Nuffnang

Sunday, November 27, 2011

Penerbangan Melaka - Kuching Akan Mengambil 1 Jam Sahaja??!!

Syabas di atas usaha Menteri Pelancongan Negeri yang sekali lagi membangunkan sektor pelancongan.  Kalau dilihat sistem penerbangan oleh Air Asia mahupun Firefly kini sudah mula berpihak kepada negeri pihak pembangkang!??  Hanya Selangor dan Pulau Pinang sahaja yang dihubungkan terus manakala kekerapan penerbangan juga semakin bertambah!!??  

Oleh itu tidak sia-sialah Kuching-Melaka harus memulakan langkah positif untuk menggalakkan sektor pelancongan di negeri BN juga!!???  Jangan dibiarkan sahaja pihak pembangkang bermegah dengan sejarah mereka yang diperolehi dengan menindas sejarah asal penduduk tempatan!!??  Tahniah dan syabas sekali lagi semoga hubungan erat antar kedua-dua bandaraya akan menjana lebih banyak lagi peluang perniagaan untuk faedah BN!!???
Abang Johari: Kerajaan akan kaji penerbangan terus Melaka-Kuching

Utusan Borneo Posted on November 27, 2011, Sunday

KUCHING: Sarawak akan mengkaji kerjasama dengan kerajaan Melaka berhubung penerbangan terus dari Melaka ke Kuching, dengan menghantar pegawainya secepat yang mungkin.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, memandangkan cadangan kerjasama berkenaan pernah dirancangkan sebelum ini, proses perbincangan dijangka dapat dilakukan cepat.

“Memang dahulu kita ada bercadang mengadakan penerbangan terus Melaka-Kuching namun pada masa itu, lapangan terbang Melaka kecil, tetapi hari ini lapangan terbang mereka telah diperbesarkan dan mereka mempunyai penerbangan sendiri.

“Kementerian amat mengalukan kerjasama ini dan akan mengkajinya. Kita juga menghantar pegawai ke Melaka untuk meninjau potensi ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan pelepasan Jelajah Borneo Bersama Ducati Multistrada di sini, semalam.

Menurut Abang Johari, persamaan sejarah kedua-dua negeri juga mampu mengukuhkan lagi hubungan antara Melaka dan Sarawak termasuk bidang pelancongan.

“Ia menjadi satu pelengkap kepada kita, Melaka ada tarikannya dan Sarawak ada tarikannya sendiri. Kita kena ingat bahawa antara Melaka dengan Sarawak ada persamaan dari segi sejarah,” tegasnya.

Bukan itu sahaja, kata beliau, kementerian juga berusaha untuk mengadakan pakej antara kedua-dua negeri terutamanya pelancong China, yang dilihat merupakan pelancong paling ramai ke Melaka.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesediaan kerajaan Melaka menjalin kerjasama dengan Sarawak untuk memajukan perhubungan udara iaitu penerbangan terus dari Melaka ke Kuching dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

Jumaat lepas, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam berkata ia pada masa yang sama memendekkan jangka masa penerbangan dari kedua-dua negeri, sebelum ini terpaksa singgah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Dengan penerbangan terus ini saya rasa kita mungkin boleh tiba dengan hanya satu jam sahaja berbanding dari KLIA ke Kuching memakan masa satu jam setengah.

“Tambahan potensi pelancongan di Sarawak amat baik dan saya amat mengalukan pelabur di negeri ini untuk bersama-sama melabur dalam perhubungan udara dengan Melaka,” katanya.

No Entri!!?? PBB Hormati Keputusan Rasmi SPDP: Abang Joe

PBB menghormati keputusan rasmi SPDP mengenai pemecatan Entri.  Keputusan yang dibuat pada Jumaat lepas memang mengejutkan dunia politik Sarawak?!!  Berhubungan dengan perkara demikian juga Presiden BN Sarawak akan bertemu dengan Majlis Tertinggi SPDP di atas tindakan disiplin yang dikenakan ke atas SPDP 5!!??
PBB tidak akan buka pintu kepada Entri: Abang Johari

Utusan Borneo on November 27, 2011, Sunday

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) tidak akan membuka pintu kepada Datuk Sylvester Entri Muran sebagai menghormati keputusan pucuk pimpinan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Demikian kata Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika diminta mengulas mengenai kesediaan PBB untuk menerima bekas Naib Presiden SPDP itu yang dipecat parti pada Jumaat lepas.

“Tidak. Kami perlu menghormati di kalangan parti komponen. Malahan, Tan Sri William Mawan (Presiden SPDP) telah membuat kenyataan jelas, yang harus kita hormati.

“Bagaimanapun, kita tidak mahu masuk campur dalam perkara ini, ini masalah mereka dan biarkan ia tenang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelepasan Jelajah Borneo Bersama Ducati Multistrada di sini, semalam.

Abang Johari yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, beliau yakin segala kekeruhan yang berlaku terhadap parti itu, pasti akan kembali pulih.

“Bagi saya, segala apa yang berlaku ini pasti akan pulih… itu yang saya rasakan,” tegas Menteri Pelancongan itu.

Jumaat lepas, Presiden SPDP mengumumkan Entri, seorang anggota SPDP 5 dipecat selain mengumumkan Naib Presiden Datuk Tiki Lafe, juga Ahli Parlimen Mas Gading tidak akan dicalonkan semula mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Mawan pada sidang media mengumumkan penyingkiran Entri menegaskan SPDP akan menentang usaha Entri menyertai parti komponen BN yang lain.

“SPDP akan menentang mana-mana parti komponen BN yang menerima Entri masuk,” katanya.

Friday, November 25, 2011

Terkini!!! Satok Fest 2011



Sukacita dimaklumkan bahawa Satok Fest 2011 untuk kali ke 5 akan diadakan pada 1-4 Disember 2011, di Kuching Waterfront. Untuk makluman semua, pelbagai barangan ada dijual pada harga yang istimewa. Saiful Malaysian Idol akan mengadakan persembahan live, Peragaan Fesyen merupakan acara terbaru menggatikan Ratu Mensia dan Satok Glam Pageant 2011 akan pemperkenalkan peragawati, promosi Teksi Sungei Sarawak. Datanglah beramai-ramai ke Satok Fest 2011 bersama keluarga, adik kakak dan kawan-kawan.

Tiada acara ratu cantik


by Jessica Jawing. Posted on November 25, 2011, Friday

KUCHING: Pesta Satok tidak akan menganjurkan acara berkaitan ratu cantik pada kali ini, termasuk Ratu Mensia yang merupakan sebahagian daripada pesta sebelum ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata sebaliknya ia akan digantikan dengan pertunjukan fesyen.

“Kita tidak adakan mengadakan sebarang acara berkaitan ratu tetapi pertunjukan fesyen bagi mengelakkan sebarang kontroversi, yang kini kita rasa masih berlaku,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Bagaimanapun jelasnya, perkara (kontroversi berkaitan pertandingan ratu) berkenaan sepatutnya tidak menjadi masalah di negeri ini.

Abang Johari berkata meskipun keputusan mengenai kontroversi itu belum lagi ditentukan tetapi beliau berharap ia dapat menjadi panduan bukan sahaja pertandingan ratu tetapi pertandingan seperti Kumang Gawai.

“Kita tidak ada masalah di sini, kenapa kita mahu wujudkan masalah.

“Misalnya di Sarawak ramai di kalangan rakan kita dari bangsa lain seperti Iban, Bidayuh dan sebagainya beragama Islam, patutkah kita melarang mereka memakai pakaian tradisional mereka (pertandingan Kumang Gawai)?,” katanya.

Namun katanya, kontroversi itu timbul kerana segelintir ahli politik yang mahukan sokongan daripada Muslim.

“Politik adalah politik tetapi ia juga perlu lebih praktikal,” tegasnya.

Pesta Satok diadakan dari 1 hingga 4 Disember ini dengan menggariskan pelbagai aktiviti termasuk seni, kebudayaan dan muzik.

Thursday, November 24, 2011

Kalendar Pelancongan 2012 senarai lebih banyak aktiviti menarik

Posted on November 24, 2011, Thursday


KUCHING: Kalendar Pelancongan 2012 menyenaraikan lebih banyak aktiviti menarik bagi meningkatkan lagi tarikan pelancongan di negeri ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, usaha tersebut adalah untuk meningkatkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini terutama sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Sarawak pada tahun 2013.

“Melalui kalendar ini, kita mengharapkan akan dapat menarik lebih ramai pelancong datang ke negeri ini iaitu dengan menyenaraikan lebih banyak aktiviti pelancongan yang berkisarkan kebudayaan dan produk tempatan.

“Lebih penting lagi, kita telah menyenaraikan lebih banyak aktiviti yang lebih kepada alam semula jadi terutama di taman-taman negara kita yang tidak terdapat di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kalendar Pelancongan 2012, di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini sema-lam.

Sebanyak 50 aktiviti pelancongan telah disenaraikan dalam kalendar pelancongan 2012 iaitu terdiri daripada sembilan acara destinasi, 11 acara kebudayaan, 18 acara sukan, empat festival dan lapan pameran.

Antara aktiviti yang disenaraikan dalam ketegori kebudayaan ialah Pesta Irau Aco Lun Bawang pada 31 Mei hingga 2 Jun, Hari Bung Bratak pada 1 Mei, Apple Picking (Ba’Kelalan) pada 6 April, Pesta Benak (Sri Aman) pada 13 hingga 16 April, Pesta Kaul (Mukah) pada 21 hingga 29 April dan Pesta Bertuntung (Satok) pada 25 Ogos.

Manakala di bawah kategori sukan ialah Safari Baleh (Kapit), pada 5 hingga 8 April, Cabaran Motocross (Kota Samarahan) pada 23 Jun dan Jong Regatta (Bau) pada 20 hingga 30 Oktober.

Kategori Festival pula menyenaraikan Christmas Carolling (Kuching), Perarakan Hari Krismas (Miri) pada bulan Disember dan Pertandingan Sumpit dan Ngajat serta Pertunjukan Hari Gawai (Kuching) pada 9 dan 10 Jun.

Selain itu, masih banyak lagi aktiviti pelancongan yang telah disenaraikan dalam kalendar tersebut.

Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut bolehlah menghubungi Kementerian Pelancongan di talian 082-319309 atau Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) di talian 082-423600

Gunakan satelit promosi pelancongan


by Jeremy Lanson. Posted on November 24, 2011, Thursday


KUCHING: Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mencadangkan agar program pelancongan di negeri ini disebarkan melalui komunikasi media satelit.
Abang Johari
Menurutnya, melalui kaedah tersebut, produk termasuk budaya dan tarikan pelancongan dapat dipromosikan sekali gus mampu meningkatkan lagi potensi industri pelancongan di negeri ini.

“Sebagai contoh, pada kejohanan ‘wakeboard’ baru-baru ini, kita telah mendapat liputan yang meluas di mana pihak penganjur telah mengambil gambar dan video yang kemudiannya disebarkan melalui media satelit.

“Jelas sekali kaedah tersebut amat berkesan terutama untuk mempromosikan pelancongan di negeri ini, malah ia juga lebih murah daripada kaedah lain seperti menganjurkan persidangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Kalendar Pelancongan 2012, di Pusat Media Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.

Selain itu, beliau turut mengingatkan agensi pelancongan di negeri ini agar lebih aktif lagi dalam mempromosikan produk pelancongan.

“Kita juga mempunyai banyak pasar raya dan pusat konvensyen yang setaraf dengan apa yang ada di Kuala Lumpur, tetapi di sini terdapat banyak lagi benda yang tidak dapat diperolehi di tempat lain, cuma kita tidak menguruskannya dengan baik.

“Justeru, semua pihak terutama agensi pelancongan perlu bijak dalam memainkan peranan mereka terutama dalam mempromosikan industri pelancongan di negeri ini,” katanya.

Menurutnya , terdapat tiga jenis kumpulan pelancong yang perlu diambil perhatian iaitu pelancong ‘backpackers’, pelancong biasa dan pelancong profesional.

“Kita mahu mereka mendapat pengalaman terbaik sepanjang berada di sini agar mereka nanti akan dapat menyebarkan atau mempromosikan produk pelancongan yang ada di negeri ini di tempat asal mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa kementeriannya menyasarkan memperolehi peningkatan jumlah pelancong menjelang 2013 sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan Sarawak melalui pembentukan Malaysia.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa kementeriannya telah merancang pelbagai aktiviti bersama pelbagai pihak termasuk negeri Sabah dan beberapa negara ASEAN.

Sebanyak 50 aktiviti pelancongan telah didaftarkan dalam kalendar pelancongan 2012 iaitu terdiri daripada sembilan acara destinasi, 11 acara kebudayaan, 18 acara sukan, empat festival dan lapan pameran.

Hadir sama pada pelancaran tersebut semalam ialah kedua-dua Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Gramong Juna, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik.

Wednesday, November 23, 2011

RM37.1 juta untuk 50 projek infrastruktur pelancongan


Utusan Malaysia

KUCHING 23 Nov. - Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM37.1 juta bagi melaksanakan 50 projek infrastruktur pelancongan yang diluluskan di negeri ini di bawah Pelan Pusingan Pertama (2011-2012) dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Menteri Pelancongan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, ia membabitkan projek pembinaan jalan penghubung ke destinasi pelancongan, lampu jalan, sistem perparitan, tempat letak kereta, pusat maklumat pelancongan, papan tanda, tandas dan landskap.

Menurutnya, sehingga kini empat projek telah siap manakala 10 projek telah dianugerah kepada kontraktor dan 36 projek lagi masih di peringkat proses pengeluaran tender.

"Kesemua 50 projek infrastruktur pelancongan ini dijangka siap sebelum akhir tahun depan.

"Sementara itu, projek-projek yang dicadangkan di bawah Pelan Pusingan Kedua (20122013) telah diserahkan kepada kerajaan Persekutuan untuk pertimbangan," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.

Dalam pada itu Abang Johari memberitahu, Sarawak mencatatkan kemasukan pelancong sebanyak 2.7 juta orang sejak Januari hingga September tahun ini iaitu meningkat sebanyak 16.7 peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.6 juta orang atau 61.5 peratus adalah pelancong asing manakala selebihnya kira-kira sejuta orang atau 38.5 peratus ialah pelancong dari Semenanjung dan Sabah.

Monday, November 21, 2011

Gong Untuk Tarik Pelancong Ke Sarawak!!!

KETIBAAN: Gramong tiba di Redeems Centre bagi acara Festival Gong Sarawak 2011 diiringi oleh Salang dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli


BAU: Festival Gong Sarawak merupakan satu lagi produk seni dan budaya yang diyakini dapat membantu usaha ke arah menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negeri.

Menteri Pelancongan, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, jika dijadikan sebagai program tahunan yang berterusan, ia mampu mempertingkatkan sektor pelancongan ke tahap lebih tinggi.

Katanya, ibarat aur dengan tebing, pelancongan dan seni budaya tempatan haruslah seiring apatah lagi bumi Sarawak paling banyak mempunyai suku kaum dan etnik yang kaya dengan kepelbagaian seni budaya.

“Kita berharap Festival Gong Sarawak ini akan menjadi landasan untuk memperkenalkan Redeems Centre, Kampung Apar Singai, Bau sebagai salah satu pusat pelancongan selain Kampung Budaya Sarawak.

“Bagi maksud ini, hala tuju pembangunan memajukan sektor kebudayaan memerlukan kesedaran serta kerjasama dari pelbagai pihak.

“Masyarakat setempat juga harus berperanan membantu usaha untuk menjadikan ‘Redeems Centre’ ini sebagai pusat kebudayaan yang lebi efisien sekali gus meningkatkan produktiviti kampung ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pelancongan (Acara Tempatan dan Produk) Datuk Gramong Juna sempena perasmian Festival Gong Sarawak 2011, semalam.

Festival julung kalinya itu merupakan anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Kementerian Pelancongan Malaysia.

Sebanyak 13 buah kumpulan dengan peserta seramai 150 orang mengambil bahagian dalam festival tiga hari ini bermula 18 hingga 20 November bertempat di Redeems Centre, Kampung Apar, Singai di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang dalam ucapannya berkata penganjuran festival ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap seni budaya.

Melalui festival ini, katanya, rakyat mahupun pelancong asing akan dapat melihat dengan lebih dekat lagi kepelbagaian jenis alatan muzik gong yang digunakan oleh masyarakat etnik di negeri ini, Sabah, Semenanjung Malaysia termasuk Brunei dan Indonesia.

“Ini merupakan sesuatu yang amat menarik dalam usaha kita menyemarakkan seni dan budaya negara tanpa mengira kaum dan sempadan geografi,” ujarnya.

Melihat daripada aspek pemeliharaan khazanah warisan negara, pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang tiga hari berlangsungnya festival ini.

Selain daripada persembahan kumpulan-kumpulan jemputan dan demonstrasi permainan tradisional, orang ramai yang hadir juga berpeluang melihat dengan lebih dekat lagi kepelbagaian bentuk-bentuk gong yang dipamerkan.

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites