Nuffnang

Thursday, February 9, 2012

Perkongsian pintar pacu transformasi Sibu Jaya

by Andy Sabang. Posted on February 8, 2012, Wednesday

MAKIN RANCAK: Abang Johari (tengah) menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas selesai Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan ‘Pearl Avenue’ di Sibu Jaya, semalam.
Konsep perbandaran serba lengkap akan dijadikan model pembangunan bandar lain: Abang Johari

SIBU: Perkongsian pintar di antara Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Kumpulan Amcorp di bawah inisiatif dana swasta telah memacu transformasi pembangunan bandar baharu Sibu Jaya.

Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, ini termasuk penerapan pembangunan berdasarkan konsep perbandaran serba lengkap yang menjangkau keluasan kawasan kira-kira 1,400 ekar.

Katanya, ia terdiri daripada pembukaan kawasan perumahan yang pelbagai, rumah kedai, pusat komersial, lot industri dan sekolah.

“Kita cuba menjadikan Sibu Jaya sebagai bandar model kepada bandar lain dengan menawarkan penduduk dengan persekitaran yang ideal untuk bekerja dan bermain.

“Selain kemudahan serba lengkap sepenuhnya, terdapat juga suasana taman yang tiada tandingannya untuk menggalakkan kerja yang lebih baik produktif,” ujar beliau pada sidang media semalam.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Pelancongan menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan ‘Pearl Avenue’ di Sibu Jaya.

Menurut Abang Johari, HDC dan Amcorp telah mengubah pembangunan lama Sibu Jaya yang bermula pada tahun 1995 kepada pembangunan baharu serta memperkenalkan elemen gaya hidup moden.

Ia termasuk pembinaan laluan ‘Boulevard’ sepanjang dua kilometer di samping turut mengekalkan 40 ekar kawasan hijau, katanya.

Menyentuh mengenai projek perumahan ‘Pearl Avenue,’ Abang Johari memberitahu, ia merupakan kawasan perumahan teres dua tingkat dengan reka bentuk moden.

Sebanyak 170 unit rumah akan dibangunkan dengan harga RM248,880 setiap satu berkeluasan 1,457 kaki persegi, jelasnya.

“Ia merupakan satu pelaburan untuk jangka panjang, selain berusaha merancakkan pembangunan bandar Sibu Jaya,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah HDC Azmi Hashim berkata, sejumlah RM1 bilion akan dilaburkan bagi tujuan pembangunan perumahan di Sibu Jaya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sehingga 2023, dianggarkan kapasiti penduduk di Sibu Jaya mencecah 60,000 selain dilengkapkan dengan kemudahan moden sesuai dengan konsep bandar selamat.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif MIMOS Datuk Abdul Kadir Abdullah.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites