Nuffnang

Monday, September 12, 2011

Sejarah Tamadun Cina Dikaji - Abang Johari

by Sandy Mark Luna

Posted on Utusan Borneo September 12, 2011, Monday


SANTUBONG: Sebuah penyelidikan untuk menjejaki sejarah khususnya berhubung tamadun Cina di kawasan ini, dicadang untuk dijalankan.

Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg memberitahu mendiang Tun Lim Chong Eu, mantan ketua menteri Pulau Pinang pernah menyuruh beliau menjalankan kajian memandangkan sejarah di Santubong ada bersangkut paut dengan sejarah Cina.

Jelasnya, antara persamaannya adalah kaum Cina memanggil kawasan itu ‘San Dao Pong’ dan cerita gunung itu yang seakan-akan permaisuri atau puteri yang baring.

“Dan di sini kita dapat lihat hubung kait antara tamadun Cina dengan kita khususnya di kawasan Santubong ini.

“Ini bermakna mungkin kita dapat melakukan penyelidikan dalam bidang ini dan seterusnya menjadikan (Santubong) sebagai tapak bersejarah yang sangat penting dalam pembangunan tamadun di Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan Borneo Tourism Alliance di Dewan Sri Santubong, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dato Jacob Dungau Sagan, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan pengusaha inap desa Santubong, Jamilah Shukri.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar turut mencadangkan Fatimah yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal pendidikan untuk meneliti cadangan untuk menjejaki sejarah tersebut.

Menurutnya, kerajaan akan cuba menjalankan kajian mengenai hubung kait Santubong dengan beberapa tempat seperti Terengganu berkenaan Batu Bersurat dan juga antara Santubong ke Melaka dan seterusnya negara China.

“Apabila kita mengetahui sejarah di sini, kita dapat membawa pelancong luar masuk ke sini sekali gus menjadikan Santubong destinasi pelancongan, selain dapat mengembangkan pengetahuan dalam tamadun di Asia,” katanya.

Santubong, menurutnya dikenalpasti sebagai kawasan yang dapat memberi impak kepada pelancongan ke dalam sektor pelancongan.

Selain itu, katanya kementeriannya juga memperuntukkan kira-kira RM700,000 bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan itu tahun ini dan kemudian berjanji untuk menambah angka itu pada tahun depan dan seterusnya menambah rangkaian jalan raya untuk menghubungkan Telaga Air dan Tanjung Datu ke Santubong.

Sementara itu, Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berharap kawasan parlimen itu dapat mempelopori ekopelancongan di negeri.

Katanya, kawasan itu mempunyai banyak tarikan bersejarah seperti kuil Cina tertua di negeri, Batu Buaya iaitu tapak Sultan Tengah mati dibunuh, kuil Laksamana Cheng Ho, malah taman negara tertua di negeri.

“Diharap kita dapat mengesan sejarah ini dan seterusnya mempelopori negeri dari aspek eko pelancongan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites