Nuffnang

Thursday, January 31, 2013

PBB yakin terus cemerlang dalam PRU13


by Agnes Tugong.  Utusan Borneo

SIDANG MEDIA: Abang Johari bercakap kepada pemberita di Kuching semalam.

Parti yakin sapu bersih semua 14 kerusi Parlimen yang diperuntukkan pada PRU13

KUCHING (28 Jan): Parti Pe­saka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) yakin menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.

Keyakinan tersebut din­yatakan oleh Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika ditemui pem­berita selepas mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Jalan Bako di sini semalam.

Menurut Abang Johari, kesemua jentera pilihan raya telah diarah bersiap sedia menghadapi PRU13 bagi memastikan kesemua kerusi yang diperuntukkan kepada PBB dipertahankan daripada pencabar.

“Mesyuarat hari ini (se­malam) adalah mengenai kawasan-kawasan Parlimen PBB yang akan dipertand­ingkan serta persiapan un­tuk Pilihan Raya Umum,” katanya ringkas sambil menambah maklumat lan­jut akan dinyatakan pada taklimat malam ini (malam tadi).

Mesyuarat itu, semalam dipengerusikan oleh Presi­den PBB Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang juga merupakan pengerusi BN Negeri dan Ketua Menteri Sarawak.

Ditanya mengenai ke­mungkinan kesemua pen­yandang dikekalkan pada PRU13, Abang Johari ber­kata pengesahan akan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan pengerusi BN Pusat.

“Kita tunggu pengu­muman oleh Perdana Menteri… saya tidak tahu dan tidak boleh memberi­kan sebarang kenyataan berhubung perkara ini seh­ingga diputuskan oleh Per­dana Menteri,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari turut menafikan berlaku masalah di kerusi Parlimen Batang Lupar yang disi­fatkan oleh beliau sebagai masalah kecil yang tidak perlu dirisaukan.

Pada PRU12, tahun 2008, PBB menang di kesemua 14 kerusi Parlimen yang diperuntukkan kepada parti itu.

Antara kerusi-kerusi tersebut adalah Batang Sa­dong, Betong, Santubong, Kota Samarahan, Batang Lupar, Mukah dan Lim­bang.

Kerusi-kerusi lain ter­masuk Petra Jaya, Mam­bong, Tanjung Manis, Sibuti Lawas, Igan dan Kapit.

Cubaan lagakan pemimpin PBB



by Eswandy Hinri. Utusan Borneo

Laporan portal Sarawak Report mengenai plot gulingkan Ketua Menteri tidak berasas dan ‘nakal’, sengaja diadakan pihak tertentu: Abang Johari

KUCHING (24 Jan): Laporan portal Sarawak Report mengenai plot untuk menggulingkan Ketua Menteri Sarawak adalah tidak berasas dan ‘nakal’, yang sengaja diada-kan oleh pihak tertentu bagi melaga-lagakan pemimpin serta ahli Parti Pesaka Bumi-putera Bersatu (PBB).

Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata spekulasi liar tersebut merupakan permainan biasa dalam arena politik yang perlu dihadapi termasuk beliau sendiri, terutama menjelang pilihan raya yang bakal tiba.

“Mereka yang terlibat dalam penulisan portal tersebut nyata cemburu dengan kekuatan dan kejayaan PBB,” ujar Abang Johari.

Pada 20 Januari lepas portal tersebut mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat konspirasi diketuai oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan untuk menggulingkan Ketua Menteri Sarawak pada Konvensyen PBB yang akan datang.

Portal tersebut turut menyenaraikan nama-nama pihak yang terlibat dalam konspirasi tersebut termasuk pegawai-pegawai kanan kerajaan dan pemimpin-pemimpin kanan PBB.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan menjelaskan bahawa beliau amat mengenali Awang Tengah lebih daripada 20 tahun semasa beliau (Awang Tengah) mula-mula bertugas sebagai timbalan setiausaha di Kementerian Pertanian.

“Awang Tengah bukan seorang pembelot seperti yang dinyatakan oleh portal tersebut kerana saya amat mengenalinya sejak beliau mula-mula berkhidmat bersama saya di Kementerian Pertanian semasa saya menjadi Menteri Muda di situ.

“Di samping itu saya bertanggungjawab dalam pencalonan pertama beliau di Lawas pada pilihan raya tahun 1987 kerana saya dapat melihat potensi beliau sebagai seorang pemimpin,” jelasnya pada sidang media di pejabat PBB Satok semalam.

Abang Johari juga berkata tiada laporan polis akan dibuat terhadap penulisan portal tersebut kerana tiada kesahihan di dalamnya dan langsung tidak memberi apa-apa kesan terhadap persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya.

Beliau turut berpesan kepada ahli dan penyokong PBB supaya tidak mengendahkan penulisan portal Sarawak Report dan fokus terhadap pilihan raya yang akan datang.

PBB Satok umum jentera pilihan raya, yakin akan kekalkan kerusi Petra Jaya


Utusan Borneo

KUCHING (24 Jan): Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok mengumumkan penubuhan jentera pilihan rayanya serta yakin akan mengekalkan kerusi Parlimen Petra Jaya dengan sokongan padu ahli dan penyokongnya.

Menurut Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, sebagai sebahagian daripada kawasan Parlimen Petra Jaya jenteranya sudah siap bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kami telah melantik Datuk Daud Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya bagi kawasan Parlimen Petra Jaya sambil dibantu oleh Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai timbalannya sementara saya sendiri akan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Peringkat Negeri bagi PBB di samping membantu parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” jelas Abang Johari selepas menghadiri Mesyuarat Exco PBB N8 Satok semalam.

Beliau berkata Parlimen Petra Jaya yang merangkumi Satok, Tupong dan Samariang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan yakin pengundi di kawasan tersebut akan terus menyokong usaha pembangunan infrastruktur, sosial dan pelajaran oleh PBB selama ini.

“Kami yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti yang besar namun kami tidak boleh leka dan sentiasa berusaha seperti menghadapi peperiksaan penting,” ujarnya.

Menurut Abang Johari, pihak pembangkang tidak berpeluang membangkitkan isu-isu di kawasan Parlimen tersebut kecuali isu yang ‘diimport’ yang langsung tidak berkaitan bagi mengelirukan para pengundi.

Di samping itu beliau turut menjelaskan penghijrahan penduduk ke kawasan Petra Jaya telah membantu kenaikan peratusan pengundi PBB.

“Jumlah pengundi di Petra Jaya kini mencecah 40,000 disebabkan penghijrahan penduduk terutama di kawasan Tupong yang kini pesat membangun,” katanya.

Selain itu Abang Johari berkata program pembangunan di kawasan Petra Jaya berjalan dengan baik disamping mengumumkan penerimaan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menaik taraf jalan-jalan utama di situ.

“Sementara itu projek mencantikkan kawasan Satok lama yang dianggarkan bernilai RM1 juta oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut dilihat dapat membantu menjana ekonomi penduduk sekeliling di samping menjadi tarikan pelancong,” ujarnya

Taman tersebut akan menggunakan konsep pasar borong yang diilhamkan dari luar negara dengan mengunakan ‘caravan’ mudah alih dan mesra alam yang akan diadakan setiap hujung minggu dijangka akan menarik para pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Sarawak Bakal Bincang Semakan Royalti Minyak Dengan Kerajaan Persekutuan - Abang Johari


KUCHING, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak mungkin akan mencadangkan satu formula baharu berhubung royalti petroleum kepada kerajaan Persekutuan berikutan penemuan terbaharu minyak dan gas mentah di Miri, kata Menteri Perumahan negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata formula itu mungkin tidak membabitkan permintaan untuk menaikkan kadar royalti lima peratus yang kini dinikmati Sarawak, sebaliknya peratusan tertentu dalam ekuiti saham bagi penemuan minyak dan gas mentah di negeri ini pada masa depan.

"Kita kini bercakap soal pendekatan baharu yang kami percaya akan diiktiraf pemimpin kerajaan Persekutuan kerana ia merupakan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan dewan baharu Sekolah Kebangsaan Rakyat di sini Ahad.

Abang Johari berkata kerajaan negeri sudah mempunyai satu formula yang lebih memanfaatkan Sarawak, namun tidak boleh didedah ketika ini sementara menunggu perbincangan dengan kerajaan Persekutuan.

Jumaat lepas, Petronas mengumumkan penemuan minyak dan gas di telaga Adong Kecil West-1 di Blok SK333, di pesisir Sarawak yang terletak kira-kira 20 kilometer di timur laut pekan Miri dan merupakan penemuan minyak serta gas pertama di daratan Malaysia selepas 24 tahun.

-- BERNAMA

Pengundi Di Petra Jaya Diminta Tidak Terpengaruh Isu Luar - Abang Johari


KUCHING, 23 Jan (Bernama) -- Pengundi di kawasan Parlimen Petra Jaya, di sini dinasihatkan tidak terpengaruh dengan isu luar kawasan yang akan dimainkan pembangkang bagi mengalih pandangan mereka kepada pembangunan yang dijalankan kerajaan sedia ada di kawasan tersebut.
Timbalan Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata isu seperti perhimpunan Bersih dijangka akan digunakan, namun percaya isu tersebut tidak relevan dengan pembangunan yang dibawa pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

"Mereka akan mengimport isu luar dan berharap rakyat di Petra Jaya percaya dan mengikuti mereka (isu), tetapi rakyat di sini berpendidikan dan tahu apa yang betul dan apa yang salah. Bagi kami (PBB) apa yang penting sekarang ialah kita akan terus membawa pembangunan di Petra Jaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco PBB kawasan Satok di sini Selasa malam.

Turut hadir anggota Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusuf.

Mengulas persediaan pilihan raya Parlimen Petra Jaya, Abang Johari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok berkata jentera pilihan raya bagi kawasan Parlimen Petra Jaya telah ditubuhkan dan akan diketuai Adun Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman.

"Antara agenda mesyuarat malam ini, kita tubuhkan beberapa jentera pilihan raya di peringkat cawangan dalam Parlimen Petra Jaya iaitu di DUN Satok, Tupong dan Samariang.

"Parlimen Petra Jaya merupakan kubu kuat BN sejak dahulu lagi, saya yakin berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, pengundi akan terus menyokong kita kerana banyak lagi program pembangunan akan kita lakukan di kawasan ini," katanya sambil menambah Parlimen Petra Jaya kini mempunyai kira-kira 40,000 pengundi berdaftar.

-- BERNAMA

Saberkas Rancang Pewujudan Makmal Berteknologi Tinggi Di Samarahan



KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) akan mewujudkan sebuah makmal yang juga pusat latihan di kawasan Paloh di Bahagian Samarahan sebagai platform untuk melatih anggotanya menjadi usahawan pertanian moden.

Presiden Saberkas Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada Jumaat berkata pusat itu dijangka siap menjelang Oktober tahun ini untuk melatih anggota terpilih dari organisasi dalam bidang hidroponik dan bioteknologi.

"Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri secara dasarnya meluluskan peruntukan RM9 juta untuk menubuhkan kemudahan makmal berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Saberkas di sini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2 juta akan dibelanjakan bagi infrastruktur makmal yang turut merangkumi kemudahan asrama, kawasan pejabat, bekalan air dan elektrik serta kemudahan asas lain.

"Kami turut memutuskan untuk menjadikan kawasan di Pulau Bruit di Semop (tengah Sarawak) sebagai pusat penyelidikan lanjutan yang menjalin kerjasama dengan pusat di Paloh," katanya.

Abang Johari berkata Saberkas akan bekerjasama dengan Mimos Berhad dan Perda-Tech, sebuah institut latihan kemahiran lanjutan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyediakan latihan kejuruteraan pertanian.

Beliau berkata Mimos Berhad akan turut terlibat dalam menyediakan kepakaran bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang akan dilaksanakan di pusat berkenaan.

Memandangkan penekanan akan diberi kepada pertanian berteknologi tinggi, beliau berkata pusat itu akan mengambil 10 pelatih sebagai perintis projek itu dan mereka perlu mempunyai kelulusan minimum peringkat diploma dalam bidang berkaitan.

"Projek ini akan dijalankan berterusan sejajar dengan hasrat kami untuk menghasilkan belia berkelayakan terutamanya bagi meneroka peluang dalam pasaran halal yang membolehkan mereka melibatkan diri dalam penghasilan produk bernilai tambah bagi pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

Hanya Najib Boleh Umum Senarai Akhir Calon Parti PBB - Abang Johari





KUCHING, 27 Jan (Bernama) -- Calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang akan mempertahankan kesemua 14 kerusi Parlimennya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 hanya akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg juga berkata persoalan sama ada ahli Parlimen dari parti itu akan dikekalkan atau berpindah kawasan juga hanya akan diumumkan oleh Najib.

Pada PRU ke-12 pada 2008, PBB memenangi kesemua kerusi di 14 kawasan Parlimen iaitu Santubong, Petra Jaya, Kota Samarahan, Mambong, Batang Sadong, Batang Lupar, Betong, Tanjung Manis, Igan, Mukah, Kapit, Sibuti, Limbang dan Lawas.

"Saya tidak boleh mengesahkan sama ada penyandang kerusi Parlimen dari PBB akan terus menjaga kawasan masing-masing...hanya tunggu pengumuman Najib merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat dengan sebahagian daripada 14 ahli Parlimen tersebut di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, di sini.

Mesyuarat lebih dua jam itu dipengerusikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga presiden parti berkenaan.

-- BERNAMA

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites