Nuffnang

Wednesday, November 28, 2012

Tanah Tinggi Bario Bakal Jadi Tarikan Pelancongan!

Kawasan Bario mungkin akan menjadi sibuk apabila kaedah pelancongan tanah tinggi selesai dikaji oleh Kementerian Pelancongan dengan agensi kerajaan PEMANDU. 

PEMANDU yang tidak asing di Sarawak kerana di bawah Dato Seri Idris Jala yang kerap berulang-alik ke Bario untuk melawat kampung halaman beliau.  
 
Selepas ini, lebih ramai lagi yang akan menyertai beliau untuk menikmati keindahan Tanah Tinggi Bario.
Pembangunan pelancongan tanah tinggi dikaji

Utusan Borneo 28 November 2012, Rabu

KUCHING: Kementerian Pelancongan sedang merancang menjalankan kajian terhadap pembangunan pelancongan tanah tinggi bagi mencari kelebihan niche pelancongan Sarawak yang boleh ditawarkan kepada pelancong.

Menurut Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, ujian makmal itu bakal dilaksanakan bersama PEMANDU sebagai fasilitator serta agensi kerajaan yang menyertai termasuk sektor swasta dan komuniti tempatan.

Kawasan yang dikenal pasti terlibat adalah Meligan dan tanah tinggi Bario serta bakal memberi manfaat kepada komuniti Kelabit, Lun Bawang, Saban dan Penan di sini.

“Kedatangan pelancong bermula Januari hingga September tahun ini mencatat 2,944,821 orang.

“Penambahan ketara itu dilihat melalui kedatangan pengunjung dari Singapura, China, Australia dan England dengan peningkatan 8.1 peratus iaitu sebanyak 2,723,964 berbanding tempoh yang sama tahun lepas,” katanya ketika menggulung perbahasan untuk Kementerian Pelancongan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Tarikan sektor pelancongan Sarawak merupakan pelancongan kebudayaan, pengembaraan dan alam semula jadi (CAN).

Dalam pada itu, kerajaan negeri mengenal pasti kawasan Taman Negara, Pusat Hidupan Liar dan Tanah Rizab begitu popular di kalangan pelancong.

“Sehingga Jun lepas, Taman Negara kita mencatat pengunjung seramai 206,186 dengan 26 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada pelancong warga asing.

“Untuk Jun 2012, Pusat Hidupan Liar Semenggoh merekodkan pengunjung teramai iaitu 46,370 diikuti Taman Negara Bako 21,052 dan Taman Negara Niah 11,862,” tambahnya.

Program inap desa di kampung-kampung juga semakin mendapat tempat di kalangan rakyat tempatan.

Menurut Abang Johari, sejumlah 28 kampung dengan 418 operator di seluruh negeri telah didaftarkan di bawah program itu.

Bagaimanapun, bagi memastikan pengusaha inap desa mematuhi piawaian yang ditetapkan kementerian, sejumlah 13 inap desa telah diaudit dan selebihnya akan dijalankan pada tahun depan.

Sehingga September tahun ini, program inap desa menghasilkan keuntungan sebanyak RM1.1 juta dan telah menarik sejumlah 2,453 pengunjung warga asing dan 7,516 merupakan pengunjung domestik.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites