Nuffnang

Monday, September 10, 2012

Keahlian SABERKAS Dipertingkatkan di Pantai Damai


Gerakan untuk menarik lebih ramai belia di Pantai Damai hendaklah dicontohi. Ini kerana SABERKAS merupakan pentas yang sihat dan sesuai untuk golongan belia mencari identiti di samping memberi semula kepada masyarakat melalui kegiatan amal dan aktiviti beriadah yang sihat!

Remaja yang tidak berpersatuan mudah terpengaruh dengan anasir jahat dan bakal terjerumus ke lembah yang hina.

Semoga lebih banyak lagi cawangan SABERKAS yang turun padang untuk menarik minat golongan belia dan remaja untuk menyertai SABERKAS.

Keahlian dan unit SABERKAS akan dipertingkat
by Mahathir Haroun. Utusan Borneo 10 September 2012 Isnin


SIMBOLIK: Dr Abdul Rahman bersama tetamu-tetamu lain memotong pulut kuning pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri SABERKAS Cawangan Pantai Damai.

KUCHING: Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Pantai Damai menyasarkan untuk menubuhkan keseluruhan 35 unit SABERKAS di kawasan perkampungan dan taman perumahan di bawahnya sehingga penghujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setakat ini terdapat 22 unit ditubuh dan ahli persatuan peringkat cawangan sedang berusaha untuk meningkatkan keahlian dan penubuhan unit baharu.

“Pada masa ini setiap unit mempunyai 200 ahli dan kami akan berusaha dalam masa terdekat, bilangan unit baharu SABERKAS dipertingkatkan untuk membolehkan pertubuhan terus relevan di kalangan belia,” katanya pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri SABERKAS Cawangan Pantai Damai di sini, semalam.

Menurutnya, usaha menambah bilangan keahlian dan unit baharu bukan hanya dilakukan di kawasannya malah turut merangkumi kawasan lain kerana kepimpinan persatuan berhasrat untuk melihat lebih ramai generasi muda terlibat dengan aktiviti berpersatuan.

“Presiden SABERKAS (Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg) mahu melihat belia di negeri ini terlibat dengan persatuan agar mereka mendapat manfaat sewajarnya selain tidak terabai,” ujarnya.

Dr Abdul Rahman yang juga setiausaha penganjur SABERKAS menjelaskan, SABERKAS pada masa ini mempunyai 129,000 ahli di seluruh negeri.

Mengulas mengenai keengganan golongan belia menyertai persatuan, beliau berkata keadaan itu banyak didorong peredaran zaman kerana mereka lebih berminat bergaul menerusi laman sosial.

“Bagi mereka (belia) tanpa persatuan mereka masih boleh berkumpul bersama kawan-kawan. Sepatutnya mereka sedar tentang kepentingan berpersatuan.

“Banyak faedah dan manfaat akan mereka perolehi jika menyertai persatuan,” jelasnya.

Menurutnya lagi, golongan terbabit sepatutnya diajak lebih awal untuk menyertai persatuan bagi mengelak mereka terdedah dengan gejala tidak sihat.

“Saya berharap generasi muda hari ini dapat terlibat secara aktif dengan persatuan berdaftar kerana banyak aktiviti diadakan,” kata Dr Abdul Rahman.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites