Nuffnang

Monday, August 15, 2011

SABERKAS ikrar maju ekonomi melalui belia yang sistematik


Posted on Utusan Borneo August 15, 2011, Monday


LIMBANG: Sebagai sebuah pertubuhan yang diiktiraf di seluruh dunia, Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) berikrar untuk terus memberi sumbangan terhadap pembangunan ekonomi negara melalui penglibatan golongan belia yang berdisiplin dan sistematik.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata kesinambungan pimpinan pertubuhan itu akan menumpukan usaha untuk mendidik dan membangunkan belia di negeri ini.

Beliau yang juga Presiden SABERKAS Negeri menjelaskan ia sejajar dengan perkembangan dan perubahan zaman yang mencabar terhadap peranan para belia.

“Kita akan berusaha merapatkan SABERKAS dengan belia dengan menjadikanya platform untuk berubah dalam dunia yang semakin mencabar dengan perkembangan teknologi maklumat.

“Inilah pimpinan kita untuk membangunkan belia agar lebih berdisiplin dan mencabar,”katanya.

Beliau berkata demikian pada penyampaian bungkusan Hari Raya anjuran SABERKAS Negeri dan Daerah di Dewan Suarah Limbang semalam.

Turut sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yang juga Pengerusi SABERKAS Daerah Dr Abdul Rahman Ismail, Setiausaha Agung SABERKAS Negeri Datuk Aidan Wing, ADUN Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Sosial dan Kebajikan SABERKAS Watson Bangau Jonathan dan jemputan lain.

Abang Johari menjelaskan lagi perkembangan dunia tanpa sempadan yang berlaku boleh mempengaruhi perwatakan dan pemikiran belia sekiranya mereka tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh.

“Budaya barat ini boleh menjejaskan kedudukan belia pada hari ini. Misalnya seperti rusuhan yang berlaku di London yang dicetuskan oleh belia yang tiada hala tuju yang baik dan betul sehingga menjejaskan sebuah negara yang maju,” ujarnya.

Beliau memberitahu, sejajar dengan kepelbagaian kaum dan agama di negara ini, orang muda perlu berperanan mempertahankan keharmonian dan cara hidup yang aman damai selain membangunkan negara.

“Inilah pimpinan SABERKAS untuk melatih dan membersarkan anak-anak remaja menjadi rakyat yang berdisiplin dan menyumbang kepada pembangunan negara dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu,” katanya.

Beliau berkata kesinambungan kepimpinan SABERKAS terdahulu perlu diteruskan bagi mengukuhkan pertubuhan yang disanjung dan disegani oleh pelbagai persatuan belia di seluruh negara.

“Kerana inilah SABERKAS diiktiraf dari segi struktur dan peranannya terhadap pembangunan ekonomi negara khususnya Sarawak,” tambahnya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites