Fadillah berharap hadiah harijadi beliau akan lebih bermakna sekiranya mendapat mandat sekali lagi untuk membangunkan Malaysia pada 5 Mei 2013 kelak. Semalam merupakan tarikh bersejarah bukan sahaja kerana ia menandakan hari lahir beliau tetapi berita gembira sebaik sahaja diumumkan sebagai calon Petra Jaya sekali lagi.
Harapan Fadillah buat Petra Jaya adalah mengurangkan masalah kesesakan jalan raya dan beliau berharap dapat bantuan daripada BN pusat dan semua agensi kerajaan yang lain.

Fadillah fokus usaha kurangkan kesesakan trafik
Utusan Borneo 18 April 2013, Khamis
KUCHING: Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya Datuk Fadillah Yusof akan memberi fokus terhadap usaha mengurangkan kesesakan trafik dan kepadatan penduduk di kawasan itu sekiranya menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei nanti.
Beliau memberitahu, antara projek yang bakal dilaksanakan adalah pembinaan jambatan baharu bagi menghubungkan Matang ke Stapok untuk mengurangkan tumpuan trafik di Bulatan Jalan Astana dan Jambatan Tun Abdul Rahman Yakub.
Selain itu katanya, projek pembangunan yang bakal dijalankan adalah pembesaran jalan dari Kampung Gita hingga ke Taman Malihah dengan pembinaan empat laluan serta pembesaran jambatan.
“Selain surat kelulusan, kerajaan pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM145 juta dan saya harap projek itu akan dapat dimulakan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepeas menerima watikah pelantikan sebagai calon BN, di sini, semalam.
Fadillah yang menyambut hari lahir ke-51 semalam menyifatkan watikah pelantikan itu sebagai hadiah, namun hadiah paling bermakna baginya adalah apabila mampu mempertahankan kerusi itu pada PRU13 kelak.
Pada PRU 2008, Fadillah berjaya meraih majoriti sebanyak 12,000 undi.
“Beri saya majoriti lebih besar pada 5 Mei (hari mengundi) kerana itu adalah hadiah yang lebih besar apabila BN diumumkan sebagai pemenang,” katanya.
Bagi mengurangkan kesesakan penduduk Matang yang sekitar 50,000, selain membantu golongan kurang mampu, beliau akan meneliti isu perumahan di kawasan itu.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Tanjung Manis Datuk Norah Tun Abdul Rahman yakin lebih banyak pembangunan di kawasan itu dapat disaksikan.
Malah dalam masa lima tahun berkhidmat katanya, kawasan itu menerima peruntukan lebih RM700 juta, selain peruntukan tambahan RM700 juta lagi iaitu lebih daripada jangkaan.
“Saya amat berterima kasih kepada BN atas keprihatinan mereka serta agensi-agensi kerana tanpa mereka, saya tidak dapat melaksanakan program pembangunan dengan cepat,” katanya.
0 comments:
Post a Comment