Nuffnang

Wednesday, November 28, 2012

RM 500 Juta Untuk Program Perumahan Rakyat!


2,847 unit rumah di bawah PPR di Sarawak tahun depan

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Sebanyak 2,847 unit rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) telah diluluskan untuk dibina di Sarawak pada tahun depan dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM512.46 juta.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata ia membabitkan 12 projek perumahan iaitu PPR Lambir, Miri (500 unit), PPR Saratok, Betong (68 unit), PPR Sri Aman (123 unit), PPR Kidurong, Bintulu (215 unit), PPR Permyjaya, Miri (314 unit), PPR Tabuan Melayu, Kuching (213 unit), PPR Sungai Tengah II, Kuching (439 unit), PPR Matang Batu 9, Kuching (93 unit), PPR Mukah II (66 unit), PPR Kanowit (91 unit), PPR Samarahan (303 unit) dan PPR Petra Jaya, Kuching (422 unit).

“Jumlah unit rumah yang telah diluluskan ini merupakan yang terbanyak di kalangan negeri di Malaysia iaitu 14 peratus daripada jumlah keseluruhan unit,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Bagi permulaan pembinaan projek tersebut, Abang Johari berkata kerajaan persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM95.16 juta.

Katanya kesemua projek ini akan dibina dengan reka bentuk yang menarik, selesa untuk diduduki, mempunyai keluasan 700 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Pelaksanaan projek-projek perumahan ini kelak sudah tentunya akan dapat membantu mengatasi isu kesukaran rakyat untuk memiliki rumah memandangkan harga rumah di bawah PPR adalah jauh lebih rendah daripada harga pasaran melalui subsidi kos yang diberikan oleh kerajaan,” katanya.

Menurutnya, harga seunit rumah yang ditawarkan ialah RM50,400 untuk unit tengah dan RM59,220 untuk unit tepi.

Berhubung status pelaksanaan PPR (dimiliki) yang sedia ada, Abang Johari berkata sejumlah RM100 juta dana kerajaan persekutuan telah diperuntukkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pada 2009 untuk membina 865 unit rumah atas tanah di Kuching, Samarahan, Mukah, Bintulu, Kanowit dan Song.

Katanya projek tersebut merangkumi PPR Matang Lot 5 (Taman Serapi – 156 unit), PPR Matang Sungai Tengah (Taman Banjaran Serapi – 311 unit), PPR Samarahan (Taman Tuang – 150 unit), PPR Mukah (Taman Mutiara Indah – 52 unit), PPR Kidurong (Kidurong Avenue – 100 unit), PPR Kanowit (Taman Dabai Indah – 68 unit) dan PPR Song (Taman Sri Jaya – 28 unit).

“Lima projek iaitu dua di Kuching, satu di Samarahan dan satu di Mukah telah siap pada November 2010 dan di Song siap pada Mac 2012 manakala dua lagi projek iaitu di Kidurong dan Kanowit sedang dalam proses mendapatkan Permit Pendudukan (OP) dan Sijil Jalan,” katanya.

Mengenai status pelaksanaan PPR (disewa) yang sedia ada pula, Abang Johari berkata sebanyak 2,000 unit pangsapuri untuk disewa telah dan akan siap di tiga lokasi iaitu PPR Batu Gong di Siburan, Kuching, PPR Seduan di Rantau Panjang, Sibu dan PPR Kemena di Bintulu.

Katanya, ketiga-tiga projek tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM238.5 juta melalui dana kerajaan persekutuan.

“PPR Seduan sebanyak 500 unit telah siap sepenuhnya dan telah diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (PPPS) pada Februari lalu manakala PPR Batu Gong (500 unit) dan PPR Kemena (1,000 unit) dijadual siap pada suku pertama tahun depan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites