Nuffnang

Wednesday, December 26, 2012

Sarawak River Taxi Bakal Menjadi Ikon Pelancongan di Waterfront Kuching

Berkat usaha gigih maka satu lagi produk pelancongan bakal menjadi ikon di Kuching.  Kini Sarawak River Taxi atau Teksi Sungai Sarawak telah beroperasi dengan jayanya sejak ditubuhkan dua tahun yang lalu.  

Bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan dan keindahan tebing Sungai Sarawak dengan selesa bolehlah membawa keluarga anda berkunjung ke Waterfront untuk menaiki SRT ini.  Mereka beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang.   Mungkin suatu hari nanti mereka akan beroperasi lebih lama lagi sehingga pukul 9 malam bagi membolehkan penumpang menikmati pancaran cahaya dari perkampungan dan juga keindahan suasana di malam hari di Kuching.
SRT satu lagu produk pelancongan Kuching

Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis


KUCHING: Teksi Sungai Sarawak (SRT) yang diperkenalkan dua tahun lepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong asing sekali gus menambah produk pelancongan bandar raya ini.

Diusahakan Persatuan Koordinasi Pelancongan Satok (PKPS) yang beroperasi mulai jam 9 pagi hingga 5 petang itu, ia mampu membawa kira-kira 20 hingga 30 penumpang sekali perjalanan.

Setiausaha Kerja PKPS Nas Ismadi Khalik berkata, sejak dilancarkan pada awal 2011 sambutan orang ramai semakin menggalakkan terutama daripada pelancong.

“Sekitar 70 peratus penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini terdiri daripada pelancong asing,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Beliau berkata bilangan penumpang akan terus meningkat terutama pada musim cuti persekolahan dan hujung tahun.

“Dalam tempoh ini bilangan penumpang meningkat kepada 50 hingga 70 orang sehari,” ujarnya.

Dengan kadar caj RM25 untuk dewasa dan RM12 kanak-kanak, perkhidmatan itu menawarkan pengalaman mengelilingi Sungai Sarawak selama sejam.

Nas menjelaskan, persatuan masih menunggu kelulusan daripada kerajaan agar per-khidmatan itu dapat diperluaskan dengan menambah jumlah tempat berhenti.

“Kita telah mengenal pasti beberapa hentian sekali gus memudahkan penduduk tempatan dan pelancong asing berulang-alik tanpa perlu menggunakan kenderaan,” jelasnya.

Antara lokasi hentian tersebut termasuk di perkampungan Melayu di sepanjang Sungai Sarawak, Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Medan Niaga Kubah Ria dan Tebingan Kuching.

Sementara itu, Mark Cornley, 52, pelancong dari England yang menggunakan perkhidmatan tersebut berkata, kadar caj yang dikenakan untuk perkhidmatan itu amat berpatutan.

“Memang berpuas hati dengan perkhidmatan ini kerana saya dapat melihat permandangan indah di sepanjang Sungai Sarawak termasuk perkampungan Melayu dan bangunan bersejarah (Astana Negeri).

“Caj yang dikenakan juga murah walaupun mengelilingi Sungai Sarawak selama sejam,” katanya yang pertama kali menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Bagi Libby Lindsay,45, tidak banyak negara yang dilawatinya ada menyediakan perkhidmatan seperti itu yang mengenakan caj rendah dan berpatutan.

“Kebiasaannya kalau hendak menggunakan perkhidmatan bot persiaran mungkin dikenakan caj ratusan ringgit namun caj ini amat menarik.

“Saya memang berpuas hati dengan perkhidmatan ini. Pada masa akan datang kalau datang ke Sarawak, sudah pasti saya akan menggunakan perkhidmatan ini lagi,” tambahnya.

Perkhidmatan teksi air di Sungai Sarawak yang menggunakan tiga buah bot memulakan operasi pada awal 2011.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata perkhidmatan teksi air merupakan sebahagian daripada pendekatan untuk memberi khidmat pengangkutan awam selain jalan darat dan pada masa sama mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Ia akan menjadi produk pelancongan baharu untuk menarik pelancong dan pada masa sama menjadi satu lagi pilihan pengangkutan awam bagi masyarakat tempatan,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites