Nuffnang

Thursday, January 31, 2013

Pengundi Di Petra Jaya Diminta Tidak Terpengaruh Isu Luar - Abang Johari


KUCHING, 23 Jan (Bernama) -- Pengundi di kawasan Parlimen Petra Jaya, di sini dinasihatkan tidak terpengaruh dengan isu luar kawasan yang akan dimainkan pembangkang bagi mengalih pandangan mereka kepada pembangunan yang dijalankan kerajaan sedia ada di kawasan tersebut.
Timbalan Presiden Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata isu seperti perhimpunan Bersih dijangka akan digunakan, namun percaya isu tersebut tidak relevan dengan pembangunan yang dibawa pemimpin Barisan Nasional (BN) di kawasan itu.

"Mereka akan mengimport isu luar dan berharap rakyat di Petra Jaya percaya dan mengikuti mereka (isu), tetapi rakyat di sini berpendidikan dan tahu apa yang betul dan apa yang salah. Bagi kami (PBB) apa yang penting sekarang ialah kita akan terus membawa pembangunan di Petra Jaya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco PBB kawasan Satok di sini Selasa malam.

Turut hadir anggota Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusuf.

Mengulas persediaan pilihan raya Parlimen Petra Jaya, Abang Johari yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Satok berkata jentera pilihan raya bagi kawasan Parlimen Petra Jaya telah ditubuhkan dan akan diketuai Adun Tupong, Datuk Daud Abdul Rahman.

"Antara agenda mesyuarat malam ini, kita tubuhkan beberapa jentera pilihan raya di peringkat cawangan dalam Parlimen Petra Jaya iaitu di DUN Satok, Tupong dan Samariang.

"Parlimen Petra Jaya merupakan kubu kuat BN sejak dahulu lagi, saya yakin berdasarkan keputusan pilihan raya lalu, pengundi akan terus menyokong kita kerana banyak lagi program pembangunan akan kita lakukan di kawasan ini," katanya sambil menambah Parlimen Petra Jaya kini mempunyai kira-kira 40,000 pengundi berdaftar.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites