Nuffnang

Saturday, September 10, 2011

PBB Tampil Muka Baru Pada Setiap Pilihan Raya, Kata Timbalan Presiden PBB

 
10 September, 2011 18:12 PM
 
KUCHING, 10 Sept (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) biasanya melantik pemimpin muda dengan mencalonkan muka-muka baru pada setiap pilihan raya termasuk pada pilihan raya Parlimen akan datang, kata Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Openg Sabtu.

Katanya keputusan mencalonkan sekurang-kurangnya tiga muka baru akan dibuat oleh presiden parti Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan majlis tertinggi PBB, sama seperti yang berlaku pada pilihan raya negeri 16 April lalu.

"Ini soal pembaharuan...kita mahu lantik pemimpin muda supaya mereka akan ditempatkan di satu peringkat dan akhirnya mengambil alih daripada pemimpin veteran," katanya pada pemberita selepas menutup mesyuarat agung dwitahunan Persatuan Alumni UiTM Sarawak (MITSA) di sini.

Abang Johari, bagaimanapun, berkata Anggota Parlimen dari parti itu, yang merupakan tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak, biasanya secara sukarela memberi laluan kepada tenaga muda.

Pada pilihan raya umum 2008, PBB menang kesemua 14 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Beliau turut menyambut baik hasrat dan kesungguhan anak sulung Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir, untuk bertanding kerusi Parlimen Kota Samarahan.

Antara Anggota Parlimen PBB yang dijangka tidak disenaraikan sebagai calon kali ini ialah adik Bekir, Datuk Seri Sulaiman Taib, yang melahirkan hasrat untuk berundur sebagai Anggota Parlimen.

Mengenai tindakan parti pembangkang PAS dan DAP mengedar risalah dan kad ucapan Hari Raya di masjid di sini, Abang Johari, yang juga Menteri Pelancongan dan Warisan Negeri, berkata biar masyarakat menilaikan tindakan mereka.

Beliau meminta rakyat supaya tidak meniru budaya baru sedemikian yang boleh merosakan keharmonian yang sedia ada di antara masyarakat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites