakan percutian yang menarik kepada semua ahli-ahlinya.


Bayaran yang dikenakan untuk keahlian selama 30 tahun itu bermula serendah RM11,000 hingga RM23,000.
Untuk keterangan lanjut, sila e-mel ke enquiry@ easturia.com.my atau hubu-ngi 082-238007

Wednesday, October 12, 2011

Abang Johari Berharap Basmi Kemiskinan Melalui Belanjawan 2012!!!

Belanjawan 2012 yang mesra rakyat basmi kemiskinan akan dikecapi bersama di Sarawak.  Menteri Perumahan akan memastikan bahawa masalah setinggan akan dibasmi di Sarawak.  Menurut beliau, Miri mendahului bandaraya lain di Sarawak sebanyak 4000 kes dan diikuti oleh Bintulu 3000 kes dan Kuching sebanyak 1000 kes. 

Penempatan baru sudah dikenalpasti dan kini cuma menunggu kelulusan peruntukan untuk digunakan untuk membangunkan kawasan RMR dan membasmi setinggan terus.

Datuk Amar Abang Johari sudah meneliti kes setinggan ini sehingga beliau menjangkakan setiap kes mempunyai lebih dari sebuah keluarga asas dan untuk itu juga bilangan rumah mesra rakyat juga dibanyakkan lagi agar setiap keluarga mampu menjalani kehidupan sebagai rakyat Malaysia dengan lebih selesa.  

Beruntunglah dengan perihatin Perdana Menteri dan Kerajaan BN untuk membawa transformasi pembangunan kepada rakyat beserta dengan suntikan dan imbuhan untuk melalui waktu ekonomi yang mencabar kini!!  Semoga BN sentiasa di hati rakyat Malaysia. 

Usaha serius basmi setinggan

by Sandy Mark Luna. Posted on October 11, 2011, Tuesday

KUCHING: Kerajaan negeri akan berusaha mendapatkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada lebih RM400 juta yang diluluskan dalam Belanjawan 2012 untuk Program Perumahan Rakyat bagi melengkapkan usaha membasmi penempatan setinggan di Sarawak.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pada pembentangan Belanjawan 2011, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga diberi peruntukan tambahan untuk membina 10,000 unit RMR dan beliau sudahpun meminta agar sebahagiannya diberi kepada negeri ini.

“Kami memfokuskan untuk memindahkan penghuni kawasan setinggan dan kawasan yang paling mendesak adalah Miri dengan jumlahnya menghampiri 4,000, diikuti Bintulu sekitar 3,000 dan Kuching sekitar 1,000.

“Tetapi kita bukan hanya melihat pada jumlah rumah setinggan sahaja kerana jumlah keluarga di dalamnya mungkin lebih daripada satu dan sebab itulah kami menganggarkan untuk membina sekitar 20,000 rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis makan malam penghargaan kepada Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Perumahaan (HDC) di sini, malam Ahad.

Hadir sama, Menteri Muda Perumahan Abdul Abdul Karim Rahman Hamzah, bekas Pengerusi HDC Datuk Abdul Wahab Aziz dan Pengerusi HDC Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen dan Pengerusi Daya Builders Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Setinggan Ne-geri berkata, kawasan penempatan baru yang dikenal pasti juga terletak berhampiran kawasan setinggan yang didiami sekarang.

Menurutnya, kawasan setinggan di Miri yang kebanyakannya terletak di kawasan Lutong akan ditempatkan semula ke Permyjaya dan Tudan manakala Bintulu (Kidurong dan Kemena).

Bandar raya ini (Kuching) pula, katanya, bukan satu masalah besar memandangkan jumlah rumah setinggan yang agak rendah dan ia akan ditempatkan di kawasan Muara Tabuan dan berdekatan Tabuan.

Tambahnya, sebuah kawasan penempatan baru akan dibuka yang memerlukan pembinaan sebuah jambatan terlebih dahulu bagi menghubungkan kawasan itu.

“Saya tidak boleh mendedahkan (kawasan itu) buat masa ini kerana tidak mahu orang membuat spekulasi mengenai perihal tanah,” katanya.

Abang Johari memberitahu, harga rumah mampu milik adalah antara RM47,000 hingga RM54,000.

Secara keseluruhannya, katanya, sektor perumahan di negeri mempunyai momentum yang baik cuma terdapat sedikit masalah berkaitan isu kewangan.

“Bagaimanapun, kita boleh membuat rundingan dengan kerajaan persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak peruntukan.

“Kita dah ada RM60 juta dan tahun depan sebanyak RM70 juta lagi akan masuk dan setakat ini, kita mempunyai RM130 juta, selain daripada SPNB dan rumah mampu milik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memberitahu HDC akan terlibat dalam lebih banyak projek komersial dengan memajukan projek pembangunan bercampur.

Katanya, keuntungan daripada projek itu akan digunakan untuk mensubsidikan pembangunan perumahan kos rendah dan rumah mesra rakyat.

Sebuah anak syarikat HDC, Daya Builders yang sebelum ini dinamakan Daya Perumahan, katanya sudah mula membida untuk melaksanakan projek kerajaan persekutuan.

Manakala sebuah lagi projek membangunkan 1,000 ekar tanah di Sibu Jaya, di Sibu oleh anak syarikatnya hasil usaha sama dengan Amcorp Properties Bhd, HDCam Sdn Bhd, dijangka siap dalam tempoh lima hingga 10 tahun.

“Saya rasa masa depan kita agak mencabar di kalangan ahli-ahli lembaga pengarah yang baru tetapi saya yakin kita mampu bergerak ke hadapan dengan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada kita,” katanya.

Abang Johari Ketuai Delegasi Sarawak ke World Routes Forum


ALBUM: Abang Johari (dua kiri) bersama delegasi dari Sarawak selepas persidangan tersebut.
KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg telah menghadiri World Routes Forum di Berlin dengan hasrat membida Persidangan Laluan Asia 2014 di Sarawak.

Menurut kenyataan media, persidangan merupakan acara tahunan di mana pembuat keputusan daripada syarikat-syarikat penerbangan di dunia, lapangan terbang dan pertubuhan pelancongan berkumpul untuk merancang perkhidmatan udara yang baru dan membincangkan strategi dan kerjasama bagi pertumbuhan yang mapan perjalanan udara global.

Sarawak kali pertama menghadiri persidangan itu yang diwakili Abang Johari dan diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan serta Pengarah Urusan Malaysia Airport Holdings Bhd Tan Sri Bashir Ahmad. Persidangan itu dihadiri kira-kira 2,500 profesional penerbangan yang diadakan awal bulan lalu.

Monday, October 3, 2011

Maldives - Inspirasi Johari untuk Promosi Kawasan Pelancongan di Sarawak

Maldives merupakan sebuah desttinasi pelancongan  yang indah.  Memang sesuai dengan prasarana yang ada kelak untuk menjadikan kawasan empangan dan pulau-pulau buatan yang wujud dalam empangan Bakun untuk dijadikan sebagai lokasi pelancongan seperti di Maldives.

Memang tidak mustahil sekiranya pengambaran filem terkemuka dunia akan lahir di Sarawak lebih-lebih lagi di kepulauan buatan seumpama pulau di Maldives. 

Sememangnya tidak sia-sia Abang Johari menjalankan portfolio pelancongan, bukan sahaja Sarawak akan dikenali di mata dunia malah akan setanding dengan kepulauan Maldives juga pada suatu hari kelak!!

Prasarana, kawasan baru tarikan pelancongan ditambah

Posted on October 3, 2011, Monday

UNIK: Abang Johari dibawa menaiki beca yang merupakan salah satu pengangkutan tradisi masyarakat dahulu. Turut kelihatan Talib (kanan), Mong (tiga kiri) dan Pahon (kiri).

KUCHING: Kementerian Pelancongan Sarawak merancang menambah prasarana dan kawasan baru tarikan pelancongan seperti tasik di negeri ini.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata Sarawak mempunyai keindahan alam semula jadi yang perlu dimanfaatkan bagi tujuan tersebut.

“Kewujudan tasik-tasik atau pulau-pulau di Empangan Bakun, Batang Ai dan Murun dilihat berpotensi menjadi tarikan baru kepada produk ekopelancongan di Sarawak khasnya kepada pelancong yang gemarkan aktiviti lasak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Anugerah Pelancongan Kenyalang Sarawak Ke-4 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini malam kelmarin.

“Baru-baru ini saya telah melawat Maldives dan melihat potensi yang besar untuk kita majukan pulau-pulau baru dalam kawasan empangan di Sarawak khasnya pengalaman Maldives menyediakan kemudahan logistik,” tambahnya.

Abang Johari memberitahu, keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara serta kekayaan flora dan fauna boleh menjadikan kawasan sekitar empangan termasuk pulau-pulau yang baru terbentuk itu sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

Menurutnya tidak mustahil juga tempat itu berpotensi menjadi lokasi penggambaran filem oleh pengarah-pengarah terkemuka dunia seperti dari industri filem Hollywood dan Bollywood.

“Saya akan berusaha mempromosikan keindahan semula jadi alam sekitar di Sarawak menerusi perfileman dengan menawarkan tempat untuk penggambaran di sini.

“Dengan ini, ia secara tidak langsung mempromosi kawasan-kawasan tarikan pelancongan di sini,” katanya.

Pada majlis tersebut Abang Johari mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyampaikan anugerah kepada pemaju industri pelancongan di Sarawak iaitu agensi pelancongan, hotel, pengusaha restoran, logistik termasuk pihak media.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu Sarawak juga berpotensi menjadi pusat penganjuran konvensyen bertaraf antarabangsa dengan adanya unit khas iaitu Biro Konvensyen Sarawak (SCB) untuk mempromosikan segmen Mesyuarat, Insentif, Konvensyen dan Pameran (MICE) di Sarawak dengan kemudahan yang ada seperti di BCCK.

Katanya Kuching melalui SCB juga telah mengenal pasti beberapa konvensyen yang dijangka mampu menarik 287,000 delegasi melalui 172 konvensyen dengan perbelanjaan langsung sebanyak RM180 juta.

Setakat Julai tahun ini, kira-kira 2.09 juta pelancong melawat Sarawak iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan mencatatkan peningkatan pelancong asing iaitu Perancis (29 peratus), Jerman (37 peratus), Brunei (31 peratus), India (20 peratus), Indonesia (16 peratus) dan Singapura (16 peratus).

Majlis Bandaraya Miri diumumkan sebagai pemenang Anugerah Menteri untuk bahagian Kreatif dan novatif bagi agensi manakala individu dimenangi Pengarah Urusan Borneo Tropical Rainforest Resort Law Ing Hua.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik, Ketua Pegawai Esekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan dan tetamu kehormat lain.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites