Nuffnang

Sunday, December 30, 2012

Medan Niaga Satok - Hab Komersial Baharu Petra Jaya

Medan Niaga Satok akan menjadi hab komersial di Petra Jaya.  Menurut ADUN Satok, ini adalah fasa pertama dan fasa kedua akan memiliki sebuah panggung teater untuk mempamerkan kebudayaan etnik di Sarawak.  Ianya juga akan membantu mempromosikan seniman dan seniwati dari Sarawak.
Satu mercu tanda untuk Petra Jaya

by Jessica Jawing. Posted on December 30, 2012, Sunday

Medan Niaga Satok akan jadi hab komersial baharu dengan fasa kedua

KUCHING: Medan Niaga Satok di Kubah Ria akan menjadi satu mercu tanda kepada Petra Jaya iaitu sebagai hab pusat komersial baharu dengan terlaksananya pembinaan fasa keduanya nanti.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, fasa kedua medan niaga berkenaan bakal dibangunkan dengan sebuah panggung yang menjadi tempat mempersembahkan aktiviti kebudayaan etnik Sarawak.

“Apa yang kita lihat sekarang hanya fasa pertama Medan Niaga Satok, sementara fasa kedua nanti kita akan bangunkan panggung untuk menghiburkan pelancong dengan budaya yang ada khasnya di bandar raya ini.

“Kesenian kita adalah amat unik dan kita mempunyai sekolah seni dan latihan kebudayaan dari Kampung Budaya Sarawak yang boleh mempersembahkan teater termasuk persembahan legenda Sarawak,” katanya berucap merasmikan Pesta Satok 2012 di Medan Niaga Satok di sini, malam kelmarin.

Abang Johari berkata, pada masa yang sama ia memberi peluang kepada seniman dan seniwati yang membuat persembahan menjana pendapatan mereka.

“Bagaimanapun, kos pembinaan panggung ini masih dalam perbincangan… kita anggarkan lebih kurang RM5 juta,” katanya.

Selain panggung, fasa kedua medan itu juga katanya merangkumi papan iklan besar elektronik (billboard) yang akan mempamerkan maklumat acara di Medan Niaga Satok.

“Apa yang berlaku di kawasan ini termasuk kawasan komersial berdekatan akan menjadi hab pusat komersial baharu di Petra Jaya dan menjadi kawasan tarikan di bandar raya Kuching,” kata beliau.

Tambahanya ia merupakan usaha dan perancangan kerajaan yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan termasuk para peniaga dan masyarakat sekitar.

“Kita tahu ada di kalangan peniaga kita khuatir tentang perpindahan dari pasar lama Satok ke Medan Niaga Satok, namun kita tetap berterima kasih kerana mereka telah memberi kerjasama.

“Dengan adanya medan ini ia merupakan tempat berniaga mereka yang kekal dengan kemudahan infrastruktur yang terbaik termasuk pembuangan sisa yang akan dikitar dan dirawat sebelum mengalir ke sungai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok.

Abang Johari berkata, ia juga lebih bersih dan memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga berbanding pasar lama yang kemudahannya masih tidak mencukupi.

“Kita percaya apabila tempat ini dipromosikan nanti ramai yang akan tahu dan ia menjadi tempat seperti sedia kala,” katanya.

Majlis pelancaran Pesta Satok yang bermula pada 28 Disember hingga 1 Januari 2013 anjuran Persatuan Pelancongan Satok dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran RTM Sarawak Fee Lin Chew, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abdul Wahap Abang Julai dan isteri Abang Johari, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Tahun Melawat Sarawak 2013

Tahun 2013 akan menyusul bila-bila masa sahaja lagi.  Apakah keistimewaan tahun tersebut?  Pada tahun 2013 kelak akan diadakan pelbagai aktiviti untuk menggalak pelancong ke Sarawak sempena tahun melawat Sarawak pada Julai 2013. 

Industri pelancongan Sarawak harus dinamik, penuhi jangkaan pelancong

Utusan Borneo 31 Disember 2012, Isnin

KUCHING: Industri pelancongan Sarawak harus bersifat dinamik dan sentiasa bergerak ke hadapan selari dengan perubahan sekeliling demi memenuhi jangkaan para pelancong.

“Sempena Tahun Melawat Sarawak bermula bulan Julai 2013, Taman Negara Bako dan Semenggok akan dinaik taraf kemudahannya secara sistematik terutama pusat informasi dan gerai makanannya,” ujar Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Selain itu pihak kementeriannya juga akan memperkenalkan tiga jenis pakej pelancongan iaitu lawatan di bandar raya Kuching, rumah panjang dan taman negara yang turut dimuatkan aktiviti-aktiviti menarik yang akan disertakan dalam pakej Penerbangan Malaysia (MAS).

Abang Johari berkata Sarawak mempunyai potensi paling cerah dalam industri pelancongan berbanding negeri-negeri lain kerana ia mempunyai produk berbeza dan lebih menarik yang sinonim dengan kebudayaan penduduknya serta alam semula jadinya seperti sungai-sungai dan taman-taman negaranya.

Abang Johari berkata demikian pada majlis makan malam sempena perpindahan Pengarah Negeri Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Ahmad Johanif Mohd Ali yang akan bertugas di pejabat lembaga tersebut di New York, Amerika Syarikat.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Muda Pelancongan Datuk Gramong Juna dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datuk Ik Pahon Joyik di Kompleks Pelancongan semalam.

Johanif yang akan memulakan tugasnya pada 28 Ja-nuari tahun depan berharap agar kerjasama di antara pihak lembaganya dan agensi-agensi serta jabatan-jabatan berkaitan akan diterus dan di-tingkatkan demi kebaikan industri pelancongan khasnya di negeri Sarawak.

Beliau yang pernah berkhidmat di Stockholm, Sweden sebelum ini berkata Timbalan Pengarah Rizal Mas akan memangku jawatannya sehingga pengganti beliau Salahuddin Mohd Ariffin melaporkan diri secara rasmi di pejabat Kuching pada bulan Februari tahun depan.

Thursday, December 27, 2012

Pengangkutan Udara Tonggak Utama Kuching Sebagai Pusat Membeli-Belah

Dengan adanya Plaza Merdeka maka banyaklah lagi tempat untuk dikunjungi oleh penggemar membeli-belah ke Bandaraya Kuching.  Tidak mustahil suatu hari nanti Kuching akan menjadi tumpuan utama untuk membeli-belah yang setanding dengan Kuala Lumpur mahu pun Singapura.  

Beza antara Singapura dan Kuching adalah, lebih banyak barang Made in China di Kuching berbanding di Singapura namun barang ini tidak mempunyai ciri-ciri kualiti yang tinggi berbanding di Singapura.  Oleh itu diharap agar pemborong barangan Made in China akan meningkatkan lagi kualiti barangan yang diimport agar kualiti yang lebih tinggi dapat dinikmati di Kuching.  

Singapura berjaya menjadi pusat ekonomi serantau dengan adanya mutu kawalan kualiti yang tinggi.  Diharap kerajaan akan melihat dari sudut ini sebelum membenarkan barangan dari China masuk ke Sarawak amnya!
Kuching pusat beli-belah

by Jessica Jawing. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis

Ia menjadi tumpuan masyarakat tempatan, negara jiran

KUCHING: Kewujudan banyak pusat beli-belah di bandar raya ini bukan sahaja mampu menjadi tumpuan masyarakat tempatan tetapi negara jiran terutama dari Kalimantan, Indonesia.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik berkata dari segi pusat beli-belah, kementerian lebih menyasarkan masyarakat tempatan dan negara terdekat berbanding dari luar negara.

“Kini sasaran kita untuk pusat beli-belah adalah bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan misalnya sejak banyak pusat beli-belah dibuka di Kuching ada di kalangan masyarakat kita dari Sri Aman turun ke Kuching.

“Keduanya ia juga untuk pelancong dari Kalimantan, Indonesia sebagai sasaran. Ini kerana jika kita lihat situasi kini kita masih belum dapat bersaing dengan Singapura dan Kuala Lumpur bagi destinasi pusat beli-belah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut Ik Pahon, beliau percaya kewujudan pusat beli-belah di bandar raya ini pasti akan memberi kesan positif dari segi kedatangan pelancongan luar pada masa akan datang.

Namun katanya kewujudan banyak pusat beli-belah sahaja tidak memandai kerana yang penting untuk menarik pelancong luar adalah pengangkutan udara yang lebih banyak.

Beliau memberitahu, kementeriannya menyasarkan kedatangan empat juta pelancong menjelang hujung tahun ini ke Sarawak.

“Kita melihat ada peningkatan sedikit berbanding tahun lepas dan jika perhubungan udara kita dipertingkatkan lagi saya percaya kedatangan pelancong akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) khasnya memperluaskan lagi penerbangan ke negeri ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan Sarawak.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan ketika dihubungi yakin pembukaan banyak pusat beli-belah di Sarawak mampu menarik ramai kedatangan pelancong.

Jelas beliau ia juga pasti memperhebatkan lagi promosi STB di Brunei dan Kalimantan Barat, bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Dengan adanya penerbangan antara Bandar Seri Bagawan, Pontianak dengan Kuching oleh penerbangan MASwings, ini pasti menjadi satu segmen pelancongan yang akan menambahkan lagi tarikan pelancong ke Sarawak,” katanya.

Kewujudan pusat beli-belah yang semakin banyak di negeri ini mampu menjadikan bandar raya Kuching sebagai syurga membeli-belah kepada masya-rakat tempatan khususnya.

Selepas pusat beli-belah tHe Spring dan Boulevard, masyarakat Kuching kini mempunyai pelbagai pilihan apabila Plaza Merdeka turut dibuka sebagai destinasi beli-belah di pusat bandar raya ini, yang baharu sahaja dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 12 Disember lepas merangkumi Lebuh Carpenter dan Jalan Tun Openg.

Bukan itu sahaja malah satu lagi gedung besar iaitu City One yang terletak di Jalan Song-Jalan Tun Jugah, pasti membuka ruang kepada penduduk tempatan dan dari luar membeli-belah apabila ia siap dilaksanakan nanti.

Selain itu satu lagi kemudahan iaitu Matang Sentral akan menampilkan bangunan empat tingkat merangkumi tempat perniagaan, perkhidmatan dan pusat untuk berhibur juga menjadi Kawasan Transit Bandar Raya (CAT) bagi terminal bas yang melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang An-tarabangsa Kuching, Kuching Sentral sehingga sepanjang jalan ke kawasan pelancongan di Santubong.

Wednesday, December 26, 2012

Medan Niaga Satok Tarikan Utama di Satok

Peniaga di sekitar tapak lama Pasar Satok dinasihatkan agar tidak khuatir kehilangan punca pendapatan apabila mereka berpindah ke Medan Niaga Satok.  Medan Niaga Satok telah dibina dengan tujuan utama untuk membasmi pencemaran di Sungai Sarawak dan tanpa kerjasama daripada peniaga di tapak lama Benteng Satok maka usaha ini tidak akan sempurna sepenuhnya.  

Pihak berkuasa tempatan dan FAMA akan mengadakan promosi di Medan Niaga Satok bagi membantu meningkatkan lagi kunjungan orang ramai ke kawasan tersebut.  Medan Niaga Satok yang dilengkapi dengan segala kemudahan untuk berniaga dalam keadaan sihat dan selamat akan mengakhiri pencemaran di Sungai Sarawak dengan adanya sistem terbaharu untuk menyingkirkan sisa kumbahan.
Peniaga tidak perlu bimbang

by Rusnan Mustafa. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis

Pemindahan lokasi perniagaan ke Medan Niaga Satok akan disusuli pelbagai promosi

TERSERGAM INDAH: Medan Niaga Satok di Kubah Ria menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung apabila beroperasi mulai 1 Januari nanti.
KUCHING: Para peniaga di Pasar Satok yang akan dipindahkan ke Medan Niaga Satok, Kubah Ria tidak perlu gusar tentang perniagaan mereka kerana Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu mempromosikan kawasan itu.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, kebimbangan untuk berpindah ke tapak niaga baharu sememangnya sering menghantui para peniaga kerana takut perniagaan mereka jatuh merudum.

Beliau memberitahu, aktiviti perniagaan yang sedang giat dijalankan di Satok ketika ini melibatkan empat kategori iaitu Pasar Minggu (setiap hari Sabtu dan Ahad), Pasar Tamu (harian), Benteng (setiap malam) dan Pasar Borong (setiap awal pagi) membabitkan kira-kira 2,000 peniaga.

Jelasnya, Medan Niaga Satok mempunyai kira-kira 2,000 gerai yang telah dibina secara teratur dan ia mencukupi untuk peniaga terlibat dalam pemindahan itu.

“Kita akan membantu mereka dalam mempromosikan kawasan niaga baharu secara berterusan bagi me-mastikan perniagaan mereka tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kira-kira 300 peniaga menyerahkan petisyen bantahan baru-baru ini selepas dikatakan enggan berpindah ke tapak baharu itu.

“Perkara seperti ini memang selalu menghantui peniaga setiap kali dipindahkan, tetapi selepas ini baharulah mereka akan tahu kebaikan pemindahan ke tempat baharu tersebut, termasuk kemudahan disediakan kerajaan untuk mereka yang lebih baik daripada tempat lama,” katanya lagi.

Oleh itu, Abang Wahap memberitahu operasi di tempat baharu itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan iaitu 1 Januari 2013 kerana Pasar Satok yang berstatus sementara itu akan dirobohkan bagi pembinaan Taman Rekreasi Mini khas untuk warga kota.

Tambahnya, walaupun ada segelintir peniaga enggan berpindah ke tempat baharu itu, tarikh terakhir mereka dibenarkan berniaga di tapak sementara berkenaan dikekalkan iaitu pada 30 Disember ini.

“Justeru, saya berharap para peniaga memberi kerjasama untuk memastikan usaha murni kerajaan dalam menyediakan kemudahan niaga yang lebih baik ini dapat dimanfaatkan dan memberi kesan yang baik kepada peniaga.

“Setiap perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dirancang secara terperinci dan pasti ia mendatangkan kebaikan untuk rakyatnya,” jelasnya.

Selain itu, Abang Wahap memberitahu dengan penutupan tapak niaga di Satok, penyumbang kepada masalah pencemaran Sungai Bintangor dapat diatasi.

“Kita yakin pemindahan ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada peniaga tetapi kepada alam sekitar dan kita akan mempergiatkan usaha untuk memulih dan memelihara Sungai Bintangor yang tercemar untuk dijadikan kawasan tarikan baharu bagi kegiatan memancing pada tahun hadapan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai bangunan-bangunan kedai yang ada di Satok, beliau menyarankan pemilik mengambil inisiatif untuk mengecat bangunan mereka serta melakukan aktiviti pembersihan.

Katanya, DBKU sering menerima aduan tentang masalah kekotoran di kawasan terbabit, justeru beliau menasihati pemilik bangunan kedai di Satok mengecat dan membersihkan kawasan mereka.

Malah, jelasnya, pada tahun hadapan Sarawak akan meraikan Ulang Tahun Ke-50 dalam Malaysia serta Sambutan Jubli Perak Ke-25 DBKU.

“Usaha untuk mentransfomasikan kawasan bandar raya ini akan diteruskan bagi menyediakan tempat yang baik dan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat di sini mahupun kepada pelancong,” ujarnya.

Sarawak River Taxi Bakal Menjadi Ikon Pelancongan di Waterfront Kuching

Berkat usaha gigih maka satu lagi produk pelancongan bakal menjadi ikon di Kuching.  Kini Sarawak River Taxi atau Teksi Sungai Sarawak telah beroperasi dengan jayanya sejak ditubuhkan dua tahun yang lalu.  

Bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan dan keindahan tebing Sungai Sarawak dengan selesa bolehlah membawa keluarga anda berkunjung ke Waterfront untuk menaiki SRT ini.  Mereka beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.   Mungkin suatu hari nanti mereka akan beroperasi lebih lama lagi sehingga pukul 9 malam bagi membolehkan penumpang menikmati pancaran cahaya dari perkampungan dan juga keindahan suasana di malam hari di Kuching.
SRT satu lagu produk pelancongan Kuching

Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis


KUCHING: Teksi Sungai Sarawak (SRT) yang diperkenalkan dua tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong asing sekali gus menambah produk pelancongan bandar raya ini.

Diusahakan Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok (PKPS) yang beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 5 petang itu, ia mampu membawa kira-kira 20 hingga 30 penumpang sekali perjalanan.

Setiausaha Kerja PKPS Nas Ismadi Khalik berkata, sejak dilancarkan pada awal 2011 sambutan orang ramai semakin menggalakkan terutama daripada pelancong.

“Sekitar 70 peratus penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini terdiri daripada pelancong asing,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata bilangan penumpang akan terus meningkat terutama pada musim cuti persekolahan dan hujung tahun.

“Dalam tempoh ini bilangan penumpang meningkat kepada 50 hingga 70 orang sehari,” ujarnya.

Dengan kadar caj RM25 untuk dewasa dan RM12 kanak-kanak, perkhidmatan itu menawarkan pengalaman mengelilingi Sungai Sarawak selama sejam.

Nas menjelaskan, persatuan masih menunggu kelulusan daripada kerajaan agar per-khidmatan itu dapat diperluaskan dengan menambah jumlah tempat berhenti.

“Kita telah mengenal pasti beberapa hentian sekali gus memudahkan penduduk tempatan dan pelancong asing berulang-alik tanpa perlu menggunakan kenderaan,” jelasnya.

Antara lokasi hentian tersebut termasuk di perkampungan Melayu di sepanjang Sungai Sarawak, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Medan Niaga Kubah Ria dan Tebingan Kuching.

Sementara itu, Mark Cornley, 52, pelancong dari England yang menggunakan perkhidmatan tersebut berkata, kadar caj yang dikenakan untuk perkhidmatan itu amat berpatutan.

“Memang berpuas hati dengan perkhidmatan ini kerana saya dapat melihat permandangan indah di sepanjang Sungai Sarawak termasuk perkampungan Melayu dan bangunan bersejarah (Astana Negeri).

“Caj yang dikenakan juga murah walaupun mengelilingi Sungai Sarawak selama sejam,” katanya yang pertama kali menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Bagi Libby Lindsay,45, tidak banyak negara yang dilawatinya ada menyediakan perkhidmatan seperti itu yang mengenakan caj rendah dan berpatutan.

“Kebiasaannya kalau hendak menggunakan perkhidmatan bot persiaran mungkin dikenakan caj ratusan ringgit namun caj ini amat menarik.

“Saya memang berpuas hati dengan perkhidmatan ini. Pada masa akan datang kalau datang ke Sarawak, sudah pasti saya akan menggunakan perkhidmatan ini lagi,” tambahnya.

Perkhidmatan teksi air di Sungai Sarawak yang menggunakan tiga buah bot memulakan operasi pada awal 2011.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata perkhidmatan teksi air merupakan sebahagian daripada pendekatan untuk memberi khidmat pengangkutan awam selain jalan darat dan pada masa sama mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ia akan menjadi produk pelancongan baharu untuk menarik pelancong dan pada masa sama menjadi satu lagi pilihan pengangkutan awam bagi masyarakat tempatan,” katanya.

Wednesday, December 5, 2012

Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013 Bakal Menggegar Sarawak

Satu lagi usaha untuk menggalak kegiatan pelancongan telah dilancarkan iaitu Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013.  Acara yang julung kali diadakan ini akan berlangsung pada 24-26 Jun 2013 sempena festival Rainforest kelak.

20 pakar muzik antarabangsa bakal mencuit minda dan persona pemuzik tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan platform mereka.  Di samping berhibur mereka juga akan dihidangkan dengan pelbagai keunikan dan kebudayaan yang terukir di bumi kenyalang ini.  

Syabas kepada Abang Jo dan kumpulan pemikirnya yang mampu menjulang nama Sarawak di bibir dunia. 

Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013 rangsang pelancongan

Utusan Borneo 6 Disember 2012, Khamis

KUCHING: Sarawak bakal menampilkan satu lagi acara berkaitan muzik mulai tahun depan iaitu Ekspo Muzik Borneo Sedunia yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini.

Ekspo dari 24 hingga 26 Jun 2013 di sebuah hotel terkemuka itu diadakan sempena festival ikonik Sarawak, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) Edisi Ke-16 anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan dijangka membawa kira-kira 20 pakar muzik antarabangsa.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menjelaskan, ekspo julung kalinya itu turut menampilkan acara sampingan seperti pameran dagangan, persembahan muzik, persidangan dan sesi rangkaian kerjasama yang mempromosikan budaya dan muzik.

Katanya, selain menggabungkan kepelbagaian muzik, ekspo berkenaan turut menge-tengahkan muzik asli di Sarawak, bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai kepelbagaian muzik, seni dan budaya Sarawak kepada dunia.

“Selain RWMF, ekspo ini akan menjadi platform kepada kita dari segi mempromosikan Sarawak serta menjadi tarikan global dari segi muzik dan budaya yang kita ada.

“Malah, melalui ekspo yang bakal menampilkan pakar terkenal muzik di dunia, ia mungkin mampu mencungkil bakat anak-anak tempatan kita dalam bidang ini,” katanya.

Menurut beliau, ekspo yang merangkumi muzik asli itu juga menjadi salah satu pendekatan bagi memelihara muzik tradisional agar seimbang dengan trend muzik terkini.

Namun, ujarnya, paling penting, program ekspo itu mampu menyampaikan mesej secara tidak langsung melalui persembahan dan sebagainya.

“Kita mahu berkongsi muzik kita bersama dengan mereka dari luar agar masyarakat global memahami kepelbagaian yang kita ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif National Recording Preservation Foundation, US Library of Congress, Gerald Seligman berkata, mereka merancang untuk membawa 20 pakar muzik termasuk penerbit antarabangsa.

Katanya, ekspo itu juga membuka peluang kepada pemuzik tempatan dan wilayah serantau melalui program-program yang diadakan.

“Kami menyediakan pelbagai program termasuk menampilkan speaker antarabangsa melalui persidangan yang kita adakan nanti dan ini pasti menyediakan akses kepada golongan sasaran kita,” jelasnya sambil memberitahu paling penting ialah pendedahan dan promosi muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Datuk Rashid Khan berkata, STB yakin program ekspo itu menjadi acara utama di Sarawak dalam masa tiga tahun akan datang.

Jelas beliau ia sebagai sebahagian daripada strategi transformasi bagi meningkatkan nilai rantaian RWMF yang lebih kepada santai kepada acara pelancongan perniagaan.

“Kita berharap dengan menambah satu lagi acara di negeri ini, ia akan menggalakkan lagi kedatangan pelancong ke sini. Ini kerana sehingga Oktober tahun ini kedatangan pelawat luar negara sahaja terus meningkat pada 16 peratus kepada 2.31 juta,” kata Rashid.

Wednesday, November 28, 2012

RM 500 Juta Untuk Program Perumahan Rakyat!


2,847 unit rumah di bawah PPR di Sarawak tahun depan

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Sebanyak 2,847 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) telah diluluskan untuk dibina di Sarawak pada tahun depan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM512.46 juta.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia membabitkan 12 projek perumahan iaitu PPR Lambir, Miri (500 unit), PPR Saratok, Betong (68 unit), PPR Sri Aman (123 unit), PPR Kidurong, Bintulu (215 unit), PPR Permyjaya, Miri (314 unit), PPR Tabuan Melayu, Kuching (213 unit), PPR Sungai Tengah II, Kuching (439 unit), PPR Matang Batu 9, Kuching (93 unit), PPR Mukah II (66 unit), PPR Kanowit (91 unit), PPR Samarahan (303 unit) dan PPR Petra Jaya, Kuching (422 unit).

“Jumlah unit rumah yang telah diluluskan ini merupakan yang terbanyak di kalangan negeri di Malaysia iaitu 14 peratus daripada jumlah keseluruhan unit,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Bagi permulaan pembinaan projek tersebut, Abang Johari berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM95.16 juta.

Katanya kesemua projek ini akan dibina dengan reka bentuk yang menarik, selesa untuk diduduki, mempunyai keluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Pelaksanaan projek-projek perumahan ini kelak sudah tentunya akan dapat membantu mengatasi isu kesukaran rakyat untuk memiliki rumah memandangkan harga rumah di bawah PPR adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran melalui subsidi kos yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, harga seunit rumah yang ditawarkan ialah RM50,400 untuk unit tengah dan RM59,220 untuk unit tepi.

Berhubung status pelaksanaan PPR (dimiliki) yang sedia ada, Abang Johari berkata sejumlah RM100 juta dana kerajaan persekutuan telah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pada 2009 untuk membina 865 unit rumah atas tanah di Kuching, Samarahan, Mukah, Bintulu, Kanowit dan Song.

Katanya projek tersebut merangkumi PPR Matang Lot 5 (Taman Serapi – 156 unit), PPR Matang Sungai Tengah (Taman Banjaran Serapi – 311 unit), PPR Samarahan (Taman Tuang – 150 unit), PPR Mukah (Taman Mutiara Indah – 52 unit), PPR Kidurong (Kidurong Avenue – 100 unit), PPR Kanowit (Taman Dabai Indah – 68 unit) dan PPR Song (Taman Sri Jaya – 28 unit).

“Lima projek iaitu dua di Kuching, satu di Samarahan dan satu di Mukah telah siap pada November 2010 dan di Song siap pada Mac 2012 manakala dua lagi projek iaitu di Kidurong dan Kanowit sedang dalam proses mendapatkan Permit Pendudukan (OP) dan Sijil Jalan,” katanya.

Mengenai status pelaksanaan PPR (disewa) yang sedia ada pula, Abang Johari berkata sebanyak 2,000 unit pangsapuri untuk disewa telah dan akan siap di tiga lokasi iaitu PPR Batu Gong di Siburan, Kuching, PPR Seduan di Rantau Panjang, Sibu dan PPR Kemena di Bintulu.

Katanya, ketiga-tiga projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM238.5 juta melalui dana kerajaan persekutuan.

“PPR Seduan sebanyak 500 unit telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) pada Februari lalu manakala PPR Batu Gong (500 unit) dan PPR Kemena (1,000 unit) dijadual siap pada suku pertama tahun depan,” katanya.

Tanah Tinggi Bario Bakal Jadi Tarikan Pelancongan!

Kawasan Bario mungkin akan menjadi sibuk apabila kaedah pelancongan tanah tinggi selesai dikaji oleh Kementerian Pelancongan dengan agensi kerajaan PEMANDU. 

PEMANDU yang tidak asing di Sarawak kerana di bawah Dato Seri Idris Jala yang kerap berulang-alik ke Bario untuk melawat kampung halaman beliau.  
 
Selepas ini, lebih ramai lagi yang akan menyertai beliau untuk menikmati keindahan Tanah Tinggi Bario.
Pembangunan pelancongan tanah tinggi dikaji

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Kementerian Pelancongan sedang merancang menjalankan kajian terhadap pembangunan pelancongan tanah tinggi bagi mencari kelebihan niche pelancongan Sarawak yang boleh ditawarkan kepada pelancong.

Menurut Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, ujian makmal itu bakal dilaksanakan bersama PEMANDU sebagai fasilitator serta agensi kerajaan yang menyertai termasuk sektor swasta dan komuniti tempatan.

Kawasan yang dikenal pasti terlibat adalah Meligan dan tanah tinggi Bario serta bakal memberi manfaat kepada komuniti Kelabit, Lun Bawang, Saban dan Penan di sini.

“Kedatangan pelancong bermula Januari hingga September tahun ini mencatat 2,944,821 orang.

“Penambahan ketara itu dilihat melalui kedatangan pengunjung dari Singapura, China, Australia dan England dengan peningkatan 8.1 peratus iaitu sebanyak 2,723,964 berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Kementerian Pelancongan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Tarikan sektor pelancongan Sarawak merupakan pelancongan kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi (CAN).

Dalam pada itu, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan Taman Negara, Pusat Hidupan Liar dan Tanah Rizab begitu popular di kalangan pelancong.

“Sehingga Jun lepas, Taman Negara kita mencatat pengunjung seramai 206,186 dengan 26 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada pelancong warga asing.

“Untuk Jun 2012, Pusat Hidupan Liar Semenggoh merekodkan pengunjung teramai iaitu 46,370 diikuti Taman Negara Bako 21,052 dan Taman Negara Niah 11,862,” tambahnya.

Program inap desa di kampung-kampung juga semakin mendapat tempat di kalangan rakyat tempatan.

Menurut Abang Johari, sejumlah 28 kampung dengan 418 operator di seluruh negeri telah didaftarkan di bawah program itu.

Bagaimanapun, bagi memastikan pengusaha inap desa mematuhi piawaian yang ditetapkan kementerian, sejumlah 13 inap desa telah diaudit dan selebihnya akan dijalankan pada tahun depan.

Sehingga September tahun ini, program inap desa menghasilkan keuntungan sebanyak RM1.1 juta dan telah menarik sejumlah 2,453 pengunjung warga asing dan 7,516 merupakan pengunjung domestik.

Sewa RM150 Sebulan Untuk Pangsapuri PPR!

Satu lagi konsep mengurus Program Perumahan Rakyat telah diperkenalkan oleh Kementerian Perumahan.  Bukan itu sahaja tetapi kadar sewa yang cukup berpatutan yang dikenakan sebanyak RM 150 sebulan.  

Agak berbaloi bagi yang baru berhijrah dari luar bandar ke bandar.  Tidak mustahil PPR ini akan membantu lebih ramai lagi golongan yang berhijrah dan sedang menyesuaikan diri di kawasan bandar.  Satu lagi projek kerajaan BN untuk manfaat rakyat bagi meringankan beban dalam menghadapi kemelesetan ekonomi global. 
Pengurus perumahan di pangsapuri sewa

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu
KAEDAH BAHARU: Abang Johari (tengah) menerangkan mengenai pelaksanaan kaedah menempatkan pengurus perumahan di pangsapuri awam kepada pemberita menerusi sidang media di bilik media, DUN di sini semalam. Turut kelihatan Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah (kanan) dan Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden (kiri).
KUCHING: Kementerian Perumahan akan menempatkan pengurus perumahan secara sepenuh masa di setiap kawasan pangsapuri disewa di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini untuk menguruskan pangsapuri-pangsapuri tersebut.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia merupakan kaedah baharu yang diperkenalkan untuk menambah baik pendekatan sedia ada dalam pengurusan dan penyelenggaraan pangsapuri awam Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) itu.

Jelas beliau, struktur baharu tersebut akan mengambil kira keperluan tenaga kerja teknikal dan pentadbiran serta penyelia blok yang mencukupi bagi memastikan proses pengurusan yang berkesan.

“Melalui kaedah pengurusan baharu ini, kita akan dapat memastikan kualiti penyelenggaraan dan tahap pengurusan pangsapuri awam dapat dipertingkatkan dengan lebih baik lagi,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, pengurus perumahan juga akan terdiri daripada individu yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan tentang pengurusan fasiliti iaitu kakitangan PPPS.

Tambah beliau, pelaksanaan kaedah tersebut juga tidak akan mempengaruhi kenaikan kadar sewa bulanan di mana ia akan kekal RM150 sebulan mengikut kadar sewa bulanan yang ditetapkan bagi Sarawak.

Sementara, bagi pembinaan projek pangsapuri baharu di bawah PPR pula, Abang Johari berkata kerajaan turut memperkenalkan konsep yang inovatif di mana pembinaannya akan melibatkan penyediaan kemudahan awam secara bersepadu seperti surau, tempat riadah, gelanggang permainan dan dewan serba guna.

Selain itu, katanya projek perumahan ini juga akan mengandungi kawasan lapang dan kawasan hijau (sekiranya tapak perumahan tersebut mempunyai keluasan yang cukup), penyediaan lot kedai serta kemudahan lif.

Pembinaan unit pangsapuri untuk sewaan di bawah PPR merupakan usaha kerajaan untuk menyediakan kediaman sementara kepada golongan yang memerlukan.

Memandangkan golongan memerlukan rumah semakin bertambah disebabkan trend penghijrahan dari luar bandar ke bandar yang meningkat, kerajaan telah memutuskan untuk tidak menjual pangsapuri sedia ada atau yang baharu buat masa ini.

Malah, kadar sewanya yang rendah juga akan membolehkan golongan tersebut tinggal dalam tempat kediaman yang selesa dan pada masa sama mereka akan dapat menyimpan wang untuk membeli rumah sendiri.

Biar Betul! Terbang Dari Kuching Ke Australia!

Penerbangan dari Kuching akan menjangkau ke benua Australia menjelang bulan April tahun depan.  Ini adalah hasil daripada perbincangan oleh Kementerian Pelancongan dan penjadualan Penerbangan dalam Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).  Kerajaan Sarawak tidak membeli apa-apa syer dalam MAS tetapi sekadar berbincang dan bertukar pendapat mengenai laluan penerbangan baru bagi membolehkan Sarawak dihubungkan dengan dunia luar melalui industri pelancongan.  

Bukan itu sahaja laluan dari Kuching-Mulu- Bandar Seri Begawan akan ditambah untuk menghubungkan sanak-saudara di Brunei dan Mulu.

Syabas di atas usaha Kementerian Pelancongan Negeri di bawah Abang Jo demi menghubungkan Sarawak dengan negara luar.
Laluan Kuching ke Singapura, Australia dilaksana April

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mengumumkan laluan antarabangsa pergi balik Kuching-Singapura dan Kuching-Australia akan diimplementasikan pada bulan April tahun depan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat ekoran penstrukturan semula Penerbangan Malaysia (MAS) dan anak syarikatnya, MASWings baru-baru ini, serta mengambil kira manfaat kepada sektor pelancongan Sarawak.

“Penstrukturan itu telah dibuat oleh kerajaan persekutuan dengan memberi kuasa kepada kerajaan negeri melalui rundingan bersama MAS dan MASWings bagi menentukan laluan penerbangan.

“Selepas ini, apa sahaja keputusan yang akan dibuat memerlukan konsultasi kerajaan negeri,” katanya ketika bercakap pada sidang media selepas penggulungan perbahasan bagi kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.

Abang Johari berkata, penstrukturan itu tidak melibatkan sebarang pembelian saham milik syarikat penerbangan kebangsaan terbabit.

Tambah beliau, MAS akan membeli 56 kapal terbang baharu dengan nilai lebih kurang RM8 bilion bagi tujuan penambahan laluan tersebut.

Pada masa yang sama, program pembangunan MASWings baru-baru ini turut membuka laluan baharu iaitu Kuching-Balik Papan dan Kuching-Mulu-Bandar Seri Begawan bermula tahun depan.

Menyentuh mengenai rancangan masa depan kementeriannya, Abang Johari berharap Sarawak akan dipilih sebagai tuan rumah bagi Kongres Antarabangsa dan Persatuan Konvesyen (ICCA) pada tahun 2016 yang akan diumumkan pada bulan Mei 2013.

Pada masa sama, Biro Konvesyen Sarawak (SCB) juga menetapkan sasaran untuk membuat lebih banyak tawaran Sarawak sebagai rakan kerjasama perdagangan dan perwakilan.

“Sebagai contoh dengan negara China untuk mengkapitalkan pembangunan acara perniagaan,” katanya.

Monday, September 24, 2012

Deklarasi Pakatan Haram Cuba Memperbodohkan Rakyat Sarawak Lagi!

Deklarasi merupakan usaha terbaru Pakatan Haram untuk memperbodohkan rakyat Sarawak lagi.  Namun, bukan semudah itu untuk memperbodohkan orang Sarawak dengan tawaran royalti minyak sebanyak 20%.  
 
Sebelum ini, Anwar Ibrahim yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan telah menolak segala usaha perbincangan oleh kerajaan Sarawak untuk menambahkan royalti minyak lebih daripada 5%.  Kenapa sekarang pula dia mengumpan rakyat Sarawak kononnya akan melepaskan 20% yang bersamaan dengan 4 billion untuk pembangunan Sarawak sedangkan Anwar Ibrahim sendiri tidak pernah menetap di Sarawak lebih daripada satu minggu!  
 
Bagaimanakah Anwar Ibrahim boleh menyelami perasaaan dan kehendak rakyat Sarawak yang berbilang kaum?  Adakah hanya mendengar omong kosong daripada Baru Bian yang pakar kaki lompat parti itu?  Khabarnya Baru Bian sudah mula dipengaruhi oleh kerajaan negeri Sarawak dan akan melompat lagi ke dalam parti yang baharu?  Inilah kelebihan Baru Bian!!!
Deklarasi Kuching omong kosong terbaru PR racuni minda rakyat

Utusan Borneo 24 September  2012, Isnin

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg menyifatkan Deklarasi Kuching sebagai omong kosong terbaharu Pakatan Rakyat (PR) untuk meracuni minda rakyat Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, sebelum ini ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kuasa autonomi diselaraskan antara rakyat Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia namun dalam deklarasi tersebut kononnya hendak memberi kuasa autonomi kepada rakyat kedua-dua negeri berjiran ini.

“Mereka pernah mempersoalkan mengenai autonomi namun sekarang hendak memperjuangkannya kembali, ia memang omong kosong daripada pihak pembangkang.

“Kita tidak bodoh, kerana kita sedar deklarasi adalah omong kosong,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka dan Ziarah Lebaran 2012 di Dewan Merpati Jepang malam kelmarin.

Pada 16 September lepas, Anwar memgumumkan satu deklarasi yang dinamakan Deklarasi Kuching pada sambutan Hari Malaysia di negeri ini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan berkata, rakyat negeri ini dapat menilai dan mempertimbangkan hak dalam aspek perlembagaan.

“Mereka hanya tahu cakap sahaja, justeru kita (rakyat Sarawak) perlu menolak pembangkang yang pada masa ini yang turut dipengaruhi kuasa asing,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa sekarang rakyat masih berdepan cabaran besar terutama untuk menghindarkan diri daripada pengaruh Internet yang memudahkan maklumat mudah diakses atau disampaikan.

“Perkara ini yang perlu kita waspada sekarang. Malah, ada di kalangan negara luar hendak mencampuri urusan negara kita.

“Orang asing menggunakan Internet untuk mempengaruhi kita supaya berpecah belah,” jelasnya.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Wahap Abang Julai serta Ketua Ranting PBB Kampung No. 4 Irwan Zulkarnain Hasbie.

Saturday, September 15, 2012

Sarawak Perlu Kerjasama Merentasi Sempadan Negara Untuk Menarik Pelancong:Taib

Sarawak perlu bekerjasama dengan pemain industri pelancongan yang sedia ada untuk mempromosikan Sarawak kepada dunia.  Bali merupakan salah sebuah lokasi antarabangsa yang terkenal di seluruh dunia dan mereka sering dikunjungi oleh pelancong dari Australia dan benua Eropah yang lain. 

Sarawak perlu mempromosikan industri dan khazanah budaya Sarawak di Bali untuk menarik pelancong ini agar datang ke Sarawak dalam perjalanan mereka menuju ke Bali.  

Sarawak juga akan memiliki hotel bertaraf 3 atau 4 bintang lagi menjelang 2015 dengan adanya Majestic Tower yang sepatutnya berdiri 10 tahun yang lalu.  Namun sehingga kini kerja pembinaan sudah diatur semula dan bakal siap menjelang akhir 2014.  
Manfaat rakan serantau 
by Jessica Jawing. 
Utusan Borneo 15 September 2012, Sabtu
TERTARIK: Taib berkata sesuatu mengenai replika bangunan yang dipamerkan sempena program Re-Imaging Of SEDC’s Tourism and Leisure, semalam. Turut kelihatan Talib (kanan) dan Jabu (tiga kanan). 
KUCHING: Pemain industri pelancongan Sarawak disaran bekerjasama dengan rakan mereka di rantau ini bagi menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini. Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, antaranya Bali, Indonesia dalam usaha mempromosikan Sarawak, Sabah dan Brunei kepada pelancong asing. 
“Anda (pemain industri) perlu memikirkan bagaimana untuk mengatasi kadar kedatangan pelancong dan menembusi pasaran lebih besar, ini bermakna anda perlu menguruskan semua perkhidmatan, kemudahan dan promosi melalui usaha dan kerjasama dengan pengusaha lain di rantau ini. 
“Misalnya Bali, kebanyakan pelancong yang datang adalah dari Australia dan kita sebenar-nya boleh bekerjasama dengan Bali untuk memastikan pelancong Australia memperluaskan kitaran pelancongan mereka termasuk Sarawak, Sabah dan Brunei,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Re-Imaging Of SEDC’s Tourism and Leisure yang dihadiri Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang juga Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip di sini, semalam. 
Hadir sama isteri Taib, Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri James Masing, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta menteri kabinet lain. 
Taib berkata, ia adalah antara strategi yang perlu dipelajari Sarawak dalam usaha membangunkan industri pelancongan, iaitu melalui kerjasama merentasi sempadan negara. Justeru, beliau menggesa SEDC yang merupakan perintis industri pelancongan agar menerajui usaha untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Sarawak. 
“Usaha gigih harus dibuat untuk memastikan agar kita mampu mempamerkan apa yang kita ada dengan cara yang berkesan. “Pengimejan semula bukan sahaja usaha untuk satu hotel sahaja, tetapi semua pengusaha hotel lain melalui kerjasama,” katanya. Sementara itu, ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Taib menyeru industri penerbangan termasuk tambang murah agar mencari jalan bagi meneruskan kelangsungan dalam menghadapi cabaran mereka, termasuk kenaikan harga bahan bakar. 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada penubuhan penerbangan tambang murah yang baharu, Malindo Airways akan membantu sektor pelancongan Sarawak. Sementara itu, Talib berkata, SEDC bakal mempunyai lebih 1,000 unit bilik penginapan di negeri ini di bawah kendalian SEDC sendiri menjelang tahun 2015. 
Menurut beliau, ini ekoran daripada beberapa projek hotel baharu yang kini dalam fasa pembinaan bagi melengkapi 785 buah bilik yang sedia ada. Salah satu daripada projek berkenaan ialah Hotel Majestic Tower, yang dibina bersebelahan Hotel Riverside Majestic sedia ada dan dijangka siap pada tahun 2014. 
“Hotel baharu ini memakan kos RM60 juta dan bertaraf empat bintang setinggi 18 tingkat de-ngan 263 jumlah bilik dan ia menawarkan harga berpatutan dengan keistimewaan iaitu menyediakan sembilan bilik keluarga. 
“Projek sudah mula dilaksanakan namun disebabkan tapak telah terbengkalai lebih 10 tahun, kita perlu melakukan kerja-kerja mengorek dan membuang air bertakung. Ini mengambil masa bagi memastikan tapak betul-betul stabil,” katanya. Talib berkata, selain itu SEDC juga merancang untuk membina sebuah lagi hotel baharu bertaraf empat bintang di Sibu di bawah kendalian mereka. 
“Hotel ini nanti mungkin menyediakan lebih 100 bilik, bagaimanapun kita perlu mengkaji pasarannya terlebih dahulu dan ia mungkin hotel bertaraf tiga empat bintang,” ujarnya.

Friday, September 14, 2012

Mutiara Beri Peluang Untuk Kakitangan Swasta Memiliki Rumah!

Syarikat pinjaman dan pajakan perumahan milik penuh Suruhanjaya Perumahan Sarawak (HDC) mungkin beroperasi pada awal tahun 2013.

Ia akan menyediakan kemudahan pinjaman alternatif bagi yang tidak layak untuk meminjam di institusi kewangan tetapi bekerja di swasta atau bekerja sendiri.

Perincian sedang dijalankan sebelum syarikat Mutiara ini mula beroperasi. 
Mutiara sasar operasi suku pertama 2013

by Patricia Gari. Utusan Borneo 14 September 2012, Jumaat
HDC masih teliti perincian syarikat pinjaman dan pajakan perumahan: Abang Johari
KUCHING: Syarikat pinjaman dan pajakan perumahan milik penuh Perbadanan Pembangunan Perumbahan (HDC), Mutiara Mortgage & Finance Sdn Bhd akan mula beroperasi selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, syarikat itu akan menyediakan pinjaman perumahan kepada pemohon yang tidak layak mendapatkan pinjaman institusi kewangan seperti bank khususnya mereka bekerja dengan syarikat swasta dan bekerja sendiri.

Ketika ini, katanya, HDC masih meneliti perincian syarikat berkenaan terutamanya melibatkan modal awam iaitu kadar faedah dikenakan kepada peminjam sebelum ia beroperasi sepenuhnya nanti.

“Kalau boleh kita mahu Mutiara Mortgage & Finance beroperasi 1 Januari tahun hadapan atau selewat-lewatnya suku pertama tahun hadapan. Syarikat ini adalah milik penuh HDC tetapi akan diuruskan secara berasingan.

“Kita ada sebuah unit yang menyediakan kemudahan pinjaman kepada pembeli rumah kos rendah di negeri ini tetapi tiada sistem untuk membolehkan peminjam membayar ansuran khususnya yang tertunggak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran perbadanan itu di Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.

Beliau menambah dengan penubuhan syarikat itu, HDC boleh memberi pinjaman dan meminta balik bayaran secara profesional seperti dilakukan oleh syarikat Borneo Mortgage, sekali gus mengatasi masalah tunggakan bayaran yang dialami perbadanan itu.

Disebabkan tiada sistem bayaran balik pinjaman yang profesional, katanya, setakat ini HDC terpaksa menanggung bayaran tertunggak sebanyak RM40 juta.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, pihaknya memerlukan modal permulaan antara RM5 dan RM10 juta.

“Kita berharap dengan tertubuhnya Mutiara Mortgage & Finance kita dapat membantu mereka yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dan pada masa sama, dapat mengumpul balik bayaran pinjaman.

“Tindakan mengikut prosedur seperti tertakluk dalam perjanjian antara peminjam dan syarikat akan dikenakan antaranya menarik balik rumah jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman mereka,” jelasnya.

Mengenai isu rumah terbengkalai, Abang Johari berkata kementerian akan mengkaji semula ordinan perumahan negeri dalam usaha mengatasi masalah projek terbengkalai yang berpunca daripada kontraktor.

Beliau berkata, kemungkinan besar juga kementerian perlu memperkenalkan enakmen baharu untuk memperketatkan lagi Ordinan Perumahan sedia ada.

“Terdapat beberapa projek perumahan kos rendah terbengkalai iaitu di Batu Gong Siburan, Surabaya dan di kawasan Limbang. Pelaksanaan projek ini agak lewat dan kita telah mengarahkan pegawai HDC membuat pemantauan lebih ketat kepada kontraktor terbabit,” ujarnya.

Beliau menambah setakat ini pihaknya telah menyenarai hitam tiga syarikat kontraktor kerana tidak mengikut spesifikasi dan pelan kejuruteraan yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menasihati kakitangan perbadanan mahupun kementerian agar sentiasa menjaga dokumen projek perumahan agar tidak sampai ke tangan pihak tertentu untuk dimanipulasikan.

Abang Johari berkata kes yang berlaku melibatkan projek perumahan di Muara Tebas seharusnya tidak berlaku kerana dokumen itu adalah dokumen rasmi kerajaan dan merupakan pelan awal belum muktamad yang boleh berubah.

“Kalau orang lihat dokumen itu dan ingat itu pelan akhir, ia boleh mendorong kepada kontroversi.

“Tidak tahu ia boleh sampai ke tangan pihak tertentu mungkin daripada konsultan, pekerja dalaman. Saya cuma mahu memberi peringatan. Jangan berbuat demikian kerana ia mungkin pelan awal yang bukan muktamad,” tegasnya.

Tuesday, September 11, 2012

2 Juta Pelancong Ke Sarawak?


Menurut Menteri Pelancongan dan Perumahan, Sarawak sudah menjadi tuan rumah kepada 2 juta pelancong! Data ini diperolehi dari bulan Januari hingga ke Jun tahun ini.

Daripada 2 juta tersebut, 700 ribu adalah pelancong domestik manakala 1.3 juta adalah pelancong berbangsa asing.

Untuk itu, kerajaan Sarawak memohon peruntukan sebanyak RM 38 juta daripada kerajaan pusat untuk membaik pulih prasarana dan kemudahan tempat tinggal yang mesra alam di setiap Taman Negara di Sarawak.

Semoga usaha untuk menjaga keharmonian Taman Negara dapat diwujudkan dengan adanya dana tambahan daripada kerajaan pusat kelak.

Tahniah kepada Lembaga Pengarah yang baru dilantik untuk memantapkan lagi industri pelancongan di Sarawak.

Taman negara akan dinaik taraf: Abg Johari
by Mahathir Haroun.
Utusan Borneo 11 September 2012, Selasa


MEMACU PELANCONGAN: Abang Johari (tujuh kanan) bersalaman dengan Talib selepas mengumumkan ahli lembaga STB yang baharu.

KUCHING: Semua taman negara yang terdapat di negeri ini akan dinaik taraf dengan menempatkan infrastruktur mesra alam sekitar selain diuruskan dengan baik untuk mengekalkan imej semula jadinya.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, untuk tujuan itu kerajaan persekutuan memperuntukkan RM38 juta bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf taman negara dilakukan.

Menurutnya, infrastruktur yang terdapat di kebanyakan taman negara masih kurang memuaskan sedangkan ia merupakan tumpuan pelancong domestik dan asing.

“Apa yang akan kita lakukan adalah mengekalkan imej taman negara dengan infrastruktur mesra alam sekitar.

“Kita akan menaik taraf semua taman negara dan menguruskannya dengan baik selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mengumumkan ahli baharu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan strategi pemasaran STB di sini, semalam.

Abang Johari menjelaskan, pengwujudan tempat penginapan selesa di taman negara juga sedang dirangka bagi membolehkan pelancong berada dalam keadaan lebih kondusif apabila berada di destinasi alam semula jadi tersebut.

“Kebanyakan maklum balas yang kita terima daripada pelawat menyatakan penginapan di taman negara tidak memuaskan.

“Apa yang perlu ialah mewujudkan tempat penginapan dengan rekaan mesra alam,” ujarnya.

Mengulas mengenai potensi daerah Bau, beliau berkata, batu kapur semula jadi yang banyak terdapat di pekan itu boleh dijadikan sebagai produk pelancongan dan tarikan terbaru pelancong yang berkunjung ke negeri ini.

“Bau boleh ditransformasi sebagai lokasi pelancongan terbaik kerana kaya dengan khazanah batu kapur yang boleh dijadikan sebagai produk pelancongan,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata, kelebihan khazanah alam semula jadi yang terdapat di negeri ini telah menjadikan Sarawak tumpuan pelancong.

Katanya, ia terbukti dengan peningkatan kehadiran pelancong dari Januari hingga Jun tahun ini dengan jumlah dua juta.

“Kehadiran pelancong ke negeri ini meningkat 10 peratus untuk pelancong asing dengan 1.3 juta orang dan kira-kira 700,000 pelancong domestik,” kata Abang Johari.

Dalam pada itu, Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dilantik sebagai pengerusi STB yang baharu manakala Setiausaha Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik menjadi timbalan pengerusi.

Ahli lembaga yang lain termasuk Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MASwings Sdn Bhd, Presiden Persekutuan Pelancongan Sarawak, Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan (MATTA), Pengerusi Pesatuan Hotel Malaysia (Cabang Sarawak) Datuk Raziah Mahmud-Geneid, Jason Tai Hee dari Wilayah Tengah dan Troy Yaw Chee Weng mewakili Wilayah Selatan.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Monday, September 10, 2012

Keahlian SABERKAS Dipertingkatkan di Pantai Damai


Gerakan untuk menarik lebih ramai belia di Pantai Damai hendaklah dicontohi. Ini kerana SABERKAS merupakan pentas yang sihat dan sesuai untuk golongan belia mencari identiti di samping memberi semula kepada masyarakat melalui kegiatan amal dan aktiviti beriadah yang sihat!

Remaja yang tidak berpersatuan mudah terpengaruh dengan anasir jahat dan bakal terjerumus ke lembah yang hina.

Semoga lebih banyak lagi cawangan SABERKAS yang turun padang untuk menarik minat golongan belia dan remaja untuk menyertai SABERKAS.

Keahlian dan unit SABERKAS akan dipertingkat
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 10 September 2012 Isnin


SIMBOLIK: Dr Abdul Rahman bersama tetamu-tetamu lain memotong pulut kuning pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri SABERKAS Cawangan Pantai Damai.

KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Pantai Damai menyasarkan untuk menubuhkan keseluruhan 35 unit SABERKAS di kawasan perkampungan dan taman perumahan di bawahnya sehingga penghujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setakat ini terdapat 22 unit ditubuh dan ahli persatuan peringkat cawangan sedang berusaha untuk meningkatkan keahlian dan penubuhan unit baharu.

“Pada masa ini setiap unit mempunyai 200 ahli dan kami akan berusaha dalam masa terdekat, bilangan unit baharu SABERKAS dipertingkatkan untuk membolehkan pertubuhan terus relevan di kalangan belia,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri SABERKAS Cawangan Pantai Damai di sini, semalam.

Menurutnya, usaha menambah bilangan keahlian dan unit baharu bukan hanya dilakukan di kawasannya malah turut merangkumi kawasan lain kerana kepimpinan persatuan berhasrat untuk melihat lebih ramai generasi muda terlibat dengan aktiviti berpersatuan.

“Presiden SABERKAS (Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg) mahu melihat belia di negeri ini terlibat dengan persatuan agar mereka mendapat manfaat sewajarnya selain tidak terabai,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman yang juga setiausaha penganjur SABERKAS menjelaskan, SABERKAS pada masa ini mempunyai 129,000 ahli di seluruh negeri.

Mengulas mengenai keengganan golongan belia menyertai persatuan, beliau berkata keadaan itu banyak didorong peredaran zaman kerana mereka lebih berminat bergaul menerusi laman sosial.

“Bagi mereka (belia) tanpa persatuan mereka masih boleh berkumpul bersama kawan-kawan. Sepatutnya mereka sedar tentang kepentingan berpersatuan.

“Banyak faedah dan manfaat akan mereka perolehi jika menyertai persatuan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, golongan terbabit sepatutnya diajak lebih awal untuk menyertai persatuan bagi mengelak mereka terdedah dengan gejala tidak sihat.

“Saya berharap generasi muda hari ini dapat terlibat secara aktif dengan persatuan berdaftar kerana banyak aktiviti diadakan,” kata Dr Abdul Rahman.

Belia Harus Ceburi Larian Lasak Dan Sukan Ekstrem!


Belia sekarang harus dilatih untuk menceburi larian lasak dan sukan ekstrem! Ini dapat membina kecekalan hati dan semangat mereka untuk terus ke hadapan.

Sukan sedemikian dapat mengikis gejala negatif dan hidup dalam ketakutan. Tidak hairan remaja sekarang lebih ramai yang pemalu dan tidak berani merebut peluang!

Semoga dengan adanya lebih banyak penganjur larian lasak dan sukan ekstrem maka remaja dan belia lebih cekal dan berani dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang penuh cabaran ini.


SABERKAS galak belia sertai sukan

Utusan Borneo 10 September 2012, Isnin



SEDIA, MULA: Tai melakukan simbolik pelepasan peserta Larian Tahunan Ketiga SABERKAS Unit Borneo Eco Trek.

SIBU: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) sentiasa menggalak dan menyokong golongan belia menyertai acara sukan untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Presiden SABERKAS Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, penyertaan belia penting untuk sentiasa mengekalkan tahap kecergasan yang lebih baik dalam menjalani kehidupan harian.

“Mengamalkan gaya hidup sihat menerusi penglibatan dalam aktiviti riadah dapat membantu mengekalkan tahap kecergasan yang lebih baik dan mencegah penyakit.

“Selain itu, kita turut dapat mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira latar belakang, bangsa dan agama,” jelasnya.

Abang Johari berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca oleh Naib Presiden SABERKAS Jason Tai ketika menyempurnakan Upacara Pelepasan Peserta Larian Tahunan Ketiga SABERKAS Unit Borneo Eco Trek di YMCA, kelmarin.

Katanya SABERKAS adalah pertubuhan terbesar yang telah memberikan inspirasi kepada golongan belia dalam pelbagai aspek tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

“Saya berharap lebih banyak penganjuran aktiviti seperti larian lasak dan sukan ekstrem akan melibatkan lebih ramai golongan belia dalam usaha menyokong usaha mengamalkan gaya hidup sihat,” ujarnya yang juga Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan.

Friday, August 31, 2012

Perundangan Terbaharu Berkaitan Hal Perumahan Sarawak Diwujudkan!

Jangan sekali-kali kita menyalahkan kekurangan dana daripada kerajaan pusat sekiranya sesebuah projek perumahan itu mengalami masalah baik lambat mengikut jadual atau kekurangan bahan mentah untuk membangunkan perumahan.

Setelah dikaji oleh Kementerian Perumahan didapati kebanyakan masalah berpunca daripada kontraktor.  Apa yang menyedihkan pula mereka ini adalah kontraktor bumiputera!  Adakah kontraktor bumiputera kurang berpengalaman atau sengaja melewatkan projek demi mengejar kepentingan peribadi termasuk memiliki kehendak?

Diharap kontraktor bumiputera yang lewat ini akan disenarai hitam agar tidak memburukkan kontraktor bumiputera lain yang lebih layak!  Semoga pemberian kontrak akan dikaji dengan lebih teliti di masa akan datang!
Ordinan Perumahan baharu ambil kira kepentingan semua pihak

Utusan Borneo 30 Ogos 2012, Khamis

KUCHING: Sarawak bakal memperkenalkan Ordinan Perumahan baharu yang akan mengambil kira kepentingan semua pihak termasuk pembeli dan pemaju perumahan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ordinan yang akan mengambil kira semua hal perundangan dan ordinan perumahan itu kini dalam peringkat akhir perbincangan yang diketuai oleh Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah.

“Kita akan perkenalkan Ordinan Perumahan terbaharu yang akan mentadbir hal berkaitan pembangunan perumahan.

“Melalui Ordinan ini, ia akan mengambil kira keseluruhan undang-undang dan ordinan perumahan, maknanya kita perkenalkan perundangan terbaharu dalam hal berkaitan perumahan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Iraq ke Malaysia Dr Amal Mussa Hussain di pejabat beliau di Wisma Perumahan di sini, semalam.

Abang Johari memberitahu, ordinan baharu itu juga akan merangkumi usaha memantau Permit Kependudukan (OP) dan projek perumahan terbengkalai di negeri ini selain melihat kepentingan semua pihak.

Sementara itu beliau menafikan bahawa kekurangan dana daripada kerajaan persekutuan menjadi punca projek perumahan tidak dapat disiapkan mengikut jadual yang sepatutnya.

“Kita mendapat yang sepatutnya dan kita ada peruntukan kerajaan khasnya Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan juga rumah kos rendah cuma sekarang persoalannya adalah kontraktor kita sendiri yang lambat.

“Kadangkala kontraktor kita mengalami masalah dalaman dan paling menyedihkan lagi ia adalah syarikat kontraktor Bumiputera, kita cuma menawarkan bantuan sahaja kepada mereka yang menghadapi masalah ini,” tegas beliau.

Kini katanya antara projek yang bakal disiapkan termasuk flat di Kidurong Bintulu dan Batu Gong di Siburan selain dua lagi projek akan dilaksanakan pada tahun depan.

Beliau mendedahkan salah satu daripada projek yang akan dilaksanakan adalah di kawasan Semop, yang kini dalam perancangan dan dijangka menelan kos RM15 juta.

Sunday, August 26, 2012

Industri Pelancongan Sarawak Makin Diperkasa!!!


Industri pelancongan Sarawak akan membawa lebih banyak pelancong ke negeri ini dalam tempoh 5 tahun lagi. Ini dengan adanya pelan pembangunan untuk memperkasakan industri pelancongan Sarawak dalam semua sektor yang telah dikenalpasti.

Antara indsutri yang mampu berkembang dengan pesat adalah industri inap desa yang bakal menjadi industri utama di sekitar Santubong, Telaga Air, Lundu dan Sematan.

Lokasi-lokasi ini telah dikenalpasti sebagai destinasi utama bagi pelancong dari luar negara berkunjung untuk berehat sambil menghirup udara segar!

Semoga lebih banyak lagi aktiviti pelancongan dapat dipelbagailan untuk meningkatkan bilangan pelancong ke Sarawak ini.
Lokasi semula jadi terbaik
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 27 Ogos 2012, Isnin


PAKEJ PELANCONGAN: Abang Johari merenjis air mawar kepada pasangan pengantin yang melangsungkan perkahwinan di Santubong Homestay.

KUCHING: Tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan Sarawak memiliki kawasan pelancongan semula jadi terbaik dengan infrastruktur lengkap dan model yang melibatkan Lundu, Sematan, Telaga Air dan Santubong.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kementeriannya bersama Unit Perancang Negeri dan Kementerian Pelancongan Malaysia pada masa ini sedang mengkaji pembangunan infrastruktur di kawasan dikenal pasti itu.

“Maknanya dalam masa lima tahun akan datang, kita akan mempunyai satu kawasan yang boleh kita bangunkan untuk menarik pelancong yang suka dengan alam semula jadi,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri 2012 Santubong Homestay di sini, semalam.

Menurutnya, usaha menaik taraf kemudahan itu adalah usaha kerajaan untuk menarik lebih ramai pelawat berkunjung ke negeri ini sekali gus memperkasakan industri pelancongan.

“Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus kepada industri perkhidmatan yang berteraskan pelancongan,” ujarnya.Pada masa sama, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan yakin pelancongan di negeri ini mampu berkembang lebih pesat berikutan perancangan berterusan kerajaan memantapkan industri tersebut.

“Saya rasa masa depan kita lebih cerah namun kita perlu memberi perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada kumpulan sasar,” jelasnya.

Beliau menambah, industri inap desa yang semakin berkembang di negeri ini juga memainkan peranan penting dalam usaha mengetengahkan budaya tempatan kepada pelancong asing.

“Ini kerana pengusaha inap desa selalunya akan mewujudkan produk kreatif termasuk menampilkan persembahan kebudayaan dan menyediakan makanan pilihan rakyat tempatan,” kata Abang Johari.

Mengulas mengenai prestasi industri inap desa di negeri ini, beliau berkata pada tahun lepas pengusaha inap desa negeri ini secara keseluruhannya mampu meraih pendapatan RM1 juta.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan Malaysia telah memberi peruntukan sebanyak RM5.6 juta untuk menaik taraf kemudahan inap desa,” tambahnya.

Saturday, August 11, 2012

Abang Jo Yakin Fadillah Mampu Menang Besar di Petra Jaya!!

Abang Johari telah memberi jaminan bahawa Fadillah mampu pertahan Petra Jaya pada PRU13 kelak! Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan di Masjid Darul Hannah di Jalan Patinggan. 

Fadillah mampu mendapat majoriti besar berdasarkan sokongan padu yang sedia ada. 
Fadillah mampu pertahan Petra Jaya

by Wan Ali Amit. Utusan Borneo 12 Ogos 2012, Ahad

Mampu menang dengan majoriti besar berdasarkan sokongan padu rakyat

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yakin Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof mampu mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti.

Beliau berkata Fadillah mampu memenangi kerusi Petra Jaya dengan majoriti besar berdasarkan sokongan padu rakyat di kawasan terbabit.

“Kita yakin Fadillah mampu menang besar dalam PRU13 akan datang,” katanya ketika berucap pada Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri di Masjid Darul Hannah, Kampung Patingan, di sini semalam.

Majlis itu dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda dan Wanita PBB Satok dengan kerjasama Yayasan 1MDB.

Seramai 220 orang penerima daripada 12 kampung sekitar bandar raya ini menerima sumbangan berupa wang tunai, kuih-muih dan beras (sumbangan BERNAS).

Abang Johari berkata tiga elemen penting iaitu aman, perpaduan kukuh dan kerajaan yang bertanggungjawab merupakan simbol kejayaan rakyat negara ini.

Katanya dalam suasana negara yang aman kita dapat melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk kesejahteraan dan perpaduan rakyat.

“Dengan perpaduan kukuh rakyat segala program pembangunan yang kita rancang mampu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Justeru, kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin sudah pastinya dapat memelihara kebajikan dan membantu rakyat,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof, Ketua wanita PBB Satok Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg, Ketua Pemuda Satok Irwan Zulkarnaen Hasbi dan Pengerusi Lembaga Amanah Khairat Kampung Patingan Datuk Seri Safri Awang Zaidel.

Abang Johari menarik perhatian bahawa program itu merupakan acara tahunan bagi membantu mereka yang kurang berupaya untuk sama-sama meraikan Hari Raya.

Beliau berharap dengan sumbangan itu dapatlah meringankan beban mereka dan keluarga untuk bersama-sama masyarakat Islam lain bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kita percaya kerjasama dan semangat perpaduan seperti itu dapat diperkukuhkan bagi menjamin kejayaan program pembangunan,” katanya.

Wednesday, August 8, 2012

Lagi Bubur Lambuk Diagih di Parlimen Petra Jaya!

Menjelang bulan Ramadan ini semakin banyak pula persatuan kebajikan turun padang untuk meringankan beban di bulan Ramadan.  Ini tidak kurang dengan penglibatan Persatuan Kebajikan Petra Jaya.  Sebanyak 700 lagi bubur lambuk diagihkan semamsa Program Bubur Lambuk PKPJ yang dihadiri oleh ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof bersama Pengerusi PKPJ Datin Amar Juma'ani dan Datuk Bujang Ulis.  

Program ini juga akan diteruskan kesemua kawasan DUN di sekitar Parlimen Petra Jaya.  Semoga usaha mereka ini mendapat berkat dan rahmat. 
Bubur lambuk terus diagih

by Wan Ali Amit. Utusan Borneo 7 Ogos 2012,Selasa

BUBUR LAMBUK: Juma’ani (tengah) menyampaikan bubur lambuk kepada penduduk sambil diperhatikan oleh Fadillah (kiri) dan Zamahari (kanan) di Samariang, Petra Jaya, Kuching kelmarin.

KUCHING: Sebanyak 700 bungkusan bubur lambuk telah diagihkan sepanjang Program Bubur Lambuk Persatuan Kebajikan Petra Jaya (PKPJ) yang bermula Sabtu lalu.

Sementara kelmarin (Ahad), pengagihan bubur lambuk PKPJ itu telah diadakan di Kampung Samariang Jaya, Fasa II dan disampaikan oleh Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Fadillah Yusof bersama Pengerusi PKPJ Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Residen Kuching Zamahari Saidi, Pengerusi Surau Darul Amin Datuk Bujang Ulis dan AJK persatuan terbabit.

Jurucakap penganjur, Mohamad Abdullah Zaidel berkata pada tahun ini PKPJ telah mengambil ketetapan untuk melaksanakan program terbabit sebanyak empat kali iaitu pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok dan diikuti DUN Samariang, DUN Tupong, DUN Pantai Damai dan DUN Demak Laut.

“Sebanyak tiga periuk besar telah disediakan untuk diagihkan kepada penduduk kawasan terbabit bermula jam 4.30 petang,” katanya.

Beliau berkata, program itu merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan PKPJ di samping aktiviti kebajikan lain.

“Semoga dengan adanya program amal seperti ini dapat meningkatkan pahala dan keberkatan pada bulan puasa yang mulia ini,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa PKPJ adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi menjalankan aktiviti kebajikan untuk penduduk kawasan Parlimen Petra Jaya dan Santubong.

Di samping kerja-kerja amal, PKPJ turut mengadakan aktiviti lain seperti pemeriksaan kesihatan, sumbangan kerusi roda kepada yang memerlukan, bantuan kepada mangsa kebakaran dan lawatan rumah ke rumah melawat pesakit yang daif.

Begitu pun tambahnya, kejayaan penganjuran setiap aktiviti-aktiviti itu hanya dapat direalisasikan dengan adanya kerjasama, penglibatan dan keprihatinan individu yang telah memberi keceriaan kepada semua demi memastikan kesinambungan PKPJ.

“Justeru, segala usaha yang telah kita sama-sama gemblengkan mudah-mudahan diberkati seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” katanya.

Friday, August 3, 2012

Kelantan Bakal Dapat Royalti Minyak Tunai!!

Najib dikhabar telah menjemput MB Kelantan untuk membincangkan isu royalti minyak buat Kelantan.  Malah Nik Aziz turut gembira kerana bayaran akan dibuat dalam bentuk tunai.  Ikutilah kupasan oleh bujangsenangbn.
NAJIB SETUJU BINCANG ISU ROYALTI

Oleh bujangsenangbn 4 Ogos 2012

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat awal pagi ini memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar surat kepada beliau memintanya menghantar wakil untuk membincangkan pembayaran royalti minyak untuk Kelantan. Menurut beliau, surat itu dihantar kepada beliau semalam. Perkara ini dimaklumkan oleh Nik Aziz kepadaHarakahdaily sebaik sahaja selesai solat Subuh di masjid berhampiran rumahnya di Pulau Melaka, Kota Bharu pagi ini.

Beliau turut memaklumkan berita ini dalam tazkirah Subuh yang disampaikan beliau sebaik sahaja selesai solat Subuh di Masjid Pulau Melaka, bersebelahan rumahnya pagi ini. “Surat ini diterima oleh Setiausaha Sulit saya, Encik Rosdi (Mohamad). Tetapi kerana hari cuti, dia baru bagi kepada saya,” kata Nik Aziz. Sebelum menghantar wakil Kelantan untuk berunding, Nik Aziz berkata, beliau akan menghadap Sultan Kelantan untuk membincangkan perkara tersebut.
Yang menariknya, istilah yang digunakan dalam surat ini adalah pembayaran ‘bayaran tunai’. Nik Aziz menyambut baik keputusan kerajaan ini dan menyifatkannya sebagai keberkatan bulan Ramadan. “Semoga ALLAH membuka pintu hati kerajaan Pusat selepas jawatankuasa ini bersidang,” katanya.

Rancangan Transformasi Pelancongan Sekitar Kuching

Peniaga dan usahawan diseru untuk menerima program transformasi pembangunan dan juga pelancongan di sekitar Kuching.  Mereka turut dipelawa untuk bersama-sama menjayakan program transformasi ini.  

Program transformasi ini adalah untuk kebaikan bersama demi mengindahkan dan membawa lebih banyak pelancong ke Kuching.   Menteri Pelancongan memberi amanat demikian ketika merasmikan Program Kerjasama Bistari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter.

Terima program transformasi
by Jessica Jawing. Utusan Borneo 4 Ogos 2012, Sabtu

Masyarakat peniaga harus terbabit dalam pembangunan kerajaan, kata Abang Johari

KUCHING: Masyarakat peniaga tidak harus menolak transformasi pembangunan termasuk pelancongan yang akan dilaksanakan kerajaan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan mempunyai rancangan pembangunan yang pasti akan membuahkan hasil kepada peniaga dan rakyat keseluruhannya.

Merujuk kepada Lebuh Carpenter di sini, Abang Johari berkata transformasi pembangunan kerajaan di kawasan terbabit nanti hanya akan menguntungkan peniaga dan penyewa di situ.

“Bagi kerajaan, kami perlu melihat rancangan jangka panjang iaitu kepentingan jangka panjang bandar raya Kuching, kepentingan ekonomi dan juga kepentingan penyewa serta pemilik bangunan.

“Kita berharap masyarakat Kuching memikir sedalamnya rancangan transformasi Kuching yang kita mahu laksanakan kerana ia pasti akan memuaskan hati semua nanti,” katanya berucap pada Program Kerjasama Bestari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter di sini, semalam.

Beliau tidak menafikan, di Kuching turut berlaku keraguan dalam kalangan penduduk terutamanya mereka yang memiliki hartanah.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, aktiviti perniagaan atau kepesatan ekonomi pasti memberi kesan kepada harga hartanah.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, kita percaya terdapat segelintir penyewa bangunan tidak akan gembira mengenainya kerana kenaikan sewa.

“Namun, ini mungkin dapat diselesaikan jika kawasan ini (Lebuh Carpenter) menjadi kawasan yang lebih bertenaga, maka penyewa atau peniaga perlu lebih kreatif untuk meningkatkan nilai perniagaan mereka,” ujar beliau.

Justeru, katanya, penyewa-penyewa perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan pelan jangka panjang kerajaan mampu membawa manfaat kepada semua.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Abang Johari berkata, kerajaan menggariskan beberapa pelaksanaan transformasi pelancongan sekitar Kuching.

Ini, katanya, termasuk kemungkinan memulakan perkhidmatan kereta kabel yang kini dalam kajian yang menghubungkan kawasan pantai di Santubong dan Pasir Pandak seperti mana pengumuman Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini.

“Selain itu, kerajaan negeri kini sedang dalam usaha membina jambatan untuk pejalan kaki dan basikal merentasi Sungai Sarawak.

“Kita menjangkakan jambatan mungkin dapat disiapkan pada tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dr Saadiah Abdul Samat dalam ucapannya berkata, Program Kerjasama Bestari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter merupakan usaha DBKU dengan Kementerian Pelancongan, Hotel 360 dan Plaza Merdeka untuk menghidupkan khazanah bersejarah.

“Program ini telah bermula sejak Jun lalu dan kerja-kerja menyelenggara bermula pada Ogos termasuk kerja pembersihan, mengecat, penyelenggaraan landskap dan penyelenggaran lampu secara berkala,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Plaza Merdeka Steve Ng dan Pengerusi India Street Pedestrian Mall Datuk Wee Hong Seng.

Saturday, July 28, 2012

Sarawak Tarikan Utama Pelancong Domestik Tahun 2012!


Sarawak menjadi negeri yang paling banyak dikunjungi oleh pelancong domestik pada tahun ini. Beliau berkata demikian sempena pelancaran Sambutan Ulang Tahun Pertama Borneo Tourism Alliance.

Bersyukurlah dengan adanya pelbagai khazanah serta budaya yang unik dan menarik di Sarawak, membuatkan ia menjadi tarikan kepada pengunjung dari negeri jiran.

Selain itu usaha menggalak pelancong datang juga giat dijalankan dan Menteri Pelancongan juga mengsyorkan pihak swasta untuk menganjurkan lebih banyak aktiviti seperti seminar, forum atau expo agar lebih ramai lagi pengunjung yang akan hadir untuk menambah ilmu sambil beramah mesra dengan orang Sarawak.

Pelancong domestik teramai ke Sarawak
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 28 Julai 2012, Sabtu


LANCAR: Abang Johari menekan tab sebagai simbolik e-pelancaran Sambutan Ulang Tahun Pertama BTA semalam.

KUCHING: Sarawak mencatat bilangan kehadiran pelancong domestik tertinggi berbanding negeri-negeri lain di seluruh negara pada tahun ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, dari tahun ke tahun bilangan pelancong dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke negeri ini semakin meningkat.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai statistik kehadiran pelancong ke Sarawak.

“Kita mendahului negeri lain dari segi kehadiran pelancong domestik.

“Orang Semenanjung dan Sabah, ramai yang datang ke negeri ini sama ada untuk melancong atau atas urusan lain,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Borneo Tourism Alliance (BTA) di sini, semalam.

Hadir sama Setiausaha Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Presiden BTA Kho Sze Min, Naib Presiden BTA Jamilah Shukri dan Miss Malaysia World 2011 Chloe Chen.

Abang Johari berkata, bilangan kehadiran pelancong domestik dijangka akan terus meningkat.

Dalam pada itu, beliau yakin sasaran empat juta kehadiran pelancong asing dan domestik ke negeri ini mampu dicapai sehingga penghujung tahun.

“Bilangan ini (empat juta) memang dapat dicapai. Kalau tidak disebabkan masalah logistik yang berlaku sekarang, mungkin lebih ramai pelancong akan datang,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, berdasarkan trend semasa pada sekarang, lebih ramai pelancong dijangka akan terus hadir ke negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari mengajak sektor swasta di negeri ini untuk memacu industri pelancongan dengan memperbanyakkan program dalam usaha menarik minat pelancong.

“Kalau boleh sektor swasta buat acara tahunan dan mempromosikannya lebih awal agar pelancong asing dapat turut serta,” jelasnya.

- Posted using BlogPress from my New iPad

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites