Nuffnang

Wednesday, July 20, 2011

Arkib Muzium Sarawak Perlu Infrastruktur Baru!!

Kualiti infrastruktur perlu ditingkat kerana ia jabatan yang kumpul khazanah penting: Abang Jo

by Patricia Gari. theborneopost.com Posted on July 20, 2011, Wednesday


KUCHING: Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg mahu Jabatan Muzium Sarawak menaik taraf infrastruktur bahagian arkibnya sejajar untuk menjadikannya rujukan penting sumber sejarah negeri ini.

“Saya amat berharap Jabatan Muzium akan menaik taraf kualiti infrastruktur di bahagian arkib memandangkan ia jabatan paling penting mengumpul banyak khazanah yang boleh dikaji oleh ahli akademik serta penyelidik,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis perasmian ‘Pameran Sarawak Dalam Muzium’, di sini semalam.

Beliau berkata, sumber-sumber sejarah yang ditempatkan di bahagian arkib merupakan panduan serta garis panduan dalam merangka pelan pembangunan selain penentu hala tuju baru pembangunan Sarawak.

Sejarah dan pembangunan, katanya tidak boleh dipisahkan kerana hanya pembangunan yang berpaksikan sejarah akan berjaya.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar berkata, Sarawak telah melalui banyak siri era pemerintahan atau pentadbiran bermula dari Kesultanan Brunei kemudiannya British sebelum menyertai Malaysia (1963) membuktikan negeri ini mengamalkan sistem demokrasi paling lama serta penting dalam sejarah negara.

“Bangunan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah DUN yang paling lama di Malaysia, maknanya demokrasi sudah cukup matang. Sebab itu pelbagai kaum hidup bersatu padu sehingga menyuntik idea kepada Perdana Menteri mewujudkan gagasan 1Malaysia.

“Mari kita bersama-sama mempertahankan keharmonian yang kita kecapi selama ini untuk terus memajukan masyarakat dan negara,” katanya.

Mengenai pameran itu, Abang Johari berkata, ia sangat berkepatan dengan tujuan memberi banyak maklumat tentang peristiwa yang pernah berlaku di Sarawak pada masa dahulu sehingga Sarawak menjadi antara negeri maju dalam Malaysia.

Menerusi pameran itu katanya setiap sejarah negeri Sarawak dapat dihuraikan seterusnya diketengah untuk diketahui generasi baru masa ini.

“Pada pandangan saya sejarah memainkan fungsi yang penting dalam kehidupan manusia. Ini kerana sejarah boleh bertindak sebagai pemandu kepada manusia ke arah yang hendak dilakukan seterusnya.

“Kita tidak boleh mengabaikan sejarah. Begitu juga dengan kerajaan kerana segala pembangunan yang dirancang serta dilaksanakan dibuat secara teliti dengan mengambil kira beberapa pendekatan termasuklah mengkaji serta meneliti dari aspek sejarah pembangunan telah dilaksanakan pada masa lalu,” katanya.

Melalui pameran seperti itu juga katanya, generasi muda dapat melihat dan mengenang kembali sejarah perjuangan wira-wira Sarawak pada masa dahulu membebaskan Sarawak daripada belenggu penjajah sebelum mencapai kemerdekaan.

“Satu pengajaran atau hakikat yang harus kita ambil sebagai teladan adalah kejayaan membebaskan Sarawak ketika itu adalah berlandaskan wujudnya persefahaman kental dalam kalangan rakyat ketika itu,” tambahnya.

Hadir sama pada majlis itu Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Warisan Ik Pahon Joyik dan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak, Ipoi Datan.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites