Nuffnang

Monday, May 13, 2013

Tingkatkan Ilmu BAHARU DALAM JKNS

Warga JKNS digalakkan untuk meningkatkan ilmu baharu demi kemajuan ilmu perubatan di Sarawak.  Beliau juga menasihatkan agar pendekatan pro aktif diutamakan dalam menangani penularan penyakit.

Semoga lebih banyak penemuan saintifik dapat dipelopori oleh warga JKNS kita.

Terokai ilmu-ilmu baharu, kata Abang Johari

by Mastura Ismail. Posted on May 13, 2013, Monday

Saranan kepada warga JKNS untuk tingkat perkhidmatan, tangani penularan penyakit

LIMBANG: Warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) disaran menerokai ilmu-ilmu baharu bagi meningkatkan perkhidmatan kesihatan serta bersedia menghadapi cabaran menangani penularan penyakit.

Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata peranan JKNS amat diperlukan dalam memastikan kesihatan rakyat berada dalam keadaan baik.

Oleh itu katanya, mereka perlu ada ilmu yang tinggi dalam bidang kedoktoran dan pakar-pakar bertauliah yang mendatangkan faedah dan impak mendalam kepada masyarakat.

“Dalam memberi perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, JKNS perlu ada ilmu tinggi dalam menerokai ilmu-ilmu baharu untuk berdepan dengan cabaran kewujudan penyakit baharu, selain penyakit sosial lain,” katanya pada penutupan Majlis Tilawah Al-Quran Ke-36, Pertandingan Nasyid dan Seminar Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam di Dewan Suarah Limbang di sini semalam.

Turut hadir isterinya Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail dan isterinya Dayang Maimunah Daud.

Kenamaan lain termasuk Timbalan Pengarah Kesihatan (Pengurusan) merangkap Pengerusi Induk Majlis Tilawah Al-Quran Ke-36 Ahmad Abdul Hamid, Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Tilawah Al-Quran Ke-36 Dr Nurliza Jusoh dan Presiden PERKIP Negeri Azahari Sobet.

Abang Johari berkata, Sarawak mempunyai sumber yang baik dan kajian perlu dibuat untuk mempelopori bidang bioteknologi dan kesihatan untuk memberi perkhidmatan terbaharu kepada masyarakat.

Katanya Islam amat mementingkan soal-soal berteraskan ilmu yang dapat mewujudkan ilmu dan falsafah yang mendatangkan kemakmuran kepada manusia.

“Ilmu hendaklah diguna pakai untuk kepentingan diri, masyarakat dan negara.

“Allah akan meningkatkan darjat orang yang beriman dan mempunyai ilmu pengetahuan,”tambahnya.

Beliau menjelaskan, ilmu baharu perlulah didalami dan diaplikasi untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Justeru katanya, ilmu pengurusan yang diamalkan untuk kepentingan organisasi dan negara amat penting kerana mampu membentuk sebuah pemerintahan mantap yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

“Aspek pengurusan negara bukannya mudah dan memerlukan ilmu yang cukup untuk mentadbir negara yang mempunyai masyarakat majmuk,” ujarnya.

Abang Johari berkata sistem pemerintahan Islam yang adil kepada rakyat yang dijalankan oleh Rasulullah melalui pembentukan Piagam Madinah merupakan pemerintahan terbaik dan perlu menjadi rujukan kepada umat Islam.

Piagam Madinah antara lain menekankan aspek keselamatan, undang-undang, perlindungan dan kesetiaan yang berjaya menguruskan masyarakat pelbagai kabilah.

“Negara Malaysia juga mempunyai perkara-perkara yang terkandung dalam Piagam Madinah kerana mampu mentadbir rakyat yang terdiri pelbagai kaum dan agama,” jelasnya.

Beliau juga mahu umat Islam mengukuhkan khidmat dalam berbakti kepada rakyat dan negara sekali gus mengelak perselisihan faham.

“Jika berlaku perselisihan faham, rujuklah dengan ajaran agama Islam.

“Inilah cara kita jika diberi amanah mentadbir negara, kita harus tadbir dengan baik dan mengelak sebarang keadaan yang boleh mencetus huru-hara,” katanya.

Pada program itu, Awang Sahferi Awang Seh dari Sarikei muncul johan kategori qari manakala Rosnani Junaidi dari Betong johan kategori qariah.

Manakala kumpulan Shoutul Hikmah daripada PERKIP Miri mengungguli pertandingan nasyid.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites