Nuffnang

Thursday, January 31, 2013

Saberkas Rancang Pewujudan Makmal Berteknologi Tinggi Di Samarahan



KUCHING, 25 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) akan mewujudkan sebuah makmal yang juga pusat latihan di kawasan Paloh di Bahagian Samarahan sebagai platform untuk melatih anggotanya menjadi usahawan pertanian moden.

Presiden Saberkas Datuk Amar Abang Johari Tun Openg pada Jumaat berkata pusat itu dijangka siap menjelang Oktober tahun ini untuk melatih anggota terpilih dari organisasi dalam bidang hidroponik dan bioteknologi.

"Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri secara dasarnya meluluskan peruntukan RM9 juta untuk menubuhkan kemudahan makmal berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Saberkas di sini.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM2 juta akan dibelanjakan bagi infrastruktur makmal yang turut merangkumi kemudahan asrama, kawasan pejabat, bekalan air dan elektrik serta kemudahan asas lain.

"Kami turut memutuskan untuk menjadikan kawasan di Pulau Bruit di Semop (tengah Sarawak) sebagai pusat penyelidikan lanjutan yang menjalin kerjasama dengan pusat di Paloh," katanya.

Abang Johari berkata Saberkas akan bekerjasama dengan Mimos Berhad dan Perda-Tech, sebuah institut latihan kemahiran lanjutan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menyediakan latihan kejuruteraan pertanian.

Beliau berkata Mimos Berhad akan turut terlibat dalam menyediakan kepakaran bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang akan dilaksanakan di pusat berkenaan.

Memandangkan penekanan akan diberi kepada pertanian berteknologi tinggi, beliau berkata pusat itu akan mengambil 10 pelatih sebagai perintis projek itu dan mereka perlu mempunyai kelulusan minimum peringkat diploma dalam bidang berkaitan.

"Projek ini akan dijalankan berterusan sejajar dengan hasrat kami untuk menghasilkan belia berkelayakan terutamanya bagi meneroka peluang dalam pasaran halal yang membolehkan mereka melibatkan diri dalam penghasilan produk bernilai tambah bagi pasaran antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites