Nuffnang

Sunday, December 30, 2012

Medan Niaga Satok - Hab Komersial Baharu Petra Jaya

Medan Niaga Satok akan menjadi hab komersial di Petra Jaya.  Menurut ADUN Satok, ini adalah fasa pertama dan fasa kedua akan memiliki sebuah panggung teater untuk mempamerkan kebudayaan etnik di Sarawak.  Ianya juga akan membantu mempromosikan seniman dan seniwati dari Sarawak.
Satu mercu tanda untuk Petra Jaya

by Jessica Jawing. Posted on December 30, 2012, Sunday

Medan Niaga Satok akan jadi hab komersial baharu dengan fasa kedua

KUCHING: Medan Niaga Satok di Kubah Ria akan menjadi satu mercu tanda kepada Petra Jaya iaitu sebagai hab pusat komersial baharu dengan terlaksananya pembinaan fasa keduanya nanti.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, fasa kedua medan niaga berkenaan bakal dibangunkan dengan sebuah panggung yang menjadi tempat mempersembahkan aktiviti kebudayaan etnik Sarawak.

“Apa yang kita lihat sekarang hanya fasa pertama Medan Niaga Satok, sementara fasa kedua nanti kita akan bangunkan panggung untuk menghiburkan pelancong dengan budaya yang ada khasnya di bandar raya ini.

“Kesenian kita adalah amat unik dan kita mempunyai sekolah seni dan latihan kebudayaan dari Kampung Budaya Sarawak yang boleh mempersembahkan teater termasuk persembahan legenda Sarawak,” katanya berucap merasmikan Pesta Satok 2012 di Medan Niaga Satok di sini, malam kelmarin.

Abang Johari berkata, pada masa yang sama ia memberi peluang kepada seniman dan seniwati yang membuat persembahan menjana pendapatan mereka.

“Bagaimanapun, kos pembinaan panggung ini masih dalam perbincangan… kita anggarkan lebih kurang RM5 juta,” katanya.

Selain panggung, fasa kedua medan itu juga katanya merangkumi papan iklan besar elektronik (billboard) yang akan mempamerkan maklumat acara di Medan Niaga Satok.

“Apa yang berlaku di kawasan ini termasuk kawasan komersial berdekatan akan menjadi hab pusat komersial baharu di Petra Jaya dan menjadi kawasan tarikan di bandar raya Kuching,” kata beliau.

Tambahanya ia merupakan usaha dan perancangan kerajaan yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan termasuk para peniaga dan masyarakat sekitar.

“Kita tahu ada di kalangan peniaga kita khuatir tentang perpindahan dari pasar lama Satok ke Medan Niaga Satok, namun kita tetap berterima kasih kerana mereka telah memberi kerjasama.

“Dengan adanya medan ini ia merupakan tempat berniaga mereka yang kekal dengan kemudahan infrastruktur yang terbaik termasuk pembuangan sisa yang akan dikitar dan dirawat sebelum mengalir ke sungai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok.

Abang Johari berkata, ia juga lebih bersih dan memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga berbanding pasar lama yang kemudahannya masih tidak mencukupi.

“Kita percaya apabila tempat ini dipromosikan nanti ramai yang akan tahu dan ia menjadi tempat seperti sedia kala,” katanya.

Majlis pelancaran Pesta Satok yang bermula pada 28 Disember hingga 1 Januari 2013 anjuran Persatuan Pelancongan Satok dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran RTM Sarawak Fee Lin Chew, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abdul Wahap Abang Julai dan isteri Abang Johari, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Tahun Melawat Sarawak 2013

Tahun 2013 akan menyusul bila-bila masa sahaja lagi.  Apakah keistimewaan tahun tersebut?  Pada tahun 2013 kelak akan diadakan pelbagai aktiviti untuk menggalak pelancong ke Sarawak sempena tahun melawat Sarawak pada Julai 2013. 

Industri pelancongan Sarawak harus dinamik, penuhi jangkaan pelancong

Utusan Borneo 31 Disember 2012, Isnin

KUCHING: Industri pelancongan Sarawak harus bersifat dinamik dan sentiasa bergerak ke hadapan selari dengan perubahan sekeliling demi memenuhi jangkaan para pelancong.

“Sempena Tahun Melawat Sarawak bermula bulan Julai 2013, Taman Negara Bako dan Semenggok akan dinaik taraf kemudahannya secara sistematik terutama pusat informasi dan gerai makanannya,” ujar Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Selain itu pihak kementeriannya juga akan memperkenalkan tiga jenis pakej pelancongan iaitu lawatan di bandar raya Kuching, rumah panjang dan taman negara yang turut dimuatkan aktiviti-aktiviti menarik yang akan disertakan dalam pakej Penerbangan Malaysia (MAS).

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai potensi paling cerah dalam industri pelancongan berbanding negeri-negeri lain kerana ia mempunyai produk berbeza dan lebih menarik yang sinonim dengan kebudayaan penduduknya serta alam semula jadinya seperti sungai-sungai dan taman-taman negaranya.

Abang Johari berkata demikian pada majlis makan malam sempena perpindahan Pengarah Negeri Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Ahmad Johanif Mohd Ali yang akan bertugas di pejabat lembaga tersebut di New York, Amerika Syarikat.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datuk Ik Pahon Joyik di Kompleks Pelancongan semalam.

Johanif yang akan memulakan tugasnya pada 28 Ja-nuari tahun depan berharap agar kerjasama di antara pihak lembaganya dan agensi-agensi serta jabatan-jabatan berkaitan akan diterus dan di-tingkatkan demi kebaikan industri pelancongan khasnya di negeri Sarawak.

Beliau yang pernah berkhidmat di Stockholm, Sweden sebelum ini berkata Timbalan Pengarah Rizal Mas akan memangku jawatannya sehingga pengganti beliau Salahuddin Mohd Ariffin melaporkan diri secara rasmi di pejabat Kuching pada bulan Februari tahun depan.

Thursday, December 27, 2012

Pengangkutan Udara Tonggak Utama Kuching Sebagai Pusat Membeli-Belah

Dengan adanya Plaza Merdeka maka banyaklah lagi tempat untuk dikunjungi oleh penggemar membeli-belah ke Bandaraya Kuching.  Tidak mustahil suatu hari nanti Kuching akan menjadi tumpuan utama untuk membeli-belah yang setanding dengan Kuala Lumpur mahu pun Singapura.  

Beza antara Singapura dan Kuching adalah, lebih banyak barang Made in China di Kuching berbanding di Singapura namun barang ini tidak mempunyai ciri-ciri kualiti yang tinggi berbanding di Singapura.  Oleh itu diharap agar pemborong barangan Made in China akan meningkatkan lagi kualiti barangan yang diimport agar kualiti yang lebih tinggi dapat dinikmati di Kuching.  

Singapura berjaya menjadi pusat ekonomi serantau dengan adanya mutu kawalan kualiti yang tinggi.  Diharap kerajaan akan melihat dari sudut ini sebelum membenarkan barangan dari China masuk ke Sarawak amnya!
Kuching pusat beli-belah

by Jessica Jawing. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis

Ia menjadi tumpuan masyarakat tempatan, negara jiran

KUCHING: Kewujudan banyak pusat beli-belah di bandar raya ini bukan sahaja mampu menjadi tumpuan masyarakat tempatan tetapi negara jiran terutama dari Kalimantan, Indonesia.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik berkata dari segi pusat beli-belah, kementerian lebih menyasarkan masyarakat tempatan dan negara terdekat berbanding dari luar negara.

“Kini sasaran kita untuk pusat beli-belah adalah bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan misalnya sejak banyak pusat beli-belah dibuka di Kuching ada di kalangan masyarakat kita dari Sri Aman turun ke Kuching.

“Keduanya ia juga untuk pelancong dari Kalimantan, Indonesia sebagai sasaran. Ini kerana jika kita lihat situasi kini kita masih belum dapat bersaing dengan Singapura dan Kuala Lumpur bagi destinasi pusat beli-belah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut Ik Pahon, beliau percaya kewujudan pusat beli-belah di bandar raya ini pasti akan memberi kesan positif dari segi kedatangan pelancongan luar pada masa akan datang.

Namun katanya kewujudan banyak pusat beli-belah sahaja tidak memandai kerana yang penting untuk menarik pelancong luar adalah pengangkutan udara yang lebih banyak.

Beliau memberitahu, kementeriannya menyasarkan kedatangan empat juta pelancong menjelang hujung tahun ini ke Sarawak.

“Kita melihat ada peningkatan sedikit berbanding tahun lepas dan jika perhubungan udara kita dipertingkatkan lagi saya percaya kedatangan pelancong akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) khasnya memperluaskan lagi penerbangan ke negeri ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan Sarawak.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan ketika dihubungi yakin pembukaan banyak pusat beli-belah di Sarawak mampu menarik ramai kedatangan pelancong.

Jelas beliau ia juga pasti memperhebatkan lagi promosi STB di Brunei dan Kalimantan Barat, bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Dengan adanya penerbangan antara Bandar Seri Bagawan, Pontianak dengan Kuching oleh penerbangan MASwings, ini pasti menjadi satu segmen pelancongan yang akan menambahkan lagi tarikan pelancong ke Sarawak,” katanya.

Kewujudan pusat beli-belah yang semakin banyak di negeri ini mampu menjadikan bandar raya Kuching sebagai syurga membeli-belah kepada masya-rakat tempatan khususnya.

Selepas pusat beli-belah tHe Spring dan Boulevard, masyarakat Kuching kini mempunyai pelbagai pilihan apabila Plaza Merdeka turut dibuka sebagai destinasi beli-belah di pusat bandar raya ini, yang baharu sahaja dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 12 Disember lepas merangkumi Lebuh Carpenter dan Jalan Tun Openg.

Bukan itu sahaja malah satu lagi gedung besar iaitu City One yang terletak di Jalan Song-Jalan Tun Jugah, pasti membuka ruang kepada penduduk tempatan dan dari luar membeli-belah apabila ia siap dilaksanakan nanti.

Selain itu satu lagi kemudahan iaitu Matang Sentral akan menampilkan bangunan empat tingkat merangkumi tempat perniagaan, perkhidmatan dan pusat untuk berhibur juga menjadi Kawasan Transit Bandar Raya (CAT) bagi terminal bas yang melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang An-tarabangsa Kuching, Kuching Sentral sehingga sepanjang jalan ke kawasan pelancongan di Santubong.

Wednesday, December 26, 2012

Medan Niaga Satok Tarikan Utama di Satok

Peniaga di sekitar tapak lama Pasar Satok dinasihatkan agar tidak khuatir kehilangan punca pendapatan apabila mereka berpindah ke Medan Niaga Satok.  Medan Niaga Satok telah dibina dengan tujuan utama untuk membasmi pencemaran di Sungai Sarawak dan tanpa kerjasama daripada peniaga di tapak lama Benteng Satok maka usaha ini tidak akan sempurna sepenuhnya.  

Pihak berkuasa tempatan dan FAMA akan mengadakan promosi di Medan Niaga Satok bagi membantu meningkatkan lagi kunjungan orang ramai ke kawasan tersebut.  Medan Niaga Satok yang dilengkapi dengan segala kemudahan untuk berniaga dalam keadaan sihat dan selamat akan mengakhiri pencemaran di Sungai Sarawak dengan adanya sistem terbaharu untuk menyingkirkan sisa kumbahan.
Peniaga tidak perlu bimbang

by Rusnan Mustafa. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis

Pemindahan lokasi perniagaan ke Medan Niaga Satok akan disusuli pelbagai promosi

TERSERGAM INDAH: Medan Niaga Satok di Kubah Ria menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung apabila beroperasi mulai 1 Januari nanti.
KUCHING: Para peniaga di Pasar Satok yang akan dipindahkan ke Medan Niaga Satok, Kubah Ria tidak perlu gusar tentang perniagaan mereka kerana Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu mempromosikan kawasan itu.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, kebimbangan untuk berpindah ke tapak niaga baharu sememangnya sering menghantui para peniaga kerana takut perniagaan mereka jatuh merudum.

Beliau memberitahu, aktiviti perniagaan yang sedang giat dijalankan di Satok ketika ini melibatkan empat kategori iaitu Pasar Minggu (setiap hari Sabtu dan Ahad), Pasar Tamu (harian), Benteng (setiap malam) dan Pasar Borong (setiap awal pagi) membabitkan kira-kira 2,000 peniaga.

Jelasnya, Medan Niaga Satok mempunyai kira-kira 2,000 gerai yang telah dibina secara teratur dan ia mencukupi untuk peniaga terlibat dalam pemindahan itu.

“Kita akan membantu mereka dalam mempromosikan kawasan niaga baharu secara berterusan bagi me-mastikan perniagaan mereka tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kira-kira 300 peniaga menyerahkan petisyen bantahan baru-baru ini selepas dikatakan enggan berpindah ke tapak baharu itu.

“Perkara seperti ini memang selalu menghantui peniaga setiap kali dipindahkan, tetapi selepas ini baharulah mereka akan tahu kebaikan pemindahan ke tempat baharu tersebut, termasuk kemudahan disediakan kerajaan untuk mereka yang lebih baik daripada tempat lama,” katanya lagi.

Oleh itu, Abang Wahap memberitahu operasi di tempat baharu itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan iaitu 1 Januari 2013 kerana Pasar Satok yang berstatus sementara itu akan dirobohkan bagi pembinaan Taman Rekreasi Mini khas untuk warga kota.

Tambahnya, walaupun ada segelintir peniaga enggan berpindah ke tempat baharu itu, tarikh terakhir mereka dibenarkan berniaga di tapak sementara berkenaan dikekalkan iaitu pada 30 Disember ini.

“Justeru, saya berharap para peniaga memberi kerjasama untuk memastikan usaha murni kerajaan dalam menyediakan kemudahan niaga yang lebih baik ini dapat dimanfaatkan dan memberi kesan yang baik kepada peniaga.

“Setiap perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dirancang secara terperinci dan pasti ia mendatangkan kebaikan untuk rakyatnya,” jelasnya.

Selain itu, Abang Wahap memberitahu dengan penutupan tapak niaga di Satok, penyumbang kepada masalah pencemaran Sungai Bintangor dapat diatasi.

“Kita yakin pemindahan ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada peniaga tetapi kepada alam sekitar dan kita akan mempergiatkan usaha untuk memulih dan memelihara Sungai Bintangor yang tercemar untuk dijadikan kawasan tarikan baharu bagi kegiatan memancing pada tahun hadapan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai bangunan-bangunan kedai yang ada di Satok, beliau menyarankan pemilik mengambil inisiatif untuk mengecat bangunan mereka serta melakukan aktiviti pembersihan.

Katanya, DBKU sering menerima aduan tentang masalah kekotoran di kawasan terbabit, justeru beliau menasihati pemilik bangunan kedai di Satok mengecat dan membersihkan kawasan mereka.

Malah, jelasnya, pada tahun hadapan Sarawak akan meraikan Ulang Tahun Ke-50 dalam Malaysia serta Sambutan Jubli Perak Ke-25 DBKU.

“Usaha untuk mentransfomasikan kawasan bandar raya ini akan diteruskan bagi menyediakan tempat yang baik dan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat di sini mahupun kepada pelancong,” ujarnya.

Sarawak River Taxi Bakal Menjadi Ikon Pelancongan di Waterfront Kuching

Berkat usaha gigih maka satu lagi produk pelancongan bakal menjadi ikon di Kuching.  Kini Sarawak River Taxi atau Teksi Sungai Sarawak telah beroperasi dengan jayanya sejak ditubuhkan dua tahun yang lalu.  

Bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan dan keindahan tebing Sungai Sarawak dengan selesa bolehlah membawa keluarga anda berkunjung ke Waterfront untuk menaiki SRT ini.  Mereka beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.   Mungkin suatu hari nanti mereka akan beroperasi lebih lama lagi sehingga pukul 9 malam bagi membolehkan penumpang menikmati pancaran cahaya dari perkampungan dan juga keindahan suasana di malam hari di Kuching.
SRT satu lagu produk pelancongan Kuching

Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis


KUCHING: Teksi Sungai Sarawak (SRT) yang diperkenalkan dua tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong asing sekali gus menambah produk pelancongan bandar raya ini.

Diusahakan Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok (PKPS) yang beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 5 petang itu, ia mampu membawa kira-kira 20 hingga 30 penumpang sekali perjalanan.

Setiausaha Kerja PKPS Nas Ismadi Khalik berkata, sejak dilancarkan pada awal 2011 sambutan orang ramai semakin menggalakkan terutama daripada pelancong.

“Sekitar 70 peratus penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini terdiri daripada pelancong asing,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata bilangan penumpang akan terus meningkat terutama pada musim cuti persekolahan dan hujung tahun.

“Dalam tempoh ini bilangan penumpang meningkat kepada 50 hingga 70 orang sehari,” ujarnya.

Dengan kadar caj RM25 untuk dewasa dan RM12 kanak-kanak, perkhidmatan itu menawarkan pengalaman mengelilingi Sungai Sarawak selama sejam.

Nas menjelaskan, persatuan masih menunggu kelulusan daripada kerajaan agar per-khidmatan itu dapat diperluaskan dengan menambah jumlah tempat berhenti.

“Kita telah mengenal pasti beberapa hentian sekali gus memudahkan penduduk tempatan dan pelancong asing berulang-alik tanpa perlu menggunakan kenderaan,” jelasnya.

Antara lokasi hentian tersebut termasuk di perkampungan Melayu di sepanjang Sungai Sarawak, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Medan Niaga Kubah Ria dan Tebingan Kuching.

Sementara itu, Mark Cornley, 52, pelancong dari England yang menggunakan perkhidmatan tersebut berkata, kadar caj yang dikenakan untuk perkhidmatan itu amat berpatutan.

“Memang berpuas hati dengan perkhidmatan ini kerana saya dapat melihat permandangan indah di sepanjang Sungai Sarawak termasuk perkampungan Melayu dan bangunan bersejarah (Astana Negeri).

“Caj yang dikenakan juga murah walaupun mengelilingi Sungai Sarawak selama sejam,” katanya yang pertama kali menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Bagi Libby Lindsay,45, tidak banyak negara yang dilawatinya ada menyediakan perkhidmatan seperti itu yang mengenakan caj rendah dan berpatutan.

“Kebiasaannya kalau hendak menggunakan perkhidmatan bot persiaran mungkin dikenakan caj ratusan ringgit namun caj ini amat menarik.

“Saya memang berpuas hati dengan perkhidmatan ini. Pada masa akan datang kalau datang ke Sarawak, sudah pasti saya akan menggunakan perkhidmatan ini lagi,” tambahnya.

Perkhidmatan teksi air di Sungai Sarawak yang menggunakan tiga buah bot memulakan operasi pada awal 2011.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata perkhidmatan teksi air merupakan sebahagian daripada pendekatan untuk memberi khidmat pengangkutan awam selain jalan darat dan pada masa sama mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ia akan menjadi produk pelancongan baharu untuk menarik pelancong dan pada masa sama menjadi satu lagi pilihan pengangkutan awam bagi masyarakat tempatan,” katanya.

Wednesday, December 5, 2012

Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013 Bakal Menggegar Sarawak

Satu lagi usaha untuk menggalak kegiatan pelancongan telah dilancarkan iaitu Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013.  Acara yang julung kali diadakan ini akan berlangsung pada 24-26 Jun 2013 sempena festival Rainforest kelak.

20 pakar muzik antarabangsa bakal mencuit minda dan persona pemuzik tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan platform mereka.  Di samping berhibur mereka juga akan dihidangkan dengan pelbagai keunikan dan kebudayaan yang terukir di bumi kenyalang ini.  

Syabas kepada Abang Jo dan kumpulan pemikirnya yang mampu menjulang nama Sarawak di bibir dunia. 

Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013 rangsang pelancongan

Utusan Borneo 6 Disember 2012, Khamis

KUCHING: Sarawak bakal menampilkan satu lagi acara berkaitan muzik mulai tahun depan iaitu Ekspo Muzik Borneo Sedunia yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini.

Ekspo dari 24 hingga 26 Jun 2013 di sebuah hotel terkemuka itu diadakan sempena festival ikonik Sarawak, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) Edisi Ke-16 anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan dijangka membawa kira-kira 20 pakar muzik antarabangsa.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menjelaskan, ekspo julung kalinya itu turut menampilkan acara sampingan seperti pameran dagangan, persembahan muzik, persidangan dan sesi rangkaian kerjasama yang mempromosikan budaya dan muzik.

Katanya, selain menggabungkan kepelbagaian muzik, ekspo berkenaan turut menge-tengahkan muzik asli di Sarawak, bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai kepelbagaian muzik, seni dan budaya Sarawak kepada dunia.

“Selain RWMF, ekspo ini akan menjadi platform kepada kita dari segi mempromosikan Sarawak serta menjadi tarikan global dari segi muzik dan budaya yang kita ada.

“Malah, melalui ekspo yang bakal menampilkan pakar terkenal muzik di dunia, ia mungkin mampu mencungkil bakat anak-anak tempatan kita dalam bidang ini,” katanya.

Menurut beliau, ekspo yang merangkumi muzik asli itu juga menjadi salah satu pendekatan bagi memelihara muzik tradisional agar seimbang dengan trend muzik terkini.

Namun, ujarnya, paling penting, program ekspo itu mampu menyampaikan mesej secara tidak langsung melalui persembahan dan sebagainya.

“Kita mahu berkongsi muzik kita bersama dengan mereka dari luar agar masyarakat global memahami kepelbagaian yang kita ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif National Recording Preservation Foundation, US Library of Congress, Gerald Seligman berkata, mereka merancang untuk membawa 20 pakar muzik termasuk penerbit antarabangsa.

Katanya, ekspo itu juga membuka peluang kepada pemuzik tempatan dan wilayah serantau melalui program-program yang diadakan.

“Kami menyediakan pelbagai program termasuk menampilkan speaker antarabangsa melalui persidangan yang kita adakan nanti dan ini pasti menyediakan akses kepada golongan sasaran kita,” jelasnya sambil memberitahu paling penting ialah pendedahan dan promosi muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Datuk Rashid Khan berkata, STB yakin program ekspo itu menjadi acara utama di Sarawak dalam masa tiga tahun akan datang.

Jelas beliau ia sebagai sebahagian daripada strategi transformasi bagi meningkatkan nilai rantaian RWMF yang lebih kepada santai kepada acara pelancongan perniagaan.

“Kita berharap dengan menambah satu lagi acara di negeri ini, ia akan menggalakkan lagi kedatangan pelancong ke sini. Ini kerana sehingga Oktober tahun ini kedatangan pelawat luar negara sahaja terus meningkat pada 16 peratus kepada 2.31 juta,” kata Rashid.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites