Nuffnang

Monday, April 4, 2011

Abang Johari Galak Teknologi Hijau

Abang Johari menggalak pemaju perumahan di kawasan Satok untuk menggunakan teknologi hijau.  Ini untuk mengelakkan sisa-sisa pembuangan dan juga menjaga dan menguruskan alam sekitar agar menjadi lebih sihat untuk didiami.  
 
 
Beliau berkata demikian ketika menghadiri sidang media Hari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Bersama Pelanggan semalam.  Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan sekarang amat menitikberatkan kualiti air sungai khususnya Sungai Sarawak yang menjadi pemacu kepada pelbagai ekonomi di sekitar Satok.  
 

Beliau juga menerangkan bahawa pengurusan sungai adalah penting untuk memastikan ikan yang dimakan adalah selamat dan tidak tercemar.  Di samping itu juga kerajaan juga giat melaksanakan projek pembentungan air untuk merawat air sungai dan mengalirkan sisa-sisa buangan dengan sistematik dan selamat.   Abang Johari juga menyatakan sekiranya pengurusan sistem sungai dijalankan secara teratur maka tidak mustahil kelak Kuching akan menjadi seperti bandar Venice di Itali.  


04 April, 2011 17:11 PM

Kerajaan Negeri Laksana Strategi Pastikan Sungai Sarawak Terpelihara


KUCHING, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Sarawak sedang berusaha memastikan kualiti air Sungai Sarawak terjamin kerana ia dikenal pasti sebagai antara pemacu utama 'kekayaan ekonomi' negeri ini.

Menteri Perumahan Dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, walaupun Sarawak dikurniakan dengan kekayaan sumber semulajadi seperti sungai, pasir silika, minyak dan gas, namun pengurusan sungai dititik-beratkan bagi memastikan ia kekal terpelihara.

"Ini adalah penting untuk rancangan jangka panjang kita, kerana bila kita mampu menguruskan kualiti air dengan cekap, Sungai Sarawak akan menjadi bersih, ikan yang hidup pun berkualiti, yang tak makan sisa-sisa barangan yang cemarkan kesihatan kita.

"Walaupun ini memakan belanja besar, kita harus bersyukur kerana perhubungan erat kita dengan kerajaan persekutuan menyebabkan mereka banyak membantu dari segi kaedah dan dana untuk membolehkan kita menguruskan sistem yang kita telah rancang dan laksanakan," katanya pada sidang media sempena Hari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Bersama Pelanggan di sini pada hari Isnin.

Menurut beliau, kerajaan negeri sedang melaksanakan fasa pertama projek pembetungan di beberapa kawasan di Kuching di mana projek ini telah menelan belanja sebanyak RM400 juta.

Abang Johari berkata, sistem ini mampu mengalirkan sisa-sisa buangan dari bandaraya ke pusat rawatan sebelum dialirkan ke sungai, dan ia akan dilaksanakan di kawasan lain secara berperingkat.

"Kita sedang mengorek dan menempatkan sistem pembetungan kita yang akan menguruskan air dan juga 'air kotor'...ia akan dirawat dan akhirnya akan beri pulangan yang besar dalam kita pertahankan kualiti bandar kita," katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata, kementerian yang diterajuinya sedang berusaha menggalakkan penggunaan teknologi hijau dalam sektor lain terutamanya dalam bidang perumahan.

"Selaku menteri, saya juga sarankan kepada pemaju perumahan untuk ambil kira pentingnya teknologi hijau. Pertama tak ada bahan sisa...kalau dulu kita guna banyak kayu dan simen, dan simen pula boleh cemarkan tempat kerja, jadi kita nak galakkan kepada pemaju gunakan teknologi terkini yang tak keluarkan banyak bahan sisa," katanya yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok.

Abang Johari berkata, jika segala perancangan berjalan dengan baik, tidak mustahil bandar Kuching akan jadi lebih indah daripada Venice, Itali.

Mengulas mengenai senarai calon-calon yang diumum oleh Barisan Nasional (BN) semalam, Abang Johari yang juga Timbalan Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, calon-calon tersebut telah dipastikan bukan sahaja mempunyai latar belakang yang bagus, tetapi juga mempunyai kebijaksanaan untuk mengurus tadbir kawasan masing-masing.

Katanya mentadbir sebuah negara bukannya mudah kerana perlukan pengetahuan dan pengalaman bagi memastikan semua kaum diberi perhatian yang adil dan saksama.

Semalam, Ketua Penerangan PBB Tan Sri Adenan Satem mengumumkan senarai penuh calon-calon yang akan bertanding bagi pilihan raya negeri kali ini kecuali nama calon bagi kerusi Ba'kelalan.

Daripada senarai tersebut, 35 calon adalah daripada PBB, 19 dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sembilan dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan lapan dari Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Hari penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 6 April manakala pengundian pada 16 April.

-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites