Nuffnang

Friday, September 14, 2012

Mutiara Beri Peluang Untuk Kakitangan Swasta Memiliki Rumah!

Syarikat pinjaman dan pajakan perumahan milik penuh Suruhanjaya Perumahan Sarawak (HDC) mungkin beroperasi pada awal tahun 2013.

Ia akan menyediakan kemudahan pinjaman alternatif bagi yang tidak layak untuk meminjam di institusi kewangan tetapi bekerja di swasta atau bekerja sendiri.

Perincian sedang dijalankan sebelum syarikat Mutiara ini mula beroperasi. 
Mutiara sasar operasi suku pertama 2013

by Patricia Gari. Utusan Borneo 14 September 2012, Jumaat
HDC masih teliti perincian syarikat pinjaman dan pajakan perumahan: Abang Johari
KUCHING: Syarikat pinjaman dan pajakan perumahan milik penuh Perbadanan Pembangunan Perumbahan (HDC), Mutiara Mortgage & Finance Sdn Bhd akan mula beroperasi selewat-lewatnya suku pertama tahun depan.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, syarikat itu akan menyediakan pinjaman perumahan kepada pemohon yang tidak layak mendapatkan pinjaman institusi kewangan seperti bank khususnya mereka bekerja dengan syarikat swasta dan bekerja sendiri.

Ketika ini, katanya, HDC masih meneliti perincian syarikat berkenaan terutamanya melibatkan modal awam iaitu kadar faedah dikenakan kepada peminjam sebelum ia beroperasi sepenuhnya nanti.

“Kalau boleh kita mahu Mutiara Mortgage & Finance beroperasi 1 Januari tahun hadapan atau selewat-lewatnya suku pertama tahun hadapan. Syarikat ini adalah milik penuh HDC tetapi akan diuruskan secara berasingan.

“Kita ada sebuah unit yang menyediakan kemudahan pinjaman kepada pembeli rumah kos rendah di negeri ini tetapi tiada sistem untuk membolehkan peminjam membayar ansuran khususnya yang tertunggak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran perbadanan itu di Wisma Sultan Tengah di sini, semalam.

Beliau menambah dengan penubuhan syarikat itu, HDC boleh memberi pinjaman dan meminta balik bayaran secara profesional seperti dilakukan oleh syarikat Borneo Mortgage, sekali gus mengatasi masalah tunggakan bayaran yang dialami perbadanan itu.

Disebabkan tiada sistem bayaran balik pinjaman yang profesional, katanya, setakat ini HDC terpaksa menanggung bayaran tertunggak sebanyak RM40 juta.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, pihaknya memerlukan modal permulaan antara RM5 dan RM10 juta.

“Kita berharap dengan tertubuhnya Mutiara Mortgage & Finance kita dapat membantu mereka yang berpendapatan rendah memiliki rumah sendiri dan pada masa sama, dapat mengumpul balik bayaran pinjaman.

“Tindakan mengikut prosedur seperti tertakluk dalam perjanjian antara peminjam dan syarikat akan dikenakan antaranya menarik balik rumah jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman mereka,” jelasnya.

Mengenai isu rumah terbengkalai, Abang Johari berkata kementerian akan mengkaji semula ordinan perumahan negeri dalam usaha mengatasi masalah projek terbengkalai yang berpunca daripada kontraktor.

Beliau berkata, kemungkinan besar juga kementerian perlu memperkenalkan enakmen baharu untuk memperketatkan lagi Ordinan Perumahan sedia ada.

“Terdapat beberapa projek perumahan kos rendah terbengkalai iaitu di Batu Gong Siburan, Surabaya dan di kawasan Limbang. Pelaksanaan projek ini agak lewat dan kita telah mengarahkan pegawai HDC membuat pemantauan lebih ketat kepada kontraktor terbabit,” ujarnya.

Beliau menambah setakat ini pihaknya telah menyenarai hitam tiga syarikat kontraktor kerana tidak mengikut spesifikasi dan pelan kejuruteraan yang ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menasihati kakitangan perbadanan mahupun kementerian agar sentiasa menjaga dokumen projek perumahan agar tidak sampai ke tangan pihak tertentu untuk dimanipulasikan.

Abang Johari berkata kes yang berlaku melibatkan projek perumahan di Muara Tebas seharusnya tidak berlaku kerana dokumen itu adalah dokumen rasmi kerajaan dan merupakan pelan awal belum muktamad yang boleh berubah.

“Kalau orang lihat dokumen itu dan ingat itu pelan akhir, ia boleh mendorong kepada kontroversi.

“Tidak tahu ia boleh sampai ke tangan pihak tertentu mungkin daripada konsultan, pekerja dalaman. Saya cuma mahu memberi peringatan. Jangan berbuat demikian kerana ia mungkin pelan awal yang bukan muktamad,” tegasnya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites