Nuffnang

Sunday, January 15, 2012

Perbadanan Modal Bumiputera Satok ditubuh untuk bantu rakyat

Posted on January 16, 2012, Monday

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Satok menubuhkan dana pelaburan Perbadanan Modal Bumiputera Satok (PMBS) untuk membantu rakyat meningkatkan taraf ekonominya.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, buat permulaan PMBS disuntik dana berjumlah RM1 juta untuk pelaksanaan pelaburannya.

“Saya dan Datuk Fadillah Yusof (Ahli Parlimen Petra Jaya) menyediakan dana masing-masing setengah juta dan selebihnya dibantu institusi lain dan kerajaan pusat.

“Pelaburan dana terbabit melibatkan pelbagai perniagaan terutama pembangunan hartanah,” katanya pada sidang media di Pejabat PBB Cawangan Satok, di sini semalam.

Terdahulu, Abang Johari mempengerusikan mesyuarat exco PBB Satok bagi membincangkan pelbagai pelan pembangunan peningkatan ekonomi bagi rakyat kawasan terbabit.

Abang Johari menarik perhatian penubuhan PMBS merupakan idea bernas beliau untuk memacukan rakyat di kawasan Satok setelah melihat kejayaan yang dikecapi oleh negara jiran.

“Saya tidak mahu beritahu nama negara jiran yang berjaya menggunakan pelan pembangunan ini. Namun, saya percaya apabila kita laksanakan PMBS nanti ia mampu meningkatkan taraf ekonomi rakyat kawasan Satok,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, antara perancangan pelaburan yang menguntungkan dicadang ialah pembangunan hartanah.

Menurutnya, Satok merupakan kawasan segi tiga emas yang pesat membangun dengan pelaburan tinggi dalam sektor perniagaan, pelancongan dan pelaburan.

“Saya percaya penubuhan PMBS menjadi instrumen pelaburan penting buat rakyat kawasan ini sebagai modal dalam pelaburan perniagaan,” katanya.

Abang Johari berkata, sebelum PMBS dilaksanakan PBB Satok akan mengadakan seminar mengenai pelaburan kewangan dalam masa terdekat ini dengan kerjasama Sime Darby dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

Menurutnya, seminar itu adalah bagi memberi peluang kepada pengusaha-pengusaha tempatan dan syarikat-syarikat tempatan menimba pengalaman dalam bidang pelaburan.

“Saya yakin dengan memiliki pengalaman yang baik dalam dunia pelaburan, maka usahawan tempatan kita dapat melaksanakan dengan berkesan dana terbabit,” katanya.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap peniaga-peniaga kecil, industri sederhana dan usahawan tempatan dapat menggunakan sebaik-baiknya landasan yang telah disediakan.

“Saya percaya dengan tertubuhnya PMBS, ia akan mampu melahirkan ramai usahawan berjaya di samping meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites