Nuffnang

Friday, September 9, 2011

Ekopelancongan Jadikan Sarawak Berpendapatan Tinggi

UNIK: Taib membelah buluh lemang sebagai simbolik merasmikan Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Bahagian Sibu, di Sibu malam kelmarin


by Watt Zacchaeus. 
Posted on Utusan Borneo September 7, 2011, Wednesday


SIBU: Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yakin sektor ekopelancongan merupakan sebuah sektor terpenting untuk negeri ini dalam usaha menjadikan negeri ini menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi.

Ini kerana katanya, sektor berkenaan akan diperluaskan sehingga ke kawasan pedalaman seperti di Belaga, Ulu Baram kerana berpotensi mempunyai warisan, alam semulajadi, persekitaran yang indah dan kaya dengan budaya yang masih terpelihara.

“Kewujudan projek hidro dan empangan di sana akan memesatkan lagi kawasan-kawasan terbabit dan yang mampu membantu sektor ekopelancongan di sana.

“Ini juga mampu memberikan pendapatan kepada penduduk setempat menerusi projek-projek yang kita laksanakan khususnya yang berkaitan dengan projek hidro dan empangan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri Bahagian Sibu yang turut dihadiri isterinya, Puan Sri Ragad Kurdi Taib bertempat di RH Hotel di sini, malam kelmarin.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Tan Sri William Mawan Ikom serta Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka yang juga pengerusi jawatankuasa pengelola majlis, Dr Annuar Rapaee.

Beliau memberitahu banyak kegiatan yang boleh dijalankan di kawasan berkenaan jika sektor ekopelancongan dilaksanakan di sana yang boleh mendatangkan pendapatan tinggi kepada penduduk setempat dan negeri ini.

“Wujudnya projek hidro dan empangan, adalah satu tarikan di mana kita mesti menggunakan peluang ini untuk menarik pelancong luar untuk datang melancong ke negeri kita ini.

“Seperti yang kta maklum, negeri ini kaya dengan alam semulajadinya, budayanya, adatnya dan banyak lagi yang mampu menjadi tarikan kepada pelancong.

“Oleh itu, kita harus gunakan projek hidro ini untuk membangunkan kawasan-kawasan yang berpotensi luas untuk dijadikan tempat ekopelancongan disamping mendapat manfaat lain dari projek itu,” tegasnya.

Sehubungan itu, Ketua Menteri turut menggesa generasi pemimpin muda sekarang untuk terus menunjukkan komitmen dan fokus kepada usaha mentransformasikan Sarawak menjadi negeri maju menjelang 10 tahun akan datang.

Beliau berkata, usaha mentransformasikan negeri ini boleh dicapai dan semua kaum tanpa mengira di bandar mahupun di luar bandar hendaklah bekerjasama serta menyesuaikan diri dengan menimba ilmu kemahiran sebagai persediaan merebut peluang pekerjaan dalam industri berat yang bakal diwujudkan.

Jelasnya, negeri ini memerlukan 52 peratus rakyatnya yang berkemahiran teknikal untuk menggerakkan semua industri berasaskan industri berat yang dilaksanakan dalam wilayah kemajuan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

“Kita memerlukan lebih ramai pekerja mahir dalam bidang teknikal dan peluang latihan itu perlu kita sediakan dengan berusaha menaiktaraf Kolej Laila Taib di sini,” tegasnya sambil menambah, buat masa ini beliau menampakkan anak-anak Sarawak memiliki kemahiran yang diperlukan.

Menurut Taib, anak-anak Sarawak sesungguhnya banyak menunjukkan kemahiran ‘manual’ yang perlu dilatih supaya dapat memenuhi keperluan dalam pembangunan industri berat kelak.

Sambil menganggap ia merupakan satu lagi cabaran, katanya, pembangunan pekerja dalam bidang teknikal perlu diberi perhatian oleh pemimpin generasi muda jika Sarawak mahu menjayakan transformasi untuk 10 tahun akan datang.

Menurut Ketua Menteri lagi, Sarawak boleh mencapai transformasi dengan terlaksananya SCORE menjelang 2030. “Sungguhpun masih jauh 20 tahun lagi, kita sudah nampak generasi baru kita menunjukkan komitmen dan fokus ke arah itu,” katanya.

Dua bidang utama kemajuan dalam wilayah SCORE itu, tambahnya, ialah membangunkan industri berasaskan industri berat di Samalajau dan pembangunan hub halal Tanjung Manis dengan menggunakan kekayaaan sumber yang ada.

Kedua-dua bidang itu, tegasnya, akan membawa penduduk luar bandar dan bandar bersama-sama mengecapi arus kemajuan dan SCORE juga akan membolehkan kerajaan untuk terus membuka kawasan pedalaman maju setanding dengan di bandar.

Tambah beliau, kewujudan industri baru itu juga akan menjadi asas pengeluaran dan membawa rakyat Sarawak melangkah maju ke hadapan.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites