Nuffnang

Sunday, June 24, 2012

KOPREM perlu bijak rangka perniagaan yang sesuai dengan kemahiran ahlinya


Posted on June 25, 2012, Monday

KUCHING: Koperasi Pesara Rejimen Renjer Malaysia Sarawak Berhad (KOPREM) perlu bijak merangka bidang perniagaan yang bersesuaian dengan kemahiran setiap ahlinya.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, antara bidang perniagaan yang dilihat berpotensi untuk dimajukan termasuk inap desa, kapal pelayaran dan kedai runcit.

Menurutnya, kerajaan telah menyediakan banyak platform atau peluang untuk memulakan perniagaan namun rakyat sendiri yang perlu memikirkan idea sesuai untuk diusahakan.

“Saya amat gembira dengan penglibatan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam koperasi dan berharap ia (koperasi) dapat membantu memacu ekonomi negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertama KOPREM dan Penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan mahu KOPREM membuat kertas kerja terbaik dan dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi mendapatkan geran.

“Sekiranya kertas kerja yang dikemukakan KOPREM menarik, maka mereka layak untuk mendapat geran berjumlah RM30,000 dan mungkin menerima pinjaman tambahan bagi memulakan perniagaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati ahli koperasi agar mengamalkan integriti tinggi bagi membolehkan entiti berkenaan terus berkembang dengan pesat.

“Setiap ahli harus amanah dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan,” jelasnya.

Pada majlis sama, Abang Johari mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada KOPREM.

Sementara itu, seramai 10 pesara Rejimen Renjer Malaysia menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang terdiri daripada Lans Korperal Kassim Abdullah, Lans Korperal Budong Padan, Lans Korperal Gripin Anyu, Renjer Gilbert Bulle Untan, Korperal Abdul Rahman Omar, Korperal Idris Apit, Renjer Yusof Ayub, Korperal Ahmet @ Sabawi Morshidi, Korperal Mohd Salleh Mohamed dan Lans Korperal Josing Nakid.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Cawangan Sarawak Leftenan Kolonel Monday Juhid dan Pengerusi KOPREM Mejar (Bersara) Wara Mejini Lani.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites