Nuffnang

Wednesday, December 26, 2012

Medan Niaga Satok Tarikan Utama di Satok

Peniaga di sekitar tapak lama Pasar Satok dinasihatkan agar tidak khuatir kehilangan punca pendapatan apabila mereka berpindah ke Medan Niaga Satok.  Medan Niaga Satok telah dibina dengan tujuan utama untuk membasmi pencemaran di Sungai Sarawak dan tanpa kerjasama daripada peniaga di tapak lama Benteng Satok maka usaha ini tidak akan sempurna sepenuhnya.  

Pihak berkuasa tempatan dan FAMA akan mengadakan promosi di Medan Niaga Satok bagi membantu meningkatkan lagi kunjungan orang ramai ke kawasan tersebut.  Medan Niaga Satok yang dilengkapi dengan segala kemudahan untuk berniaga dalam keadaan sihat dan selamat akan mengakhiri pencemaran di Sungai Sarawak dengan adanya sistem terbaharu untuk menyingkirkan sisa kumbahan.
Peniaga tidak perlu bimbang

by Rusnan Mustafa. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis

Pemindahan lokasi perniagaan ke Medan Niaga Satok akan disusuli pelbagai promosi

TERSERGAM INDAH: Medan Niaga Satok di Kubah Ria menyediakan pelbagai kemudahan dan keselesaan kepada peniaga dan pengunjung apabila beroperasi mulai 1 Januari nanti.
KUCHING: Para peniaga di Pasar Satok yang akan dipindahkan ke Medan Niaga Satok, Kubah Ria tidak perlu gusar tentang perniagaan mereka kerana Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membantu mempromosikan kawasan itu.

Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Wahap Abang Julai berkata, kebimbangan untuk berpindah ke tapak niaga baharu sememangnya sering menghantui para peniaga kerana takut perniagaan mereka jatuh merudum.

Beliau memberitahu, aktiviti perniagaan yang sedang giat dijalankan di Satok ketika ini melibatkan empat kategori iaitu Pasar Minggu (setiap hari Sabtu dan Ahad), Pasar Tamu (harian), Benteng (setiap malam) dan Pasar Borong (setiap awal pagi) membabitkan kira-kira 2,000 peniaga.

Jelasnya, Medan Niaga Satok mempunyai kira-kira 2,000 gerai yang telah dibina secara teratur dan ia mencukupi untuk peniaga terlibat dalam pemindahan itu.

“Kita akan membantu mereka dalam mempromosikan kawasan niaga baharu secara berterusan bagi me-mastikan perniagaan mereka tidak terjejas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kira-kira 300 peniaga menyerahkan petisyen bantahan baru-baru ini selepas dikatakan enggan berpindah ke tapak baharu itu.

“Perkara seperti ini memang selalu menghantui peniaga setiap kali dipindahkan, tetapi selepas ini baharulah mereka akan tahu kebaikan pemindahan ke tempat baharu tersebut, termasuk kemudahan disediakan kerajaan untuk mereka yang lebih baik daripada tempat lama,” katanya lagi.

Oleh itu, Abang Wahap memberitahu operasi di tempat baharu itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan iaitu 1 Januari 2013 kerana Pasar Satok yang berstatus sementara itu akan dirobohkan bagi pembinaan Taman Rekreasi Mini khas untuk warga kota.

Tambahnya, walaupun ada segelintir peniaga enggan berpindah ke tempat baharu itu, tarikh terakhir mereka dibenarkan berniaga di tapak sementara berkenaan dikekalkan iaitu pada 30 Disember ini.

“Justeru, saya berharap para peniaga memberi kerjasama untuk memastikan usaha murni kerajaan dalam menyediakan kemudahan niaga yang lebih baik ini dapat dimanfaatkan dan memberi kesan yang baik kepada peniaga.

“Setiap perancangan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah dirancang secara terperinci dan pasti ia mendatangkan kebaikan untuk rakyatnya,” jelasnya.

Selain itu, Abang Wahap memberitahu dengan penutupan tapak niaga di Satok, penyumbang kepada masalah pencemaran Sungai Bintangor dapat diatasi.

“Kita yakin pemindahan ini bukan sahaja memberi kesan positif kepada peniaga tetapi kepada alam sekitar dan kita akan mempergiatkan usaha untuk memulih dan memelihara Sungai Bintangor yang tercemar untuk dijadikan kawasan tarikan baharu bagi kegiatan memancing pada tahun hadapan,” jelasnya.

Menyentuh mengenai bangunan-bangunan kedai yang ada di Satok, beliau menyarankan pemilik mengambil inisiatif untuk mengecat bangunan mereka serta melakukan aktiviti pembersihan.

Katanya, DBKU sering menerima aduan tentang masalah kekotoran di kawasan terbabit, justeru beliau menasihati pemilik bangunan kedai di Satok mengecat dan membersihkan kawasan mereka.

Malah, jelasnya, pada tahun hadapan Sarawak akan meraikan Ulang Tahun Ke-50 dalam Malaysia serta Sambutan Jubli Perak Ke-25 DBKU.

“Usaha untuk mentransfomasikan kawasan bandar raya ini akan diteruskan bagi menyediakan tempat yang baik dan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat di sini mahupun kepada pelancong,” ujarnya.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites