Nuffnang

Sunday, May 20, 2012

Jentera PBB sudah bersedia: Abg Johari


by Patricia Gari. Posted on May 21, 2012, Monday

Hanya tunggu pembubaran Parlimen diumum untuk lancar kempen pilihan raya


KUCHING: Timbalan Presiden Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata jentera parti itu sudah bersedia menghadapi kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada bila-bila masa.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam beliau memberitahu, ketika ini parti hanya menunggu pembubaran Parlimen diumumkan untuk melancarkan kempen pilihan rayanya bagi memastikan kemenangan besar kepada parti khasnya dan Barisan Nasional (BN) amnya.

“Kami sudah bersedia, hanya menunggu masa bila semboyan (pembubaran) akan dibuat,” katanya selepas merasmikan majlis penangguhan Majlis Tilawah Al-Quran dan Pertandingan Nasyid Jabatan Kesihatan Negeri, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, dekat sini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata atas semangat BN, semua anggota akar umbi parti dinasihati kekal memberi sokongan kepada semua calon yang bakal mewakili BN pada PRU13 nanti.

PBB diperuntukkan 14 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak manakala lima kerusi diberikan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), enam buat Parti Rakyat Sarawak (PRS) sementara Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) diperuntukkan empat kerusi.

Dua lagi kerusi Parlimen dikuasai Parti Tindakan Demokratik (DAP) iaitu kerusi Parlimen Bandar Kuching dan Sibu.

Mengulas mengenai senarai calon daripada PBB, Abang Johari merangkap Menteri Pelancongan berkata senarai berkenaan sudah pun diserahkan kepada pucuk kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat untuk dipertimbangkan.

“Kami sudah serah nama-nama calon, sama ada calon dikekal atau digugurkan, terserah kepada Ketua Menteri dan Perdana Menteri,” jelasnya.

Friday, May 18, 2012

Keputusan diketahui hujung tahun

Posted on May 19, 2012, Saturday



Rundingan pemilikan saham MASWings masih dijalankan: Abang Johari


KUCHING: Keputusan mengenai pemilikan saham dalam MASWings antara Sabah dan Sarawak dijangka akan dapat diketahui menjelang penghujung tahun ini.


Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, sejurus sahaja  rundingan keseluruhan semua pihak mengenai perkara berkenaan dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini, ia diharap dapat diumumkan.


“Ia mengambil masa kerana membabitkan pelbagai peringkat dan ia memerlukan perbincangan lebih rapi diadakan antara pihak kita (Sarawak) dengan Sabah dan pihak Penerbangan Malaysia (MAS). Antara perkara yang masih dibincangkan ialah mengenai cara kita mengambil alih saham untuk Sabah dan Sarawak dan setakat ini perbincangan berjalan dengan baik dan kita hanya menunggu untuk butiran rundingan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.


Beliau berkata, dengan pemilikan saham itu nanti, ia memenuhi hasrat kerajaan untuk mempunyai syarikat penerbangan, yang mana Sabah dan Sarawak mempunyai saham yang efektif. Bagaimanapun, katanya, model perniagaan yang dimukatamadkan nanti diharap lebih mapan bagi menghadapi perniagaan dalam penerbangan yang sangat mencabar masa kini.


“Model perniagaan baharu itu nanti perlulah sewajarnya agar syarikat itu sendiri lebih mapan memandangkan apa yang berlaku dalam industri penerbangan sekarang yang mencabar. Oleh sebab itu juga, cara kita lebih berwaspada dan ia hendaklah menjadi sebuah syarikat yang dapat memenuhi kehendak Sabah dan Sarawak,” katanya.


Namun, beliau yakin dengan rangkaian MASWings yang sedia ada dan akan diperluaskan ke beberapa kawasan tahun ini ia mampu menjadi asas kukuh kepada syarikat MASWings.


“MASWings akan memperluaskan penerbangan (dari Kuching) ke Balikpapan, Indonesia selain terus memperluaskan laluan syarikat penerbangan ke kawasan lain ia sudah menjadi asas yang kukuh untuk kita dalam perkara ini,” tegas beliau.
Abang Johari berkata, ia mungkin bukan satu jaringan laluan yang besar kerana hanya meliputi Asia Timur dan Asean.


Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat negeri ini, mengumumkan bahawa kerajaan bersedia untuk mengkaji semula struktur MASWings, iaitu anak syarikat MAS bagi mempertimbangkan pengelibatan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam kepentingan syarikat berkenaan.


Najib berkata dengan penstrukturan (kepentingan pemilikan) ia juga diharap menambahkan lagi rangkaian perhubungan yang amat penting di kedua-dua negeri.

Monday, May 7, 2012

Jalin kerjasama dengan pakar luar - Abang Johari



KUCHING 4 Mei - Pengusaha produk kecantikan tempatan disaran bekerjasama dengan pakar bioteknologi luar negara bagi meningkatkan mutu serta kualiti barangan mereka agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelancongan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu adalah perlu kerana Malaysia kaya dengan sumber flora yang unik dan cukup berkhasiat untuk tujuan kesihatan tubuh badan serta kecantikan.

"Walaupun teknologi negara kita tidak setanding negara luar, namun kita mempunyai kelebihan sumber alam yang sangat berguna untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.

"Sehubungan itu, kita boleh menjalin kerjasama dengan pakar dari luar bagi meningkatkan mutu produk dan tidak mustahil produk tempatan boleh berada sebaris dengan produk terkenal lain," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau sebelum itu melancarkan produk terbaru keluaran syarikat tempatan, Borneo To The World Sdn. Bhd. (BTTW) yang memperkenalkan sabun mandian yang diperbuat daripada bahan semulajadi.

Sabun mandi tersebut, Borneo To The World merupakan satu produk syarikat berkenaan yang bakal menembusi pasaran tempatan dan luar negara pada Jun ini.

Abang Johari berkata, langkah menjalin kerjasama itu juga memainkan peranan penting dalam mengubah minda masyarakat yang sebelum ini sering memandang rendah produk tempatan.

"Jika orang luar kagum dengan produk negara kita, kenapa tidak kita turut bersikap demikian.

"Jadi, usaha ini sangat penting dalam mendidik masyarakat supaya turut menggunakan produk tempatan," katanya.

Mengulas lanjut, selain menawarkan harga yang berpatutan pengusaha tempatan juga perlu bijak merancang strategi pemasaran produk mereka supaya masyarakat tidak lagi prejudis terhadap produk tempatan.

Katanya, sekiranya langkah itu berjaya dilaksanakan beliau yakin industri kosmetik tempatan mampu membantu kerajaan dalam usaha mengubah dan meningkatkan kedudukan ekonomi negara.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites