Nuffnang

Tuesday, June 14, 2011

Kehadiran di Petra Jaya bukti DAP hilang kepercayaan terhadap rakan: Abang Johari

 
Posted on Utusan Borneo June 13, 2011, Monday

KUCHING: Kehadiran DAP yang merancang mahu menubuhkan cawangan di Petra Jaya disifatkan hilang kepercayaan terhadap rakan komponen sendiri iaitu PKR dalam menerajui kawasan tersebut.

Malah, usaha parti itu untuk menubuhkan cawangan di situ turut dikatakan sudah hilang keyakinan terhadap PKR untuk menakluki Petra Jaya daripada PBB.

Perkara itu dikatakan oleh Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang merasakan perbuatan DAP itu sudah tidak lagi yakin dengan rakan sendiri.

“Jika DAP pergi ke Petra Jaya itu bermaksud mereka tidak mempercayai PKR lagi kerana PKR sudah pun berada di Petra Jaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Persidangan Mahasiswa Islam Sarawak di Pusat Latihan JAKIM Sarawak di Telaga Air dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha DAP mengembangkan sayap mereka di kawasan majoriti Melayu di Petra Jaya baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Satok berkata, DAP juga tidak yakin terhadap calon PKR di kawasan itu untuk merampas kerusi itu daripada BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang. “Mereka (DAP) tidak yakin dengan PKR kerana PKR sudah pun ada calon di Petra Jaya… itu menjadi masalah mereka (DAP dan PKR).

“Sekarang DAP pergi ke Petra Jaya itu bermaksud PKR tidak dapat perform di Petra Jaya,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Abang Johari berkata, perkara itu tidak menjadi halangan kerana negara ini mengamalkan sistem demokrasi.

“Bagi kami (BN) tiada masalah untuk mereka menubuhkan cawangan di situ kerana negara kita mengamalkan demokrasi, yang akan jadi masalahnya adalah antara DAP dan PKR sendiri.

“Sokongan terhadap kami juga meningkat di sini yang boleh dibuktikan pada pilihan raya negeri ke-10,” katanya.

Beliau menambah, BN tidak akan gentar berhadapan dengan DAP mahupun parti pembangkang lain.

“Mereka berhadapan dengan kami, kami juga akan berhadapan dengan mereka, kami juga akan pergi ke tempat mereka, apa yang perlu dirisaukan,” ujarnya.

Sebelum ini, DAP meluahkan hasrat mereka untuk menubuhkan cawangan baru di Petra Jaya dalam masa dua bulan akan datang, yanga dipelopori oleh empat ahli yang baru-baru ini menyertai DAP dengan niat berkhidmat demi rakyat.

Bong Kuet Bui, 29, Awang Saifeluddin, 31, Hii Ting Ik, 30, dan Clement Wong, 30, kini merupakan pembantu ADUN Padungan Wong King Wei.



Awang dilantik mengetui jawatankuasa penganjur agar matlamat dicapai dalam tempoh diberikan.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites