Nuffnang

Wednesday, December 5, 2012

Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013 Bakal Menggegar Sarawak

Satu lagi usaha untuk menggalak kegiatan pelancongan telah dilancarkan iaitu Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013.  Acara yang julung kali diadakan ini akan berlangsung pada 24-26 Jun 2013 sempena festival Rainforest kelak.

20 pakar muzik antarabangsa bakal mencuit minda dan persona pemuzik tempatan dan antarabangsa untuk mewujudkan platform mereka.  Di samping berhibur mereka juga akan dihidangkan dengan pelbagai keunikan dan kebudayaan yang terukir di bumi kenyalang ini.  

Syabas kepada Abang Jo dan kumpulan pemikirnya yang mampu menjulang nama Sarawak di bibir dunia. 

Ekspo Muzik Borneo Sedunia 2013 rangsang pelancongan

Utusan Borneo 6 Disember 2012, Khamis

KUCHING: Sarawak bakal menampilkan satu lagi acara berkaitan muzik mulai tahun depan iaitu Ekspo Muzik Borneo Sedunia yang dijangka mampu merangsang pertumbuhan industri pelancongan di negeri ini.

Ekspo dari 24 hingga 26 Jun 2013 di sebuah hotel terkemuka itu diadakan sempena festival ikonik Sarawak, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) Edisi Ke-16 anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan dijangka membawa kira-kira 20 pakar muzik antarabangsa.

Bercakap pada sidang media di sini semalam, Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg menjelaskan, ekspo julung kalinya itu turut menampilkan acara sampingan seperti pameran dagangan, persembahan muzik, persidangan dan sesi rangkaian kerjasama yang mempromosikan budaya dan muzik.

Katanya, selain menggabungkan kepelbagaian muzik, ekspo berkenaan turut menge-tengahkan muzik asli di Sarawak, bagi meningkatkan lagi kefahaman mengenai kepelbagaian muzik, seni dan budaya Sarawak kepada dunia.

“Selain RWMF, ekspo ini akan menjadi platform kepada kita dari segi mempromosikan Sarawak serta menjadi tarikan global dari segi muzik dan budaya yang kita ada.

“Malah, melalui ekspo yang bakal menampilkan pakar terkenal muzik di dunia, ia mungkin mampu mencungkil bakat anak-anak tempatan kita dalam bidang ini,” katanya.

Menurut beliau, ekspo yang merangkumi muzik asli itu juga menjadi salah satu pendekatan bagi memelihara muzik tradisional agar seimbang dengan trend muzik terkini.

Namun, ujarnya, paling penting, program ekspo itu mampu menyampaikan mesej secara tidak langsung melalui persembahan dan sebagainya.

“Kita mahu berkongsi muzik kita bersama dengan mereka dari luar agar masyarakat global memahami kepelbagaian yang kita ada,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif National Recording Preservation Foundation, US Library of Congress, Gerald Seligman berkata, mereka merancang untuk membawa 20 pakar muzik termasuk penerbit antarabangsa.

Katanya, ekspo itu juga membuka peluang kepada pemuzik tempatan dan wilayah serantau melalui program-program yang diadakan.

“Kami menyediakan pelbagai program termasuk menampilkan speaker antarabangsa melalui persidangan yang kita adakan nanti dan ini pasti menyediakan akses kepada golongan sasaran kita,” jelasnya sambil memberitahu paling penting ialah pendedahan dan promosi muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB Datuk Rashid Khan berkata, STB yakin program ekspo itu menjadi acara utama di Sarawak dalam masa tiga tahun akan datang.

Jelas beliau ia sebagai sebahagian daripada strategi transformasi bagi meningkatkan nilai rantaian RWMF yang lebih kepada santai kepada acara pelancongan perniagaan.

“Kita berharap dengan menambah satu lagi acara di negeri ini, ia akan menggalakkan lagi kedatangan pelancong ke sini. Ini kerana sehingga Oktober tahun ini kedatangan pelawat luar negara sahaja terus meningkat pada 16 peratus kepada 2.31 juta,” kata Rashid.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites