Nuffnang

Thursday, December 27, 2012

Pengangkutan Udara Tonggak Utama Kuching Sebagai Pusat Membeli-Belah

Dengan adanya Plaza Merdeka maka banyaklah lagi tempat untuk dikunjungi oleh penggemar membeli-belah ke Bandaraya Kuching.  Tidak mustahil suatu hari nanti Kuching akan menjadi tumpuan utama untuk membeli-belah yang setanding dengan Kuala Lumpur mahu pun Singapura.  

Beza antara Singapura dan Kuching adalah, lebih banyak barang Made in China di Kuching berbanding di Singapura namun barang ini tidak mempunyai ciri-ciri kualiti yang tinggi berbanding di Singapura.  Oleh itu diharap agar pemborong barangan Made in China akan meningkatkan lagi kualiti barangan yang diimport agar kualiti yang lebih tinggi dapat dinikmati di Kuching.  

Singapura berjaya menjadi pusat ekonomi serantau dengan adanya mutu kawalan kualiti yang tinggi.  Diharap kerajaan akan melihat dari sudut ini sebelum membenarkan barangan dari China masuk ke Sarawak amnya!
Kuching pusat beli-belah

by Jessica Jawing. Utusan Borneo 27 Disember 2012, Khamis

Ia menjadi tumpuan masyarakat tempatan, negara jiran

KUCHING: Kewujudan banyak pusat beli-belah di bandar raya ini bukan sahaja mampu menjadi tumpuan masyarakat tempatan tetapi negara jiran terutama dari Kalimantan, Indonesia.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik berkata dari segi pusat beli-belah, kementerian lebih menyasarkan masyarakat tempatan dan negara terdekat berbanding dari luar negara.

“Kini sasaran kita untuk pusat beli-belah adalah bagi memenuhi permintaan masyarakat tempatan misalnya sejak banyak pusat beli-belah dibuka di Kuching ada di kalangan masyarakat kita dari Sri Aman turun ke Kuching.

“Keduanya ia juga untuk pelancong dari Kalimantan, Indonesia sebagai sasaran. Ini kerana jika kita lihat situasi kini kita masih belum dapat bersaing dengan Singapura dan Kuala Lumpur bagi destinasi pusat beli-belah,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam.

Menurut Ik Pahon, beliau percaya kewujudan pusat beli-belah di bandar raya ini pasti akan memberi kesan positif dari segi kedatangan pelancongan luar pada masa akan datang.

Namun katanya kewujudan banyak pusat beli-belah sahaja tidak memandai kerana yang penting untuk menarik pelancong luar adalah pengangkutan udara yang lebih banyak.

Beliau memberitahu, kementeriannya menyasarkan kedatangan empat juta pelancong menjelang hujung tahun ini ke Sarawak.

“Kita melihat ada peningkatan sedikit berbanding tahun lepas dan jika perhubungan udara kita dipertingkatkan lagi saya percaya kedatangan pelancong akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu beliau menggesa syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) khasnya memperluaskan lagi penerbangan ke negeri ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan Sarawak.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Datuk Rashid Khan ketika dihubungi yakin pembukaan banyak pusat beli-belah di Sarawak mampu menarik ramai kedatangan pelancong.

Jelas beliau ia juga pasti memperhebatkan lagi promosi STB di Brunei dan Kalimantan Barat, bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

“Dengan adanya penerbangan antara Bandar Seri Bagawan, Pontianak dengan Kuching oleh penerbangan MASwings, ini pasti menjadi satu segmen pelancongan yang akan menambahkan lagi tarikan pelancong ke Sarawak,” katanya.

Kewujudan pusat beli-belah yang semakin banyak di negeri ini mampu menjadikan bandar raya Kuching sebagai syurga membeli-belah kepada masya-rakat tempatan khususnya.

Selepas pusat beli-belah tHe Spring dan Boulevard, masyarakat Kuching kini mempunyai pelbagai pilihan apabila Plaza Merdeka turut dibuka sebagai destinasi beli-belah di pusat bandar raya ini, yang baharu sahaja dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 12 Disember lepas merangkumi Lebuh Carpenter dan Jalan Tun Openg.

Bukan itu sahaja malah satu lagi gedung besar iaitu City One yang terletak di Jalan Song-Jalan Tun Jugah, pasti membuka ruang kepada penduduk tempatan dan dari luar membeli-belah apabila ia siap dilaksanakan nanti.

Selain itu satu lagi kemudahan iaitu Matang Sentral akan menampilkan bangunan empat tingkat merangkumi tempat perniagaan, perkhidmatan dan pusat untuk berhibur juga menjadi Kawasan Transit Bandar Raya (CAT) bagi terminal bas yang melakukan perjalanan dari Lapangan Terbang An-tarabangsa Kuching, Kuching Sentral sehingga sepanjang jalan ke kawasan pelancongan di Santubong.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites