Nuffnang

Sunday, December 30, 2012

Medan Niaga Satok - Hab Komersial Baharu Petra Jaya

Medan Niaga Satok akan menjadi hab komersial di Petra Jaya.  Menurut ADUN Satok, ini adalah fasa pertama dan fasa kedua akan memiliki sebuah panggung teater untuk mempamerkan kebudayaan etnik di Sarawak.  Ianya juga akan membantu mempromosikan seniman dan seniwati dari Sarawak.
Satu mercu tanda untuk Petra Jaya

by Jessica Jawing. Posted on December 30, 2012, Sunday

Medan Niaga Satok akan jadi hab komersial baharu dengan fasa kedua

KUCHING: Medan Niaga Satok di Kubah Ria akan menjadi satu mercu tanda kepada Petra Jaya iaitu sebagai hab pusat komersial baharu dengan terlaksananya pembinaan fasa keduanya nanti.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, fasa kedua medan niaga berkenaan bakal dibangunkan dengan sebuah panggung yang menjadi tempat mempersembahkan aktiviti kebudayaan etnik Sarawak.

“Apa yang kita lihat sekarang hanya fasa pertama Medan Niaga Satok, sementara fasa kedua nanti kita akan bangunkan panggung untuk menghiburkan pelancong dengan budaya yang ada khasnya di bandar raya ini.

“Kesenian kita adalah amat unik dan kita mempunyai sekolah seni dan latihan kebudayaan dari Kampung Budaya Sarawak yang boleh mempersembahkan teater termasuk persembahan legenda Sarawak,” katanya berucap merasmikan Pesta Satok 2012 di Medan Niaga Satok di sini, malam kelmarin.

Abang Johari berkata, pada masa yang sama ia memberi peluang kepada seniman dan seniwati yang membuat persembahan menjana pendapatan mereka.

“Bagaimanapun, kos pembinaan panggung ini masih dalam perbincangan… kita anggarkan lebih kurang RM5 juta,” katanya.

Selain panggung, fasa kedua medan itu juga katanya merangkumi papan iklan besar elektronik (billboard) yang akan mempamerkan maklumat acara di Medan Niaga Satok.

“Apa yang berlaku di kawasan ini termasuk kawasan komersial berdekatan akan menjadi hab pusat komersial baharu di Petra Jaya dan menjadi kawasan tarikan di bandar raya Kuching,” kata beliau.

Tambahanya ia merupakan usaha dan perancangan kerajaan yang akan memberi manfaat kepada semua lapisan termasuk para peniaga dan masyarakat sekitar.

“Kita tahu ada di kalangan peniaga kita khuatir tentang perpindahan dari pasar lama Satok ke Medan Niaga Satok, namun kita tetap berterima kasih kerana mereka telah memberi kerjasama.

“Dengan adanya medan ini ia merupakan tempat berniaga mereka yang kekal dengan kemudahan infrastruktur yang terbaik termasuk pembuangan sisa yang akan dikitar dan dirawat sebelum mengalir ke sungai,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok.

Abang Johari berkata, ia juga lebih bersih dan memberi keselesaan kepada pengunjung dan peniaga berbanding pasar lama yang kemudahannya masih tidak mencukupi.

“Kita percaya apabila tempat ini dipromosikan nanti ramai yang akan tahu dan ia menjadi tempat seperti sedia kala,” katanya.

Majlis pelancaran Pesta Satok yang bermula pada 28 Disember hingga 1 Januari 2013 anjuran Persatuan Pelancongan Satok dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut dihadiri Timbalan Pengarah Penyiaran RTM Sarawak Fee Lin Chew, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abdul Wahap Abang Julai dan isteri Abang Johari, Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

0 comments:

Post a Comment

Nuff Box

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites