Nuffnang

Thursday, January 31, 2013

PBB Satok umum jentera pilihan raya, yakin akan kekalkan kerusi Petra Jaya


Utusan Borneo

KUCHING (24 Jan): Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok mengumumkan penubuhan jentera pilihan rayanya serta yakin akan mengekalkan kerusi Parlimen Petra Jaya dengan sokongan padu ahli dan penyokongnya.

Menurut Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, sebagai sebahagian daripada kawasan Parlimen Petra Jaya jenteranya sudah siap bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Kami telah melantik Datuk Daud Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya bagi kawasan Parlimen Petra Jaya sambil dibantu oleh Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai timbalannya sementara saya sendiri akan bertugas sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Peringkat Negeri bagi PBB di samping membantu parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional,” jelas Abang Johari selepas menghadiri Mesyuarat Exco PBB N8 Satok semalam.

Beliau berkata Parlimen Petra Jaya yang merangkumi Satok, Tupong dan Samariang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan yakin pengundi di kawasan tersebut akan terus menyokong usaha pembangunan infrastruktur, sosial dan pelajaran oleh PBB selama ini.

“Kami yakin dapat mengekalkan kerusi Parlimen Petra Jaya dengan majoriti yang besar namun kami tidak boleh leka dan sentiasa berusaha seperti menghadapi peperiksaan penting,” ujarnya.

Menurut Abang Johari, pihak pembangkang tidak berpeluang membangkitkan isu-isu di kawasan Parlimen tersebut kecuali isu yang ‘diimport’ yang langsung tidak berkaitan bagi mengelirukan para pengundi.

Di samping itu beliau turut menjelaskan penghijrahan penduduk ke kawasan Petra Jaya telah membantu kenaikan peratusan pengundi PBB.

“Jumlah pengundi di Petra Jaya kini mencecah 40,000 disebabkan penghijrahan penduduk terutama di kawasan Tupong yang kini pesat membangun,” katanya.

Selain itu Abang Johari berkata program pembangunan di kawasan Petra Jaya berjalan dengan baik disamping mengumumkan penerimaan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menaik taraf jalan-jalan utama di situ.

“Sementara itu projek mencantikkan kawasan Satok lama yang dianggarkan bernilai RM1 juta oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) turut dilihat dapat membantu menjana ekonomi penduduk sekeliling di samping menjadi tarikan pelancong,” ujarnya

Taman tersebut akan menggunakan konsep pasar borong yang diilhamkan dari luar negara dengan mengunakan ‘caravan’ mudah alih dan mesra alam yang akan diadakan setiap hujung minggu dijangka akan menarik para pengunjung dari dalam dan luar negeri.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites