Nuffnang

Friday, April 1, 2011

Satok Membangun Di Bawah Barisan Nasional


Satok Bakal Muncul Hab Pelancongan Terkemuka Kuching
Oleh Mohd Noor Firdaus Mohd Azil

KUCHING, 30 Mac (Bernama) -- Satok yang merupakan pusat perniagaan dan kewangan malah nadi pertumbuhan ekonomi bandar raya Kuching yang menjadi tumpuan ribuan pengunjung untuk membeli belah terutama di Pasar Minggu, bakal muncul hab pelancongan terkemuka. Dahulu, penduduk di Satok yang majoritinya Melayu, hanya menangkap ikan, menoreh getah dan berkebun secara kecil-kecilan.

Namun segalanya berubah sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Satok diwakili Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada 1983. Kawasan tersebut pesat berkembang dengan kewujudan pusat membeli belah, pejabat  perniagaan dan komersial, serta bank-bank.

Satok juga telah menghasilkan pemimpin-pemimpin berkaliber Sarawak seperti Abang Johari sendiri, Yang Dipertua Negeri yang pertama Tun Abang Openg,  Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Tan Sri Adenan Satem,  bekas senator Dayang Madinah Tun Abang Openg, dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen.  Dan tradisi itu berterusan apabila banyak anak tempatan kawasan  Satok menjawat pelbagai jawatan tertinggi baik dalam kerajaan mahupun swasta.
Menurut Pemanca Daerah Kuching Rosli Sahari, antara faktor utama yang menyumbang ke arah kepesatan pembangunan kawasan itu adalah sumbangan tenaga kepakaran dan idea oleh anak jati Satok.  Beliau berkata, penerapan modal insan dan keberkesanan sistem pendidikan terhadap anak jati di sini menyebabkan mereka mempunyai rasa bertanggungjawab untuk membangunkan tempat tanah tumpahnya darah mereka.

"Di sini kita amat menekankan pendidikan, dan di sini terdapat sekolah-sekolah berkredibiliti tinggi dalam menghasilkan pelajar berkualiti seperti Sekolah Menengah St Theresa, Sekolah Menengah Bantuan St Joseph dan Sekolah Menengah Chung Hwa.

"Dan generasi ini yang kemudiannya menjawat jawatan seperti jurutera, arkitek, pegawai-pegawai tinggi kerajaan mempunyai sifat lebih cenderung untuk membangunkan kawasan sendiri sehingga akhirnya menjadi faktor pembangunan
kawasan Satok," katanya kepada Bernama.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa kejayaan pemimpin-pemimpin rakyat yang berasal dari Satok membawa kemajuan telah menjadi contoh, ikutan serta idola kepada generasi seterusnya untuk memastikan kemajuan yang dikecapi akan berterusan.

Akhir-akhir ini, Satok mula dicanangkan sebagai hab pelancongan bagi bandaraya Kuching.  Mengulas perkara tersebut, Rosli berkata, antara inisiatif yang  dirangka
ialah mewujudkan perkhidmatan teksi air di sepanjang Sungai Sarawak serta menggiatkan lagi usaha memelihara warisan seperti rumah tradisional, adat budaya dan makanan tradisi.

"Kerajaan negeri telah memperindahkan kawasan dengan membina tebing konkrit sepanjang Sungai Santubong melalui kawasan Satok, dan bagi pelancong
yang menaiki teksi air, mereka akan dibawa melihat industri-industri  tempatan,"
katanya.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok Mohamad Abdul Rahman berkata, Satok mempunyai potensi pelancongan yang sangat  luas, dan persatuan itu giat memperkasa dan menonjolkan keistimewaan Satok di  persada nasional dan antarabangsa.   

"Nadi pertumbuhan Satok adalah Sungai Santubong dan Sungai Sarawak kerana pada zaman dahulu, sungai tersebut menjadi laluan utama penjajah British dan Jepun, malahan orang-orang dari Brunei yang datang ke sini, seterusnya menjadikan Satok berkembang dengan maju," katanya.

"Kekayaan sejarah ini di samping warisan budaya tempatan menjadi potensi utama bagi membangunkan pelancongan Satok," katanya yang juga Ketua Penerangan PBB Cawangan Satok.

Beliau berkata pembangunan Satok mendapat tumpuan Abang Johari, yang  juga dikenali sebagai "Abang Jo", selaku wakil rakyat yang juga Menteri  Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak.

Pada pilihan raya negeri yang lepas, Abang Johari mempertahankan kerusinya dengan majoriti sebanyak 2,798 menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Jolhi. Satok mempunyai pengundi berdaftar sebanyak 10,835, terdiri daripada kaum Melayu sebanyak 76.53 peratus, Cina (19.23 peratus), Iban (3.56
peratus), kaum-kaum lain (0.67 peratus). Penamaan calon bagi pilihan raya negeri Sarawak ke-10 ditetapkan  pada 6 April manakala pengundian pada 16 April.
-- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites