Nuffnang

Monday, February 4, 2013

My Beautiful Malaysia dilancarkan di Taman Malihah!


Jangan korban semangat tolong-menolong: Fadillah

Utusan Borneo

KUCHING (4 Feb): Rakyat Sarawak tidak sepatutnya mengorbankan norma murni yang dipupuk selama ini terutama melibatkan semangat tolong-menolong dan saling hormat-menghormati walaupun berlainan agama.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Fadillah Yusof berkata, ini kerana masyarakat pelbagai bangsa di negeri ini sudah dipupuk sejak kecil supaya tidak membeza-bezakan antara kaum.

Justeru katanya, perbezaan pendapat dan agama bukan isu besar bagi penduduk Bumi Kenyalang kerana setiap lapisan kaum bebas dalam beragama.

“Janganlah kita menolak norma murni yang dipupuk selama ini. Kita di Sarawak tidak memandang etnik dan kepercayaan bukan isu utama kerana kita mengamalkan kebebasan beragama,” katanya ketika melancarkan program My Beautiful Malaysia di Taman Malihah semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, sejak akhir-akhir ini terdapat pihak tidak bertanggungjawab berusaha untuk merosakkan perpaduan rakyat Sarawak dengan menyebarkan fahaman songsang.

“Kita (setiap rakyat) perlu mengelak perkara ini. Apa yang mereka lakukan adalah untuk merosakkan perpaduan dan melihat rakyat negeri ini berpecah belah,” ujarnya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk terus memupuk perpaduan dan mengukuhkan hubungan antara satu sama lain.

“Kita mampu elak golongan tidak bertanggungjawab ini dengan terus memupuk perpaduan.

“Inilah merupakan kecantikan utama Sarawak…setiap lapisan masyarakat dapat hidup bersama,” jelasnya.

Menurutnya, sekiranya perpaduan dapat terus dipupuk, mudah untuk kerajaan merancang pembangunan fizikal, sosial dan meningkatkan ekonomi.

“Jika aspek-aspek ini dapat dirangka dengan baik, sudah pasti lebih ramai pelabur asing berminat menanam modal di negeri ini,” kata Fadillah.

Dalam pada itu, beliau berkata pelancong asing amat menggemari Malaysia kerana rakyatnya yang terkenal dengan sikap berbudi bahasa.

“Kita (Malaysia) berada dalam senarai lima negara pilihan pelancong. Kecantikan kita diukur dari segi tutur kata dan kesopanan yang kita praktikkan,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Muhamad Hashim Yap dan Timbalan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tupong Dr Zaedi Suhaili.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites