Nuffnang

Friday, May 18, 2012

Keputusan diketahui hujung tahun

Posted on May 19, 2012, Saturday



Rundingan pemilikan saham MASWings masih dijalankan: Abang Johari


KUCHING: Keputusan mengenai pemilikan saham dalam MASWings antara Sabah dan Sarawak dijangka akan dapat diketahui menjelang penghujung tahun ini.


Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, sejurus sahaja  rundingan keseluruhan semua pihak mengenai perkara berkenaan dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini, ia diharap dapat diumumkan.


“Ia mengambil masa kerana membabitkan pelbagai peringkat dan ia memerlukan perbincangan lebih rapi diadakan antara pihak kita (Sarawak) dengan Sabah dan pihak Penerbangan Malaysia (MAS). Antara perkara yang masih dibincangkan ialah mengenai cara kita mengambil alih saham untuk Sabah dan Sarawak dan setakat ini perbincangan berjalan dengan baik dan kita hanya menunggu untuk butiran rundingan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.


Beliau berkata, dengan pemilikan saham itu nanti, ia memenuhi hasrat kerajaan untuk mempunyai syarikat penerbangan, yang mana Sabah dan Sarawak mempunyai saham yang efektif. Bagaimanapun, katanya, model perniagaan yang dimukatamadkan nanti diharap lebih mapan bagi menghadapi perniagaan dalam penerbangan yang sangat mencabar masa kini.


“Model perniagaan baharu itu nanti perlulah sewajarnya agar syarikat itu sendiri lebih mapan memandangkan apa yang berlaku dalam industri penerbangan sekarang yang mencabar. Oleh sebab itu juga, cara kita lebih berwaspada dan ia hendaklah menjadi sebuah syarikat yang dapat memenuhi kehendak Sabah dan Sarawak,” katanya.


Namun, beliau yakin dengan rangkaian MASWings yang sedia ada dan akan diperluaskan ke beberapa kawasan tahun ini ia mampu menjadi asas kukuh kepada syarikat MASWings.


“MASWings akan memperluaskan penerbangan (dari Kuching) ke Balikpapan, Indonesia selain terus memperluaskan laluan syarikat penerbangan ke kawasan lain ia sudah menjadi asas yang kukuh untuk kita dalam perkara ini,” tegas beliau.
Abang Johari berkata, ia mungkin bukan satu jaringan laluan yang besar kerana hanya meliputi Asia Timur dan Asean.


Pada April lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang melawat negeri ini, mengumumkan bahawa kerajaan bersedia untuk mengkaji semula struktur MASWings, iaitu anak syarikat MAS bagi mempertimbangkan pengelibatan kerajaan Sarawak dan Sabah dalam kepentingan syarikat berkenaan.


Najib berkata dengan penstrukturan (kepentingan pemilikan) ia juga diharap menambahkan lagi rangkaian perhubungan yang amat penting di kedua-dua negeri.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites