Nuffnang

Thursday, November 24, 2011

Gunakan satelit promosi pelancongan


by Jeremy Lanson. Posted on November 24, 2011, Thursday


KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mencadangkan agar program pelancongan di negeri ini disebarkan melalui komunikasi media satelit.
Abang Johari
Menurutnya, melalui kaedah tersebut, produk termasuk budaya dan tarikan pelancongan dapat dipromosikan sekali gus mampu meningkatkan lagi potensi industri pelancongan di negeri ini.

“Sebagai contoh, pada kejohanan ‘wakeboard’ baru-baru ini, kita telah mendapat liputan yang meluas di mana pihak penganjur telah mengambil gambar dan video yang kemudiannya disebarkan melalui media satelit.

“Jelas sekali kaedah tersebut amat berkesan terutama untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini, malah ia juga lebih murah daripada kaedah lain seperti menganjurkan persidangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kalendar Pelancongan 2012, di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agensi pelancongan di negeri ini agar lebih aktif lagi dalam mempromosikan produk pelancongan.

“Kita juga mempunyai banyak pasar raya dan pusat konvensyen yang setaraf dengan apa yang ada di Kuala Lumpur, tetapi di sini terdapat banyak lagi benda yang tidak dapat diperolehi di tempat lain, cuma kita tidak menguruskannya dengan baik.

“Justeru, semua pihak terutama agensi pelancongan perlu bijak dalam memainkan peranan mereka terutama dalam mempromosikan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya , terdapat tiga jenis kumpulan pelancong yang perlu diambil perhatian iaitu pelancong ‘backpackers’, pelancong biasa dan pelancong profesional.

“Kita mahu mereka mendapat pengalaman terbaik sepanjang berada di sini agar mereka nanti akan dapat menyebarkan atau mempromosikan produk pelancongan yang ada di negeri ini di tempat asal mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa kementeriannya menyasarkan memperolehi peningkatan jumlah pelancong menjelang 2013 sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Sarawak melalui pembentukan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa kementeriannya telah merancang pelbagai aktiviti bersama pelbagai pihak termasuk negeri Sabah dan beberapa negara ASEAN.

Sebanyak 50 aktiviti pelancongan telah didaftarkan dalam kalendar pelancongan 2012 iaitu terdiri daripada sembilan acara destinasi, 11 acara kebudayaan, 18 acara sukan, empat festival dan lapan pameran.

Hadir sama pada pelancaran tersebut semalam ialah kedua-dua Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Gramong Juna, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites