Nuffnang

Tuesday, August 30, 2011

‘Promosi bijak’ perlu untuk jadikan Sarawak destinasi terkenal dunia

by Jessica Jawing. Posted on Utusan Borneo August 31, 2011, Wednesday


KUCHING: Sarawak memerlukan ‘promosi bijak’ untuk menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di mata dunia.

Menteri Pelancongan dan Warisan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai destinasi pelancongan, ia tidak bergantung kepada peruntukan semata-mata.

Sebaliknya kata beliau ia memerlukan kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak terutamanya syarikat penerbangan bagi meningkatkan lagi rangkaian hubungan udara dengan negara luar.

“Apa yang perlu kita lakukan adalah mengadakan promosi yang lebih bijak dan ia bukan persoalan tentang peruntukan (kewangan).

“Kadang kala peruntukan yang diberikan tidak mampu untuk menghasilkan usaha yang baik kerana kita juga perlu tahu bagaimana untuk mempromosi,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama menteri-menteri kabinet lain di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan ketua pegawai eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan baru-baru ini, yang dipetik sebagai berkata peruntukan yang diberikan kepada STB dalam menjalankan kerja pemasaran dan promosi untuk industri pelancongan di negeri ini tidak mencukupi.

Kata Rashid, jumlah yang diperuntukkan iaitu RM30 juta untuk jangka masa 5 tahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan peruntukkan Rancangan-rancangan Malaysia yang lepas.

Sehubungan itu kata Abang Johari beliau kini dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan bukan sahaja kepada kerajaan negeri tetapi kerajaan pusat.

“Sebenarnya apa yang kita perlukan adalah kerjasama dengan pihak-pihak lain termasuk Penerbangan Malaysia (MAS), kerana yang penting adalah rangkaian perhubungan udara.

“Kita perlu menjadikan Kuching sebagai hab yang mana sedang kita bincangkan bersama MAS kini..kalau sudah menjadi hab ia tidak ada masalah lagi dan keduanya kita juga perlu menaik taraf infrastruktur kita,” tegasnya.

Jelas Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar itu, Sarawak mempunyai potensi pelancongan yang unik dari segi semulajadi berbanding pesaing lain.

Justeru pihaknya kata beliau akan ke Kepulauan Maldives pada bulan depan untuk melihat potensi kemungkinan penggunaaan pesawat amfibia di tasik empangan-empangan hidro elektrik yang ada di negeri ini.

“Kita mempunyai kelebihan terutamanya tasik serta tempat makan angin yang berlatar belakangkan hutan semulajadi,” ujar beliau sambil memberitahu pelaksanaan pesawat berkenaan akan dilaksanakan secepat yang mungkin.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites