Nuffnang

Friday, August 3, 2012

Rancangan Transformasi Pelancongan Sekitar Kuching

Peniaga dan usahawan diseru untuk menerima program transformasi pembangunan dan juga pelancongan di sekitar Kuching.  Mereka turut dipelawa untuk bersama-sama menjayakan program transformasi ini.  

Program transformasi ini adalah untuk kebaikan bersama demi mengindahkan dan membawa lebih banyak pelancong ke Kuching.   Menteri Pelancongan memberi amanat demikian ketika merasmikan Program Kerjasama Bistari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter.

Terima program transformasi
by Jessica Jawing. Utusan Borneo 4 Ogos 2012, Sabtu

Masyarakat peniaga harus terbabit dalam pembangunan kerajaan, kata Abang Johari

KUCHING: Masyarakat peniaga tidak harus menolak transformasi pembangunan termasuk pelancongan yang akan dilaksanakan kerajaan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, kerajaan mempunyai rancangan pembangunan yang pasti akan membuahkan hasil kepada peniaga dan rakyat keseluruhannya.

Merujuk kepada Lebuh Carpenter di sini, Abang Johari berkata transformasi pembangunan kerajaan di kawasan terbabit nanti hanya akan menguntungkan peniaga dan penyewa di situ.

“Bagi kerajaan, kami perlu melihat rancangan jangka panjang iaitu kepentingan jangka panjang bandar raya Kuching, kepentingan ekonomi dan juga kepentingan penyewa serta pemilik bangunan.

“Kita berharap masyarakat Kuching memikir sedalamnya rancangan transformasi Kuching yang kita mahu laksanakan kerana ia pasti akan memuaskan hati semua nanti,” katanya berucap pada Program Kerjasama Bestari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter di sini, semalam.

Beliau tidak menafikan, di Kuching turut berlaku keraguan dalam kalangan penduduk terutamanya mereka yang memiliki hartanah.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan menjelaskan, aktiviti perniagaan atau kepesatan ekonomi pasti memberi kesan kepada harga hartanah.

“Apabila perkara seperti ini berlaku, kita percaya terdapat segelintir penyewa bangunan tidak akan gembira mengenainya kerana kenaikan sewa.

“Namun, ini mungkin dapat diselesaikan jika kawasan ini (Lebuh Carpenter) menjadi kawasan yang lebih bertenaga, maka penyewa atau peniaga perlu lebih kreatif untuk meningkatkan nilai perniagaan mereka,” ujar beliau.

Justeru, katanya, penyewa-penyewa perlu bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan pelan jangka panjang kerajaan mampu membawa manfaat kepada semua.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita Abang Johari berkata, kerajaan menggariskan beberapa pelaksanaan transformasi pelancongan sekitar Kuching.

Ini, katanya, termasuk kemungkinan memulakan perkhidmatan kereta kabel yang kini dalam kajian yang menghubungkan kawasan pantai di Santubong dan Pasir Pandak seperti mana pengumuman Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini.

“Selain itu, kerajaan negeri kini sedang dalam usaha membina jambatan untuk pejalan kaki dan basikal merentasi Sungai Sarawak.

“Kita menjangkakan jambatan mungkin dapat disiapkan pada tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dr Saadiah Abdul Samat dalam ucapannya berkata, Program Kerjasama Bestari (Anak Angkat) Pintu Gerbang Lebuh Carpenter merupakan usaha DBKU dengan Kementerian Pelancongan, Hotel 360 dan Plaza Merdeka untuk menghidupkan khazanah bersejarah.

“Program ini telah bermula sejak Jun lalu dan kerja-kerja menyelenggara bermula pada Ogos termasuk kerja pembersihan, mengecat, penyelenggaraan landskap dan penyelenggaran lampu secara berkala,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Plaza Merdeka Steve Ng dan Pengerusi India Street Pedestrian Mall Datuk Wee Hong Seng.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites