Nuffnang

Thursday, October 20, 2011

RMM Siap Disember: Johari


SIBU: Fasa Pertama Rumah Mampu Milik (RMM) Taman Dabai Indah di Kanowit dijangka siap sepenuhnya pada bulan Disember depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari berkata, pembinaan 68 unit rumah berkenaan yang melibatkan keluasan kira-kira lima ekar telah 65 peratus siap.

“Masa pembinaan adalah 24 bulan atau dua tahun. Biarpun secara teknikalnya projek tersebut lambat dua bulan, namun saya percaya ia dapat disiapkan pada bulan Disember nanti,” katanya kepada pemberita semalam.

Katanya, bagi fasa kedua ia akan melibatkan 197 unit rumah termasuk tadika, dewan serba guna serta pusat keagamaan.

Menurut Abang Johari, pelaksanaan projek fasa pertama tersebut adalah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua di bawah Program Perumahan Awam dengan melibatkan kos sebanyak RM8.5 juta.

Setiap unit rumah berkenaan akan dijual dengan harga RM50,400 di bahagian tengah dan RM59,220 bahagian tepi.

“Keseluruhannya kita (kerajaan) mengenakan subsidi sebanyak 50 peratus berbanding kos asal pembinaan bagi seunit rumah ialah kira-kira RM130,000,” ujar beliau.

Abang Johari berkata, apa yang diperlukan ketika ini adalah gambaran keseluruhan pembangunan projek terbabit termasuk membina jalinan jalan raya serta sistem perparitan.

Ia bertujuan memastikan usaha memperluaskan projek pembukaan tanah di Kanowit dapat dilaksanakan secara sistematik.

Jelas beliau, rakyat di Kanowit mempunyai sosio-ekonomi yang kukuh apatah lagi ia terletak berhampiran dengan bandar Sibu.

Namun apa yang lebih penting ialah penyediaan pusat-pusat rekreasi sesuai dengan saranan Ketua Menteri yang mahukan supaya tumpuan lebih diberikan kepada pembangunan komuniti.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites