Nuffnang

Monday, December 5, 2011

Satok Fest 2011 Unik!!

Syabas kepada Jawatankuasa Pengelola dan Penganjur Satok Fest 2011 yang berjaya menampilkan acara baru dan unik berlandaskan ajaran Islam dan mendukung tinggi budaya timur.  
Acara tahunan ini yang berlangsung di Kuching Waterfront adalah untuk mempromosikan pelbagai hasil kraftangan dan seni mahupun industri desa yang terdapat di sekitar Satok.  Selain daripada itu juga dapat memupuk semangat 1Malaysia yang hidup bersatu padu dan rukun damai di Satok ini.  
Semoga lebih banyak acara yang mempromosikan barangan tempatan serta komuniti bisnes di sekitar kawasan dapat dianjurkan lagi oleh PBT di tempat yang lain di Sarawak!! 
Kain keringkam berusia 90 tahun dipamer di Satok Fest

Posted Utusan Borneo on December 5, 2011, Monday

LAIN DARI YANG LAIN: Jalia menggayakan tudung keringkam dan kain songket tenunan emas bernilai tinggi yang berusia lebih 90 tahun pada pertunjukan fesyen sempena Satok Fest di Tebingan Kuching semalam. — Gambar BERNAMA
KUCHING: Kain keringkam berusia hampir 100 tahun memang sukar dilihat atau ditemui pada masa kini, namun Jalia Sapiee masih menyimpan koleksi tradisi tersebut.

Jalia, 52, yang berasal dari Kampung No.6 memberitahu, semasa majlis perkahwinan ayah dan ibunya suatu ketika dahulu, kain keringkam tersebut sudah dipakai.

Menurutnya, ia merupakan warisan peninggalan neneknya dan dianggarkan kini sudah berusia 90 tahun berdasarkan kepada rekaan serta bahan yang digunakan.

“Kain keringkam yang saya pakai ini berusia 90 tahun.

“Ibu memakai kain ini semasa berkahwin dengan ayah dulu,” katanya yang merupakan salah seorang daripada peserta Pertunjukan Fesyen Mensia sempena Satok Fest 2011 di sini, malam kelmarin.

Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof dan Pengerusi Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok (PKPS) Mohammad Abdullah Zaidell.

Jalia berkata, sudah lama kain tersebut tidak diperagakan memandangkan kali terakhir beliau memakainya semasa berusia 14 tahun.

“Pernah suatu ketika ada pihak ingin menawarkan harga tinggi untuk membeli kain keringkam ini dan menyewanya, namun kami sekeluarga tidak mahu kerana bimbang ia tidak dijaga dengan betul,” ujarnya.

Jalia menjelaskan, pada masa sekarang kain keringkam dijual dengan harga tinggi berbanding dahulu antara RM3,000 hingga RM4,000 bergantung kepada corak rekaan dan cara penghasilannya.

Ditanya mengapa beliau tertarik untuk menyertai pertunjukan fesyen tersebut, beliau berkata, ia merupakan platform terbaik untuk kembali berjumpa kawan lama dan pada masa sama memberi peluang kepada generasi muda mengetahui fesyen lampau.

“Tidak ramai anak muda sekarang mengetahui fesyen mensia (zaman dahulu) disebabkan fesyen-fesyen barat yang pelbagai sekarang,” jelasnya.

Sementara itu, menurut Abdullah, pertunjukan fesyen itu melibatkan lapan peragawati yang berusia 50 tahun ke atas.

“Ia diadakan untuk mengimbau nostalgia lama selain memberi peluang kepada anak muda melihat secara lebih dekat fesyen dahulu supaya tidak ditelan zaman,” kata Abdullah.

Pada majlis tersebut turut diadakan pertunjukan Fesyen Satok Glam yang disertai lapan peragawati dari sekitar bandar raya ini.

Selain itu, penyanyi tempatan yang mengukir nama di Semenanjung Malaysia – Saiful Malaysian Idol juga tidak ketinggalan menghiburkan sekitar 300 orang tetamu yang hadir.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites