Nuffnang

Monday, November 21, 2011

Gong Untuk Tarik Pelancong Ke Sarawak!!!

KETIBAAN: Gramong tiba di Redeems Centre bagi acara Festival Gong Sarawak 2011 diiringi oleh Salang dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli


BAU: Festival Gong Sarawak merupakan satu lagi produk seni dan budaya yang diyakini dapat membantu usaha ke arah menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, jika dijadikan sebagai program tahunan yang berterusan, ia mampu mempertingkatkan sektor pelancongan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, ibarat aur dengan tebing, pelancongan dan seni budaya tempatan haruslah seiring apatah lagi bumi Sarawak paling banyak mempunyai suku kaum dan etnik yang kaya dengan kepelbagaian seni budaya.

“Kita berharap Festival Gong Sarawak ini akan menjadi landasan untuk memperkenalkan Redeems Centre, Kampung Apar Singai, Bau sebagai salah satu pusat pelancongan selain Kampung Budaya Sarawak.

“Bagi maksud ini, hala tuju pembangunan memajukan sektor kebudayaan memerlukan kesedaran serta kerjasama dari pelbagai pihak.

“Masyarakat setempat juga harus berperanan membantu usaha untuk menjadikan ‘Redeems Centre’ ini sebagai pusat kebudayaan yang lebi efisien sekali gus meningkatkan produktiviti kampung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pelancongan (Acara Tempatan dan Produk) Datuk Gramong Juna sempena perasmian Festival Gong Sarawak 2011, semalam.

Festival julung kalinya itu merupakan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia.

Sebanyak 13 buah kumpulan dengan peserta seramai 150 orang mengambil bahagian dalam festival tiga hari ini bermula 18 hingga 20 November bertempat di Redeems Centre, Kampung Apar, Singai di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang dalam ucapannya berkata penganjuran festival ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap seni budaya.

Melalui festival ini, katanya, rakyat mahupun pelancong asing akan dapat melihat dengan lebih dekat lagi kepelbagaian jenis alatan muzik gong yang digunakan oleh masyarakat etnik di negeri ini, Sabah, Semenanjung Malaysia termasuk Brunei dan Indonesia.

“Ini merupakan sesuatu yang amat menarik dalam usaha kita menyemarakkan seni dan budaya negara tanpa mengira kaum dan sempadan geografi,” ujarnya.

Melihat daripada aspek pemeliharaan khazanah warisan negara, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tiga hari berlangsungnya festival ini.

Selain daripada persembahan kumpulan-kumpulan jemputan dan demonstrasi permainan tradisional, orang ramai yang hadir juga berpeluang melihat dengan lebih dekat lagi kepelbagaian bentuk-bentuk gong yang dipamerkan.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites