Nuffnang

Tuesday, October 25, 2011

Masalah penerbangan selesai sebulan



by Jeremy Lanson. Posted on October 25, 2011, Tuesday


Pihak berkaitan cuma memerlukan sedikit masa lagi: Abang Johari

KUCHING: Masalah ketidaktentuan jadual penerbangan di negeri ini akan mencapai penyelesaiannya dalam tempoh sebulan dari sekarang.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata masalah tersebut kini hampir menemui penyelesaiannya cuma memerlukan sedikit masa lagi seperti yang dijanjikan beliau sebelum ini.

“Tadi saya bersama Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan mesyuarat dengan pihak atasan pengurusan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) iaitu Pengerusinya Tan Sri Md Nor Yusof dan Pengarah Urusannya Datuk Ahmad Jauhari.

“Seperti yang dijanjikan sebelum ini, kita telah mencapai persefahaman dengan MAS dan kita mengharapkan agar masalah (penerbangan) yang dihadapi sebelum ini akan dapat dikurangkan dan diselesaikan,” katanya.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut dan berharap agar rakyat khususnya di negeri ini dapat bersabar.

“Sebelum ini saya ada memberitahu masalah tersebut akan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan dan kini masih tinggal sebulan lagi.

“Justeru apa yang dapat saya nyatakan di sini ialah kita sudah mempunyai harapan bahawa masalah ini akan dapat diselesaikan…cuma beri saya tempoh sebulan lagi untuk mengumumkan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Australia Miles Kupa di Pejabat beliau, di sini semalam.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) kini bersedia untuk menerima pelbagai jenis penerbangan.

“Sebelum ini mungkin tidak…tetapi kini LTAK sudah bersedia untuk menerima apa sahaja jenis pesawat dan ini juga dapat menyelesaikan masalah penerbangan dari luar negara.

“Ini kerana kita difahamkan, kebanyakan warga asing terutama dari Eropah dan sebagainya datang ke negeri ini untuk mengikuti konvensyen dan mereka mengejar masa.

“Disebabkan itu, kita merasakan keupayaan LTAK kini juga sedikit sebanyak akan dapat menyelesaikan masalah penerbangan di negeri ini,” katanya.

Beliau menambah, kini kebanyakan penerbangan dari luar negara terpaksa melakukan pendaratan di Kuala Lumpur ataupun Singapura sebelum ke Sarawak.

“Ini menimbulkan masalah, kerana ia akan memakan masa yang lama,”katanya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites