Nuffnang

Saturday, July 28, 2012

Sarawak Tarikan Utama Pelancong Domestik Tahun 2012!


Sarawak menjadi negeri yang paling banyak dikunjungi oleh pelancong domestik pada tahun ini. Beliau berkata demikian sempena pelancaran Sambutan Ulang Tahun Pertama Borneo Tourism Alliance.

Bersyukurlah dengan adanya pelbagai khazanah serta budaya yang unik dan menarik di Sarawak, membuatkan ia menjadi tarikan kepada pengunjung dari negeri jiran.

Selain itu usaha menggalak pelancong datang juga giat dijalankan dan Menteri Pelancongan juga mengsyorkan pihak swasta untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti seperti seminar, forum atau expo agar lebih ramai lagi pengunjung yang akan hadir untuk menambah ilmu sambil beramah mesra dengan orang Sarawak.

Pelancong domestik teramai ke Sarawak
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 28 Julai 2012, Sabtu


LANCAR: Abang Johari menekan tab sebagai simbolik e-pelancaran Sambutan Ulang Tahun Pertama BTA semalam.

KUCHING: Sarawak mencatat bilangan kehadiran pelancong domestik tertinggi berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dari tahun ke tahun bilangan pelancong dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke negeri ini semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai statistik kehadiran pelancong ke Sarawak.

“Kita mendahului negeri lain dari segi kehadiran pelancong domestik.

“Orang Semenanjung dan Sabah, ramai yang datang ke negeri ini sama ada untuk melancong atau atas urusan lain,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Borneo Tourism Alliance (BTA) di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Presiden BTA Kho Sze Min, Naib Presiden BTA Jamilah Shukri dan Miss Malaysia World 2011 Chloe Chen.

Abang Johari berkata, bilangan kehadiran pelancong domestik dijangka akan terus meningkat.

Dalam pada itu, beliau yakin sasaran empat juta kehadiran pelancong asing dan domestik ke negeri ini mampu dicapai sehingga penghujung tahun.

“Bilangan ini (empat juta) memang dapat dicapai. Kalau tidak disebabkan masalah logistik yang berlaku sekarang, mungkin lebih ramai pelancong akan datang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan trend semasa pada sekarang, lebih ramai pelancong dijangka akan terus hadir ke negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari mengajak sektor swasta di negeri ini untuk memacu industri pelancongan dengan memperbanyakkan program dalam usaha menarik minat pelancong.

“Kalau boleh sektor swasta buat acara tahunan dan mempromosikannya lebih awal agar pelancong asing dapat turut serta,” jelasnya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Wednesday, July 25, 2012

Medan Niaga Satok Bakal Mendapat Sentuhan Seni Budaya!

Medan Niaga Satok akan menerima sentuhan budaya apabila terbinanya bangunan teater kelak.   Ini akan dapat menjadi landasan untuk memperkenalkan budaya tempatan yang kaya dengan karya seni.  Mungkin akan tercipta kesinambungan baru untuk menggabungkan teater lama yang diberi nafas baru?  Namun ini semua hanya bayangan sehinggalah berdirinya bangunan teater di Medan Niaga Satok kelak yang akan dinikmati bersama oleh pengunjung ke Medan Niaga Satok.
Bangunan teater dirancang di Medan Niaga Satok

Utusan Borneo, 26 Julai 2012, Khamis

KUCHING: Medan Niaga Satok, dekat sini terus ditransformasikan sebagai lokasi utama tarikan pelancong ke negeri ini, apabila sebuah bangunan teater kini dirancang dibina di situ sebagai pentas persembahan kebudayaan.

UNTUK BERBUKA PUASA: Abang Johari (tiga kiri) ditemani Abang Abdul Wahap (empat kiri) dan Paza (dua kiri) mencuba pengalaman membuat murtabak di salah sebuah gerai di Bazar Ramadan Medan Niaga Satok. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pelaksanaan pembinaannya kini dalam proses anggaran kos, dengan jangkaan kapasiti seramai 200 orang.

“Kebanyakan negara maju dan kawasan pelancongan memiliki pakej ini, jadi kita nak jadikan Medan Niaga Satok sebagai pakej sama bagi negeri ini.

“Selepas menikmati makan malam, pelancong serta masyarakat tempatan kemudiannya boleh menyaksikan persembahan pentas kebudayaan.

“Ini (persembahan) adalah berbayar dan akan diadakan setiap malam,” katanya sambil menambah persembahan akan melibatkan komuniti setempat di negeri ini serta Sekolah Seni Kuching.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Medan Niaga Satok dan Agihan Bubur Lambuk, di Medan Niaga Satok semalam.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata sebaik dibuka secara rasmi tahun depan, Medan Niaga Satok dijangka menjadi pusat beli-belah yang menarik dan strategik kepada orang ramai.

“Apabila jalan dan jeti siap untuk pengangkutan darat dan air, tempat ini sudah tentu akan menjadi tarikan kepada masyarakat untuk membeli-belah.

“Ini kerana, ia memiliki kelebihan dari segi keluasan dan tempat letak kereta,” katanya.

Menurut Abang Johari, Medan Niaga Satok menelan kos pembinaan sebanyak RM46 juta dan jalan bernilai RM10 juta.

Turut hadir ialah Pengarah FAMA Paza Dan, Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation Sdn Bhd Mohd Kamaluddin Mohd Effendie dan Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Tuesday, July 24, 2012

Belia Perlu Peka Perkembangan Politik: Amanat Bekas Exco Majlis Belia Malaysia


Amanat daripada bekas exco MBM ini memang amat berguna dijadikan panduan oleh belia zaman ini. Memang benar bahawa belia yang bertanggungjawab mencoret warna pada kain putih mereka. Oleh itu janganlah mudah terpedaya dengan parti politik yang boleh merugikan mereka.

Najib sudah membawa banyak pelan transformasi untuk belia, jangan persiakan peluang yang telah disediakan oleh kerajaan. Berdaftarlah juga sebagai pengundi dan buka mata, telinga dan hati masing-masing nescaya akan ada sinar dihujung garisan kelak.

Belia harus peka perkembangan politik: Wan Zain
Posted on July 24, 2012, Tuesday



KUCHING: Generasi belia harus peka perkembangan politik dan tidak memberi sokongan secara membabi buta kepada parti-parti politik yang boleh merugikan diri mereka dan negara.

Bekas Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) Wan Zain Syed Mohdzar berkata, belia sebagai pemimpin pelapis adalah wajib peka dengan perkembangan politik semasa negeri dan negara.

“Penyertaan belia dalam politik adalah bagi memastikan kerajaan terus menyediakan landasan kukuh untuk mereka terus maju dalam dunia inovatif seperti yang digariskan dalam wawasan negara,” katanya.

Akvitis sosial itu berkata, amatlah perlu bagi golongan belia yang sudah genap umur (21 tahun) mengundi untuk mendaftar diri supaya hak mereka bersuara melalui peti undi tidak terbatas hanya digunakan untuk menggantung bendera parti dan poster.

Beliau menarik perhatian, semua itu memerlukan satu inovasi dan kreativiti, justeru jika berhasil sudah tentu memberi pulangan yang lumayan kepada belia sendiri.

“Kita amat berbangga dengan usaha kerajaan dan agensi-agensi terbaik kerana telah berjaya melakukan program transformasi kepada belia,” katanya ketika memberi komen mengenai Program Transformasi Belia Sarawak Auto Revo yang berlangsung di Kampung Buntal, Santubong baru-baru ini.

Program anjuran bersama Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak itu dirasmikan oleh Setiausaha Poltik Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Wan Zain yang turut hadir secara kebetulan pada majlis itu amat bersetuju dengan saranan Sharifah Hasidah bahawa golongan belia pada hari ini harus kreatif dan berinovasi dalam pelbagai bidang.

Katanya bukan sahaja dalam industri automatif tetapi wajib menjangkau lebih kreatif dalam bidang pertanian, perikanan, pertukangan dan sebagainya yang boleh menjana pendapatan mereka sendiri.

“Saya percaya agensi-agensi seperti MARDI, universiti, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Belia dan Sukan termasuk Koperasi Belia Inovatif dan kementerian terbabit akan sedia membantu supaya hasil mereka mendapat pengiktirafan daripada agensi berkenaan untuk dipatenkan” tambahnya.

Beliau percaya belia dalam usia muda sudah tentu mempunyai tenaga yang cukup untuk mengilham projek-projek yang sesuai dengan keadaan hidup dan budaya masyarakat negeri ini.

Sebagai contoh, tidak mustahil sebuah enjin pam atau mesin rumput boleh dijadikan enjin perahu tambang di Sungai Sarawak atau ‘wind mill’ yang mampu menjana kuasa elektrik di kawasan perkampungan kecil di luar bandar sebagai alternatif kepada jana kuasa (generator).

“Semua hasil kreativiti dan inovasi para belia itu sudah tentunya mampu membantu kerajaan dalam mencapai hasrat sebagai negara maju menjelang 2020,” katanya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Saturday, July 21, 2012

Medan Niaga Satok mula operasi hari ini

Utusan Borneo 21 Julai 2012, Sabtu


KUCHING: Medan Niaga Satok Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mula beroperasi hari ini dengan menyediakan gerai-gerai Bazar Ramadan.
Pengarah FAMA Negeri Paza Dan berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 104 buah gerai pelbagai di Bazar Ramadan sepanjang bulan puasa ini.

Menurutnya, Bazar Ramadan anjuran bersama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), BERNAS dan FAMA itu dibuka awal petang hingga jam 12 malam.

“Selain menjual pelbagai produk makanan, minuman termasuk juadah berbuka puasa, Bazar Ramadan ini juga menyediakan keperluan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut Paza, pihak FAMA mengenakan sewa berpatutan kepada para usahawan tempatan untuk mempromosikan pelbagai produk mereka di bazar itu.
Beliau menambah, selain menempatkan Bazar Ramadan, Medan Niaga Satok yang bakal beroperasi sepenuhnya pada September depan juga menyediakan pasar basah, sayur-sayuran dan ternakan.

“Kami berharap orang ramai terutama warga kota dan penduduk sekitar akan dapat berkunjung ke bazar terbabit untuk mendapatkan barangan keperluan mereka,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Unit Medan Niaga Satok Abdul Aziz Abdullah dan Pengurus Medan Niaga Satok Ahmad Morshidi.

Sementara itu, Paza berkata, Bazar Ramadan Medan Niaga Satok itu akan dirasmikan oleh Menteri Perumahan dan Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada hari Rabu, 25 Julai ini.

Beliau menarik perhatian, Medan Niaga Satok merupakan ‘One Stop Centre’ bagi penduduk sekitar bandar raya ini untuk mendapatkan barangan keperluan mereka.

“Kami berharap Medan Niaga Satok bakal menjadi sebuah tempat membeli-belah yang terkemuka, selain sebagai destinasi tumpuan ramai,” katanya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Sunday, July 15, 2012

Bandaraya Kuching, Bandaraya Muzik?


Bandaraya Kuching akan menjadi mangsa pada bulan Julai setiap tahun! Ia akan menjadi sebuah bandaraya muzik apabila konsert jalanan, gerai peralatan muzik, tapak ekspresi muzik dan pondok karaoke memenuhi setiap kaki lima dan juga Tebingan Kuching menjelang RWMF!


Ini akan menghidupkan lagi suasana sambutan acara tahunan RWMF walaupun pusat sebenarnya di Santubong.

Semoga ianya tidak akan berhenti di Bandaraya Kuching sahaja, malah bandaraya lain di Sarawak pasti berminat untuk menyambung legasi RWMF dan menjadi tarikan pelancong apabila RWMF berlangsung.

Model promosi RWMF di Kuching diperkenal

Utusan Borneo 15 Julai 2012,


SANTUBONG: Sebuah model untuk mempromosi Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang bakal menghimpunkan penggemar dan pemain muzik dalam dan luar negara di sebuah tempat di bandar raya Kuching akan diperkenalkan tahun depan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg memberitahu, acara yang akan berlangsung sekurang-kurangnya selama seminggu itu merupakan landasan untuk saling mengenali muzik antara negara.

“Kita akan menghimpunkan pemain-pemain muzik luar negara dan tempatan, mungkin di Tebingan Kuching, di mana mereka boleh bertukar pendapat dan saling mempelajari muzik tersebut.

“Kita mahu bandar raya Kuching menjadi bandar raya muzik sempena bulan RWMF… kita lihat pada tahun depan sama ada ia boleh dilaksanakan atau sebaliknya tetapi mengikut naluri saya, program ini mampu berjaya,” katanya pada sidang media di Kampung Budaya Sarawak (SCV) di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Datuk Rashid Khan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik.

Abang Johari menyifatkan Tebingan Kuching yang mempunyai banyak bangunan bersejarah, selain berhampiran hotel terkemuka merupakan lokasi yang sesuai untuk meng-adakan acara tersebut.

“Ia akan memberi peluang kepada orang ramai untuk menikmati dan turut mempelajari muzik yang dimainkan mereka, seolah-olah sebuah bengkel kasual,” katanya.

Ia juga akan memaparkan pameran kraf yang akan disertai peserta dalam dan luar negara, tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau menjangkakan jumlah pengunjung RWMF untuk ketiga-tiga hari meningkat kepada 22,000 daripada lebih 21,000 pada tahun lepas.

“Ini adalah setelah mengambil kira jumlah kedatangan pengunjung pada hari pertama, iaitu seramai 6,000 berbanding kelaziman 5,000 kerana selalunya, pengunjung pada hujung minggu (hari kedua dan ketiga) lebih ramai berbanding hari pertama.

“Kita berharap kita berjaya mencapai jumlah pengunjung lebih tinggi tahun ini,” katanya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Wednesday, July 11, 2012

Sungai Bintangor Terus Dibaik Pulih Di Bawah Kerajaan BN!


Kerajaan BN turut membaik pulih sungai-sungai bukan setakat bangunan dan rumah-rumah di sekitar kawasan di Satok.

Sungai Bintangor tidak tertinggal dalam senarai sungai yang mendapat peruntukan untuk dibaik pulih dan diperindahkan lagi. Ini kerana sungai akan menjadi tarikan pelancong. Kalau sungai tidak dijaga akan menjadi seperti longkang yang menerima nasib seperti di kuala Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Syabas kepada YB BN yang sentiasa menghulurkan bantuan kepada negeri Sarawak yang tercinta.


Sungai Bintangor Terus Diperindah


KUCHING: Sungai Bintangor yang merupakan tarikan perkampungan Melayu moden di Satok akan terus diperindahkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, usaha memperindahkan sungai berkenaan termasuk membersihkannya dan membaik pulih tebingan di sepanjang sungai.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah Embas meluluskan peruntukan berjumlah RM120,000.

“Peruntukan tambahan ini akan digunakan untuk membersih dan membaik pulih sungai,” katanya.

Abang Johari berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia Kepada Pemimpin Masyarakat di sini, semalam.
Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, kecurian besi dan rantai di tepi tebingan sungai pula sudah diganti semula.

“Saya berharap penduduk setempat dapat menjaga tebingan dan sungai ini.

“Ini kerana sungai ini merupakan ikon dan mampu menjadi tarikan pelancong,” ujarnya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Tuesday, July 10, 2012

Zon Komunikasi Pintar Satok Bakal Beroperasi Bulan Depan.


Penduduk DUN Satok bakal menikmati perkhidmatan internet percuma. ADUN Satok berjanji akan membayar perkhidmatan internet percuma ini bagi membolehkan penduduk di Satok membincangkan masalah mereka secara atas talian dalam Zon Komunikasi Pintar Satok.

Rupa-rupanya penduduk di bandar pun tidak ketinggalan untuk menikmati perkhidmatan wayarless jalur lebar. ADUN Satok sudah mengenal pasti dan mengetahui tidak semua isi rumah yang peka untuk cenderung kepada IT. Oleh itu, beliau telah mengambil inisiatif dengan membawa IT ke rumah di sekitar Satok.

Syabas kepada usaha pemimpin kita yang proaktif dan mesra rakyat. Sesungguhnya rakyat sentiasa didahulukan di Satok.

Penduduk DUN Satok bakal nikmati perkhidmatan Internet percuma

Selasa, 10 Julai 2012 Utusan Borneo Online



BEGINI: Abang Johari memberitahu sesuatu kepada salah seorang penerima Komputer Riba 1Malaysia mengenai penggunaannya.

KUCHING: Lebih 20,000 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok bakal menikmati perkhidmatan Internet percuma bermula bulan depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pada masa sekarang kerja-kerja memasang sistem jalur lebar bernilai RM100,000 sedang giat dijalankan.

Menurutnya, sebanyak empat lokasi dikenal pasti merangkumi Kampung Masjid, Kampung No.5, Kampung Muda Hashim dan Kampung Kudei untuk menempatkan peralatan sistem jalur lebar itu.

“Usaha ini bagi membolehkan penduduk menggunakan perkhidmatan Internet secara meluas tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Rakyat hanya menggunakan perkhidmatan ini dan kami akan bayar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Komputer Riba 1Malaysia Kepada Pemimpin Masyarakat di sini, semalam.

Abang Johari yang juga ADUN Satok menjelaskan, Satok merupakan kawasan DUN pertama di negeri ini mempunyai komunikasi pintar.

“Dengan adanya perkhidmatan Internet percuma, pemimpin masyarakat dan rakyat lebih mudah berhubung termasuk membincangkan masalah di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Menurutnya, perkhidmatan Internet itu juga amat perlu bagi generasi muda yang pada masa sekarang mempunyai peralatan komunikasi.

“Mereka kini tidak perlu bersusah untuk mencari maklumat daripada Internet kerana kami menyediakan secara percuma,” jelasnya.

Selain itu, beliau menambah, penduduk yang menguasahakan perniagaan boleh menggunakan perkhidmatan berkenaan untuk mempromosi dan memasarkan produk masing-masing.

“Sekarang ini kebanyakan usahawan memasarkan produk dengan konsep e-commerce,” kata Abang Johari.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Sunday, July 8, 2012

Helmet 1Malaysia Buat 20 Orang Pemilik Bertuah!!

Pemuda PBB akan menyerahkan Helmet 1Malaysia kepada 20 orang dewasa dan 5 orang kanak-kanak. Untuk mendapat helmet istimewa ini, sila hantarkan pesanan ringkas ke nombor berikut 0146900385 Sila sertakan perkara berikut dalam pesanan ringkas(sms) anda.
1) Nama penuh
2) Alamat rumah
3) Lesen motosikal
4) No telefon
Gambar hiasan

Friday, July 6, 2012

Sektor perkhidmatan semakin penting: Abg Johari



by Patricia Gari. Posted on Utusan Borneo 6 Julai 2012

Ia menyumbang 35.5 peratus kepada KDNK 2011, 11 peratus daripadanya disumbang pelancongan

KUCHING: Sektor perkhidmatan menyumbang 35.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2011 dan daripada jumlah itu 11 peratus disumbangkan oleh sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata pertumbuhan itu dijangka meningkat tahun depan berikutan perkembangan pesat industri-industri sokongan terutama industri mesyuarat dan penambahbaikan infrastruktur pelancongan di negeri ini.

“Kerajaan negeri bekerja keras bagi memastikan kemakmuran ekonomi tercapai menerusi pembangunan mapan dan objektif-objektif pelan pembangunan.

“Dengan sokongan kuat daripada kerajaan pusat serta agensi-agensi swasta industri acara perniagaan, saya pasti Sarawak berada di laluan yang betul,” katanya pada sidang media semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Perniagaan Pembekal/Pelanggan serta Seminar Pendidikan Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) Cawangan Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dekat sini.

Beliau berkata menyedari perkembangan pesat industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan penginapan serta infrastruktur pelancongan lain terutama di sekitar bandar raya Kuching bagi memenuhi keperluan peserta delegasi yang berjumlah 2,000 hingga 3,000 orang.

Ketika ini kemudahan penginapan di bandar raya ini hanya mampu menampung 500 hingga 600 delegasi pada satu-satu masa.

“Jika delegasi persidangan atau mesyuarat 2,000 atau 3,000 orang, hotel-hotel kita akan penuh sesak mungkin tempat penginapan tidak cukup, jadi kita harus menaik taraf kemudahan penginapan dan infrastruktur lain.

“Maknanya perlu lebih banyak hotel sekurang-kurangnya bertaraf empat bintang dan menaik taraf sistem pengangkutan,” jelasnya.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata pertumbuhan KDNK Sarawak sebanyak 4.5 peratus turut disumbang oleh sektor-sektor lain.

Sektor pengeluaran katanya menyumbang sebanyak 28 peratus (kepada KDNK 2011) diikuti perlombongan (21 peratus) dan pertanian (15.5 peratus).

Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia akan memberi peluang pembelajaran yang hebat dalam industri mesyuarat khususnya tidak hanya kepada Sarawak tetapi delegasi dari Australia, Hong Kong, China, Thailand, India, Indonesia, Republik China, Macao, Singapura, Perancis, United Kingdom dan Semenanjung Malaysia.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Pengerusi ICCA Cawangan Asia Pasifik merangkap CEO Gold Coast Tourism, Australia Martin Winter, CEO Biro Konven-syen dan Pameran Malaysia Zulkefli Sharif, Pengarah Urusan Biro Konvensyen Sarawak Mike Cannon, CEO Pusat Konvensyen Borneo Kuching Paul D’Arcy serta Pengarah Urusan AOS Konvensyen dan Acara Amos Wong.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites