KUCHING 4 Mei - Pengusaha produk kecantikan tempatan disaran bekerjasama dengan pakar bioteknologi luar negara bagi meningkatkan mutu serta kualiti barangan mereka agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Menteri Pelancongan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu adalah perlu kerana Malaysia kaya dengan sumber flora yang unik dan cukup berkhasiat untuk tujuan kesihatan tubuh badan serta kecantikan.
"Walaupun teknologi negara kita tidak setanding negara luar, namun kita mempunyai kelebihan sumber alam yang sangat berguna untuk menghasilkan produk yang berkualiti tinggi.
"Sehubungan itu, kita boleh menjalin kerjasama dengan pakar dari luar bagi meningkatkan mutu produk dan tidak mustahil produk tempatan boleh berada sebaris dengan produk terkenal lain," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Beliau sebelum itu melancarkan produk terbaru keluaran syarikat tempatan, Borneo To The World Sdn. Bhd. (BTTW) yang memperkenalkan sabun mandian yang diperbuat daripada bahan semulajadi.
Sabun mandi tersebut, Borneo To The World merupakan satu produk syarikat berkenaan yang bakal menembusi pasaran tempatan dan luar negara pada Jun ini.
Abang Johari berkata, langkah menjalin kerjasama itu juga memainkan peranan penting dalam mengubah minda masyarakat yang sebelum ini sering memandang rendah produk tempatan.
"Jika orang luar kagum dengan produk negara kita, kenapa tidak kita turut bersikap demikian.
"Jadi, usaha ini sangat penting dalam mendidik masyarakat supaya turut menggunakan produk tempatan," katanya.
Mengulas lanjut, selain menawarkan harga yang berpatutan pengusaha tempatan juga perlu bijak merancang strategi pemasaran produk mereka supaya masyarakat tidak lagi prejudis terhadap produk tempatan.
Katanya, sekiranya langkah itu berjaya dilaksanakan beliau yakin industri kosmetik tempatan mampu membantu kerajaan dalam usaha mengubah dan meningkatkan kedudukan ekonomi negara.
0 comments:
Post a Comment