Nuffnang

Friday, December 9, 2011

Undang-undang bangun perumahan dikemas kini

by Wan Ali Amit. Posted on December 10, 2011, Saturday

PERUBAHAN: Abang Johari (tengah) menunjukkan undang-undang baharu pembangunan perumahan Sarawak sambil diperhatikan Abdul Karim (kiri) dan Affandi di Kuching, semalam
Jawatankuasa ditubuh tangani isu-isu projek di Sarawak

KUCHING: Memandangkan keadaan perubahan pembangunan yang berlaku sekarang, Kementerian Perumahan mengambil tindakan untuk mengemas kini undang-undang sedia ada bagi melancarkan projek-projek pembinaan rumah untuk rakyat.

Menterinya, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kementeriannya telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi menangani pelbagai isu yang membabitkan projek-projek pembangunan perumahan di negeri ini.

Beliau berkata, jawatankuasa itu diketuai oleh Menteri Mudanya, Abdul Karim Rahman Hamzah dengan dianggotai oleh Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar, Jabatan Tanah dan Survei, Dewan Perniagaan Sarawak dan Suruhanjaya Pembangunan Perumahan Sarawak.

“Jawatankuasa yang kita tubuhkan itu adalah bertindak untuk menangani pelbagai isu berkaitan pembangunan perumahan bagi memastikan rakyat mampu memiliki rumah,” katanya.

Bercakap pada sidang media di pejabatnya di sini semalam, Abang Johari berkata antara isu yang ditangani oleh jawatankuasa terbabit ialah kadar kenaikan harga rumah, penggunaan bahan binaan mengikut Sistem Binaan Perindustrian (IBS) dan harga rumah murah mampu milik.

Beliau menarik perhatian, konsep Perumahan 1Malaysia (PRIMA) yang diperkenalkan oleh kerajaan pusat juga direalisasikan di negeri ini bagi memenuhi keperluan rakyat.

Abang Johari menambah kementeriannya juga mengemas kini undang-undang mengikut Ordinan Pembangunan Perumahan 1993 bagi menggantikan Akta 1966 (Kawalan dan Lesen).

“Ini adalah bagi memastikan semua projek perumahan terbengkalai di negeri ini akan diberi nafas baharu,” katanya.

Hadir sama pada sidang media itu Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia, Abdul Karim Rahman Hamzah dan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan, Affandi Keli.

Abang Johari berkata, difahamkan lima projek perumahan terbengkalai di negeri ini yang melibatkan pembinaan perumahan belum siap melebihi 10 tahun.

“Kita memberi tempoh setahun untuk jawatankuasa bertindak bagi memastikan kontraktor-kontraktor pembinaan terbabit dapat menyelesaikan masalah projek mereka sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya.

Menurutnya, projek-projek perumahan terbengkalai terdapat di Kuching iaitu Kota Sentosa, Sungai Maong dan Samariang termasuk dua projek perumahan di Sibu.

Sehubungan itu, jelas Abang Johari orang luar termasuk di Semenanjung Malaysia boleh membeli rumah dengan harga RM300,000 ke atas melalui skim ‘Rumah Pertamaku.’

“Dengan penubuhan jawatankuasa itu dan mengemas kini undang-undang pembangunan perumahan, saya yakin rakyat dapat memiliki rumah seperti yang mereka impikan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites