by Patricia Gari. Posted on Utusan Borneo 6 Julai 2012
Ia menyumbang 35.5 peratus kepada KDNK 2011, 11 peratus daripadanya disumbang pelancongan
KUCHING: Sektor perkhidmatan menyumbang 35.5 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2011 dan daripada jumlah itu 11 peratus disumbangkan oleh sektor pelancongan, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.
Beliau berkata pertumbuhan itu dijangka meningkat tahun depan berikutan perkembangan pesat industri-industri sokongan terutama industri mesyuarat dan penambahbaikan infrastruktur pelancongan di negeri ini.
“Kerajaan negeri bekerja keras bagi memastikan kemakmuran ekonomi tercapai menerusi pembangunan mapan dan objektif-objektif pelan pembangunan.
“Dengan sokongan kuat daripada kerajaan pusat serta agensi-agensi swasta industri acara perniagaan, saya pasti Sarawak berada di laluan yang betul,” katanya pada sidang media semalam.
Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Perniagaan Pembekal/Pelanggan serta Seminar Pendidikan Persatuan Konvensyen dan Kongres Antarabangsa (ICCA) Cawangan Asia Pasifik di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), dekat sini.
Beliau berkata menyedari perkembangan pesat industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE), Sarawak akan mempertingkatkan kemudahan penginapan serta infrastruktur pelancongan lain terutama di sekitar bandar raya Kuching bagi memenuhi keperluan peserta delegasi yang berjumlah 2,000 hingga 3,000 orang.
Ketika ini kemudahan penginapan di bandar raya ini hanya mampu menampung 500 hingga 600 delegasi pada satu-satu masa.
“Jika delegasi persidangan atau mesyuarat 2,000 atau 3,000 orang, hotel-hotel kita akan penuh sesak mungkin tempat penginapan tidak cukup, jadi kita harus menaik taraf kemudahan penginapan dan infrastruktur lain.
“Maknanya perlu lebih banyak hotel sekurang-kurangnya bertaraf empat bintang dan menaik taraf sistem pengangkutan,” jelasnya.
Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari yang juga Menteri Perumahan berkata pertumbuhan KDNK Sarawak sebanyak 4.5 peratus turut disumbang oleh sektor-sektor lain.
Sektor pengeluaran katanya menyumbang sebanyak 28 peratus (kepada KDNK 2011) diikuti perlombongan (21 peratus) dan pertanian (15.5 peratus).
Mengenai persidangan itu, beliau berkata ia akan memberi peluang pembelajaran yang hebat dalam industri mesyuarat khususnya tidak hanya kepada Sarawak tetapi delegasi dari Australia, Hong Kong, China, Thailand, India, Indonesia, Republik China, Macao, Singapura, Perancis, United Kingdom dan Semenanjung Malaysia.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Datu Ik Pahon Joyik, Pengerusi ICCA Cawangan Asia Pasifik merangkap CEO Gold Coast Tourism, Australia Martin Winter, CEO Biro Konven-syen dan Pameran Malaysia Zulkefli Sharif, Pengarah Urusan Biro Konvensyen Sarawak Mike Cannon, CEO Pusat Konvensyen Borneo Kuching Paul D’Arcy serta Pengarah Urusan AOS Konvensyen dan Acara Amos Wong.
0 comments:
Post a Comment