Nuffnang

Tuesday, October 25, 2011

Zakat kita diiktiraf dunia



Posted on October 25, 2011, Tuesday


Sistem pembayaran zakat menerusi TBS menjadi contoh negara lain, kata Abg Jo

KUCHING: Sistem pembayaran zakat negeri ini menerusi Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) mendapat pengiktirafan antarabangsa dan menjadi contoh negara lain.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang juga seorang daripada ahli pengasas TBS telah menceritakan bagaimana keperluan untuk sistem itu dilaksanakan di negeri ini.

“Kita menyedari pada mulanya bahawa terdapat keperluan untuk satu sistem di mana wang zakat boleh diambil secara sistematik dan bagaimana ia diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

“Terdapat banyak cabaran pada mulanya tetapi saya gembira bahawa TBS kini mendapat pengiktirafan sebagai satu sistem yang menyeluruh dalam kutipan wang zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan van jenazah sumbangan Bank Simpanan Nasional kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di Bank Simpanan Nasional (BSN) Satok semalam.

Pada masa yang sama beliau menjelaskan bahawa sistem kutipan wang zakat di negeri ini menjadi contoh di Australia dan New Zealand, yang menyatakan betapa berjayanya sistem ini.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari memuji langkah yang diambil oleh BSN dan menggesa langkah tersebut menjadi contoh kepada pihak lain di negeri ini.

Terdahulu, Pengarah BSN Negeri Zawawi Nor dalam ucapannya berkata, pada tahun ini sahaja BSN memperuntukkan RM4.2 juta bagi membeli van jenazah untuk diberikan di seluruh negeri, pembayaran wang zakat, bantuan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.

Selain itu, beliau menambah bahawa BSN akan terus memastikan perkhidmatan dapat diberikan kepada masyarakat luar bandar terutama di Sarawak dan Sabah.

Turut hadir Pengerusi LAKMNS Tan Sri Datuk Amar Bujang Nor.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites